Oleh MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS
tokawang_sufi@yahoo
Kepimpinan dan
komuniti mahasiswa merupakan satu ikatan yang tidak dapat dirungkai. Dalam
sejarah mahasiswa sendiri, kemunculan pemimpin mahasiswa tertentu begitu kuat
mencorak perjuangan para mahasiswa di kampus. Menurut Mohamad Abu Bakar dalam
artikelnya Kepimpinan dan Komuniti
Mahasiswa, pemimpin adalah individu yang berprinsip, berinisiatif dan
berfikiran tentang keperluan hidup berorganisasi sama ada dalam keadaan
mencabar atau tidak mencabar. Sebenarnya, kekuatan gerakan mahasiswa bergantung
kepada kekuatan pimpinan yang berkarisma dalam mengembleng tenaga-idea
mahasiswa untuk memperjuangkan sesuatu isu. Perjuangan seseorang pemimpin
dilatari dengan pengalaman dan pendidikan yang diperolehi oleh pemimpin
tersebut. Universiti sendiri adalah gudang untuk melahirkan pemimpin-pemimpin
pada masa depan. Di universiti, bakat dan potensi diri diasuh agar diri
mahasiswa tersebut lebih berprestatif dalam kepimpinan organisasi.
Kepimpinan mahasiswa dikatakan lesu
sejak kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971.
Sebenarnya, kita tidak boleh menafikan AUKU telah memberikan impak negatif ke
atas gerakan mahasiswa termasuk ke atas proses kepimpinan mahasiswa. AUKU telah
menumpulkan sifat keberanian pimpinan mahasiswa dan menelurkan kesan psikologi
yang negatif seperti pengantungan kepada pihak atasan dan bermentaliti subsidi.
Keadaan bertambah teruk apabila pemimpin mahasiswa yang aktif selalu dilabelkan
sebagai anti establishment. Oleh
sebab itu, kebanyakan mahasiswa lebih selesa menjadi ulat buku atau menceburi
aktiviti berfoya-foya di luar kampus.
Kepimpinan mahasiswa sewajarnya
tidak melihat AUKU sebagai alasan kelesuan gerakan mahasiswa pada masa kini.
AUKU sendiri memberi ruang untuk mahasiswa aktif dalam aktiviti berpersatuan
dan bermasyarakat. Mahasiswa perlu rasional bahawa suasana pada hari berbeda
dengan suasana pada tahun 1970an dimana pada masa itu isu kemiskinan,
kedaulatan Bahasa Melayu dan isu antarabangsa berada pada suhu yang hangat.
Kini, interprestasi gerakan mahasiswa memerlukan satu anjakan paradigma.
Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan
dan Komuniti Mahasiswa memberi contoh yang amat menarik dimana para
pemimpin mahasiswa Universiti Oxford melakukan satu demonstrasi bersifat
intelektual dan rekreasi dengan mengadakan debat dan perlumbaan perahu secara
tradisi dengan pemimpin mahasiswa Universiti Cambridge. Disinilah para pemimpin
mahasiswa diuji dengan kemahiran berhujah, ketahanan mental, fizikal dan
ketinggian ilmu pengetahuan.
Dalam konteks Malaysia, penganjuran
seminar atau program lawatan sambil belajar boleh dikatakan menguji potensi
diri pimpinan mahasiswa. Para pimpinan mahasiswa perlu mengetahui kos kewangan,
pemilihan tempat, publisiti dan sebagainya. Tanpa persediaan yang cukup dari
segi mental, emosi dan fizikal, perjalanan program mungkin akan gagal. Dalam
program seumpama ini, pembahagian tugas, kemahiran berkomunikasi dan kerjasama
berkumpulan merupakan nadi kejayaan program. Untuk menguruskannya, para
pemimpin mahasiswa perlu mempunyai ilmu-ilmu bantu yang bukan subjek
pelajarannya di universiti dan pemimpin mahasiswa perlu merancang dengan teliti
untuk menambahkan keberkesanan program.
