“Kita
tidak kurang tukang angguk,kita tidak kurang tukang geleng, tapi kita kurang
orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah apa yang
sudah digeleng.”
Prof
Zulkifli Muhammad (Timb. YDP PAS)
Oleh
Mohamad Ridhwan Bin Alias
Pendahuluan
Gerakan mahasiswa adalah sub-gerakan politik mahasiswa. Gerakan
mahasiswa berjuang dengan cara mereka. Mahu mara bangkit menentang kemungkaran
dan kedurjanaan penguasa dalam menegakkan kebenaran. Gerakan mahasiswa bukan
sahaja terkongkong dalam dunia kampus tetapi keluar menyemai bakti dalam
masyarakat dan negara.
Ada sesetengah pendapat, gerakan mahasiswa hanya pentas lonjakan
yang beragenda dan pentas lakonan mengumpan sang pengail kekuasaan yang
beragenda. Kenapa sebegitu?. Pada mereka, pemimpin mahasiswa bohong diri mereka
dan diri sendiri kerana ada yang berseberangan daripada perjuangan mereka
semasa zaman mahasiswa.
Pada hemat Wong Cilik, gerakan mahasiswa adalah medan latihan
politik, bermasyarakat, berekonomi, pengurusan, komunikasi, bina jaringan
pengaruh, berkenalan dengan para tokoh dan lain-lain. Kehendak politik
beragenda datang kemudian dengan kepentingan diri dan kehendak keluarga.
Sejarah gerakan mahasiswa bukannya perlu dikenang atau dikhayali
tetapi ia perlu diambil ibrah dalam
membina semangat zaman. Gabungan falsafah, sejarah dan tindakan diharapkan
menghasilkan sesuatu impak dalam perjuangan gerakan mahasiswa di Malaysia.
Romantisme
Dalam Sejarah Gerakan Mahasiswa
Romantisme[1]
dalam sejarah gerakan mahasiswa akan membawa kita mengimbau kenangan lama,
mengimpikan ia kembali dan mengkhayali kekuatan silam. Sejarah perlu diambil
ibrah bukannya membina semula angan-angan tanpa usaha dan tindakan.
Pengalaman romantisme adalah pengalaman yang hanya terjadi dalam
angan-angan, seperti lamunan muda-mudi dengan kekasihnya. Ia bagaikan tidak
berpijak pada bumi yang nyata dan penekanan emosi yang kuat dari segi estetika
dan menyertakan emosi seperti takjub, bangga, dan ‘syok’ yang dialami. Ini
antara faham ringkas romantisme.
Ada setengah pendapat, sejarah akan menghasilkan keromantisan.
Perkara yang perlu diwacanakan dalam gerakan mahasiswa adalah falsafah.
Falsafah dikatakan kerangka pemikiran yang bakal dilaksanakan oleh mahasiswa.
Sesebuah falsafah berasal daripada sejarah. Pada hemat saya,gabungan sejarah
dan falsafah bersama tindakan akan menjadi gabungan yang terulung. Ketiga-tiga
elemen ini saling perlu memerlukan dalam perjalanan sesebuah gerakan mahasiswa.
Selain itu, romantisme ini boleh meningkat semangat perjuangan
aktivis gerakan mahasiswa. Perjuangan Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais dan Che
Guevara banyak menjadi aspiratif kepada anak muda dalam perjuangan mereka. Anak
muda mahu berjuang seumpama tokoh idola yang menjadi panutan mereka.
Sejarah
Gerakan Mahasiswa Antarabangsa: Bangkit Daripada Manifesto Cardoba
Menurut Ausaf Ali faktor-faktor penting penyebab kebangkitan
rakyat dan reformasi ialah pertama, munculnya kritikkan terhadap realiti dan kehidupan sosial yang ada
telah dilakukan oleh golongan reformis. Kedua, adanya paradigma baru
nilai-nilai, norma dan sistem yang menjelaskan perbezaan; dan ketiga,
penyertaan sosial yang disertai mereka yang cenderung dengan golongan
reformis tersebut dalam
mentransformasikan masyarakat.
Menurut penelitian Adi Usman Musa, gerakan mahasiswa yang pertama
dikesan pada tahun 1918 dimana gerakan mahasiswa di Argentina telah
mendeklarasikan Manifesto Cordoba. Walaubagaimanapun Lipset menyatakan eleman
aktivis mahasiswa sudah ada semasa revolusi Jerman dan Austria pada tahun 1848.