Dalam konteks masyarakat kampus pada
hari, isu politik menjadi dominan padahal isu politik ada pasang surutnya
bergantung pada sesuatu isu. Kita harus sedar, budaya intelektual lebih kekal
dan serasi dengan suasana di kampus yang dianggap lembah keilmuan bahkan budaya
intelektual boleh mempengaruhi suasana politik kampus dan nasional. Para
pimpinan mahasiswa seharusnya mengambil peluang membangun dan memupuk sebuah
aliran pemikiran atau School of Thought
yang tersendiri. Menurut Mohamad Abu Bakar, para pemimpin mahasiswa boleh
menjalankan aktiviti keilmuan yang membabitkan sebahagian mahasiswa dalam
rancangan berfikir, berdiskusi, berdialog dan berseminar secara berkumpulan,
kemudian mereka membentang dan menyebarkan fahaman mereka.
Aliran pemikiran mahasiswa ini membolehkan
mahasiswa berinteraksi dalam kerangka tersendiri walaupun membahaskan isu-isu
luar kampus. Kekuatan aliran pemikiran yang tersendiri begitu terserlah semasa
kewujudan Kelab Sosialis Universiti Malaya [KSUM]. KSUM mempunyai ideologi yang
tersendiri begitu aktif memdiskusikan persoalan masyarakat, kampus, nasional
dan internasional dalam ruang pemikiran sosialisme. Keberkesanan aliran
pemikiran KSUM cukup mengkagumkan apabila kader-kadernya berjaya menguasai
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dengan penerapan idea sosialisme bahkan
KSUM merupakan pembekal utama pimpinan untuk Parti Rakyat Sosialis Malaya
(PRSM) dengan kehadiran Syed Hamid Ali dan Dr. Sanusi Osman.
Sebenarnya, secara sedar atau tidak
golongan mahasiswa Islamis juga mempunyai kumpulan pemikir tertentu semasa awal
tahun 1980an. Kumpulan Islamis tersebut dikenali Kumpulan Republik Islam [RI]
yang berpengaruh di Universiti Malaya. Pada peringkat awal, kumpulan ini
dikenali kumpulan Enam Kerinchi yang terdiri daripada Mohamad Hussein, Mohd
Taib Ahmad, Syed Putra Syed Ahmad, Mohd Fuad Zakarshi, Takiyuddin Hasan dan
Azmi Ali telah mengagaskan idea kepimpinan ulama. Kumpulan RI berjaya
menumpaskan proksi ABIM-PKPIM untuk memenangi kerusi kepimpinan Persatuan
Mahasiswa Islam Universiti Malaya [PMIUM] pada tahun 1983. Kumpulan RI atau
Kumpulan Universiti Malaya merupakan pembekal pemimpin-pemikir kepada Parti
Islam SeMalaysia (PAS) dengan menguasai kepimpinan PAS dengan kehadiran Husam
Musa, Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan dan Mohd Taib Ahmad.
Kekuatan pemikiran kumpulan Republik
Islam begitu mantap dilakarkan dalam artikel Aliran Modenisme Dalam Islam oleh Azmi Ali, mahasiswa Fakulti
Undang-Undang, Universiti Malaya. Kumpulan Republik Islam mengagaskan aliran
pemikiran Islam yang syumul dan murni yang mengkritik keras pemikiran
modernisme yang begitu berbahaya dan mengancam akidah Islam. Azmi Ali
mengarahkan aliran pemikiran Islam Kumpulan RI iaitu ‘kembali kepada
prinsip-prinsip asali Islam’ yang murni.
Kini, trend
pemikiran Islam menjadi dominan di kampus-kampus nasional selaras proses
kebangkitan semula Islam pada awal tahun 1970an. Jika dulu, trend pemikiran di
kampus dihayati oleh organisasi luar tetapi sekarang idealis organisasi luar
menjadi ikutan para pemimpin mahasiswa. Oleh sebab itu, masyarakat, media massa
dan kerajaan seringkali melabel pemimpin mahasiswa sebagai agen parti oposisi.