Mahasiswa Amerika Latin telah memulakan langkah mahasiswa turun ke
lapangan demonstrasi. Kebangkitan ini berpunca daripada struktur politik
masyarakat dan uiniversiti. Reformasi pendidikan universiti di Amerika Latin
lahir dari Manifesto Cordoba, ketika mahasiswa Cordoba di Argentina
mengeluarkan sebuah manifesto yang menuntut autonomi universiti dan
keterlibatan mahasiswa dalam pentadbiran universiti. Istilah yang terkenal
dalam kelibatan mahasiswa dalam pentadbiran university ialah cogobierno
(kawalan bersama).
Manifesto ini dimurnikan setelah pertemuan diantara pimpinan
mahasiswa seluruh Argentina. Atas persetujuan bersama, para pimpinan mahasiswa
mahu reformasikan university dengan tuntutan, iaitu pertama, pilihanraya;
kedua, penghapusan rasis dalam pemilihan pensyarah; ketiga, biasiswa mahasiswa;
keempat, orientasi social university di university sendiri; kelima,
pendemokrasian system organisasi university.
Dalam tempo 20 tahun, tuntutan mahasiswa Argentina ini menyebar ke
seluruh Amerika Latin. Di Peru tahun 1919; di Chili tahun 1920; Columbia tahun
1924; Paraguay tahun 1927; di Brazil dan Bolivia tahun 1928; Mexico tahun 1929;
dan Costarika tahun 1930, dengan keberhasilan yang berbeza-beza. Dunia telah
digemparkan apabila dictator Venezella telah digulingkan pada tahun 1966.
Mahasiswa telah mempertahankan university sehingga pasukan kereta kebal
merempuh dan menyerbu kampus. Pengulingan sesebuah kerajaan diktaktor bagi
membolehkan perubahan social dilakukan.
Pada pertengahan tahun 1960an, kelompok mahasiswa pro Mao Tse Tung
telah melakukan demonstrasi[2]
dalam menentang Presiden China, Liu Shao Chi. Mereka juga mengkritik pensyarah
Universiti Beijing. Pasukan Liu Shao Chi
telah bertempur dengan mahasiswa yang dipimpin oleh Kuai Da Fu. Kuai da Fu
berjaya ditangkap. Semasa dalam penjara, Kuai Da Fu telah dibebaskan dengan
perancangan sulit Mao Tse Tung. Kumpulan kecil Revolusi Kebudayaan telah
mengarahkan Kuai Da Fu[3]
memimpin Red Guards yang terdiri daripada 5000 orang mahasiswa berarak keliling Beijing dengan slogan ‘hapuskan Liu Shao chi’. Atas muslihat
desakan rakyat ini, Mao Tse Tung memecat Liu Shao Chi sebagai Presiden China.
Bantahan menentang pemerintahan komunis China tahun 1989 berlaku
di Medan Tiananmen mengorbankan lebih 10000 orang. Semenjak tahun 1978, Deng Xiaoping telah
memperkenalkan pembaharuan ekonomi dan social sehingga berlaku ketidak-puasan
hati dalam kalangan rakyat. Pada awal tahun 1989. Dua kelompok utama penentang
kerajaan iaitu pertama, mahasiswa dan
cendikiawan kerana pembaharuan hanya dalam kalangan petani dan pekerjaan
sahaja. Mereka mahu liberalisasi politik
glasnost yang dilakukan oleh Mikhail Gorbachev. Kedua, kelompok pekerja
industry yang mengatakan hala tuju ekonomi Deng tersasar.
Demonstrasi bermula sejak 15 April dan berakhir pada 4 Jun 1989.
Pada awalnya protes mahasiswa ini kerana ketidakstabilan ekonomi, rasuah dan
situasi politik[4]. Setelah 7 minggu berhimpun, kereta tentera
China mula mara dan merempuh para penunjuk perasaan, memukul dan menembak
secara melulu. Akibanya, ramai yang mati ditembak.
Gerakan mahasiswa Sepanyol bekerjasama dengan gerakan sekerja.
Kempen kebebasan berpersatuan telah menjadi isu politik. Isu juga diperjuangan
oleh gerakan pekerja Pada bulan Februari