Dari trend pemikiran berubah kepada ikutan
penghayatan ideal politik parti oposisi menyebabkan para pemimpin
mahasiswa diikat dan dibelenggu dengan isu-isu perjuangan parti oposisi.
Kondisi ini menyebabkan gerakan mahasiswa sukar menjalankan aktiviti-aktiviti
keilmuan di kampus.
Para pemimpin mahasiswa kini
seharusnya menghayati gagasan kepimpinan intelektual dan mempraktikkan dalam
kehidupan amali di kampus dan luar kampus. Gagasan kepimpinan intelektual
adalah gagasan berterusan dalam kehidupan kampus bukannya protes politik. Walau bagaimanapun, tuntutan-tuntutan sosial
dan politik yang lain perlu juga diambil perhatian dan diterjemahkan gagasan kepimpinan
intelektual dalam persoalan tersebut. Contoh, dalam isu kemiskinan, para
pemimpin mahasiswa bergayakan gagasan kepimpinan intelektual menyediakan
penyelesaian melalui kertas cadangan, debat, khidmat masyarakat dan memorandum
kepada pihak berkenaan. Penyelesaian perlu dicari dengan suasana kondusif
dimana kaedah demonstrasi jalanan dilihat kurang berkesan kerana mahasiswa dan
masyarakat Malaysia sekarang berada dalam keadaan selesa sehingga sukar untuk
kebanyakan mahasiswa dan rakyat turun ke jalanan untuk memprotes pihak
berkenaan.
Kepimpinan intelektual mahasiswa
perlu mengarap fahaman dan ideologi, mengolahnya dan kemudiannya berusaha
melaksanakan objektif yang terkandung dalam ideologi tersebut. Peringkat
pencambahan minda ini boleh dimulakan dengan pendiskusian buku Risalah Untuk Kaum Muslimin, karangan
Syed Naquib al Attas yang cukup bernas membicarakan persoalan aliran pemikiran
moden pada hari ini. Sebagai cadangan, buku ini perlu dijadikan bahan bacaan
wajib bagi pemimpin mahasiswa. Asahan minda cukup bermaya jika disuntik dengan
perdebatan ilmiah yang mencetuskan idea baru atau menyelesaikan polemik yang
sedia ada.
Gagasan kepimpinan intelektual
mahasiswa yang dihangatkan oleh Mohamad Abu Bakar ini perlu diambil cakna oleh
para pemimpin mahasiswa pada hari ini. Mandat besar yang diperolehi oleh parti
pemerintah membuktikan rakyat Malaysia belum berkeyakinan melakukan perubahan
dan masih berkeinginan berada dalam zon selesa. Oleh sebab itu, kaedah
demonstrasi bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu-isu kampus, nasional
atau internasional. Para pemimpin mahasiswa perlu menterjemahkan suara
intelektual dalam seminar, forum atau penulisan dalam akhbar dan majalah.
Penulisan dalam media massa sendiri merupakan kaedah alternatif yang paling
murah dan berkesan untuk mengerakkan pemikiran mahasiswa dan masyarakat massa.
Keberkesanan ini terbukti apabila kaum muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh al
Hadi berjaya menyebar-luaskan idea Islah
kaum muda melalui akhbar al Iman.
Sebagai konklusi, penulis memetik
pendapat Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Falsafah
Perjuangan Mahasiswa menyatakan pergerakan mahasiswa seumpama air dari
gunung yang mengalir, kadangkala mengalir deras kadangkala perlahan. Air yang
mengalir diserap masuk ke dalam tanah dan pada satu masa nanti ia akan keluar
dari tanah. Perumpamaan ini mengambarkan perjuangan gerakan mahasiswa
terutamanya dalam isu politik ada pasang-surutnya. Suasana dan isu semasa
banyak mempengaruhi hala tuju gerakan mahasiswa tetapi pembudayaan intelektual
merupakan hala tuju hakiki dan berterusan bagi gerakan mahasiswa di kampus
selaras dengan peranan universiti sebagai taman keilmuan.
Disiapkan pada 16
Ogos 2004, 10.36 P.M.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan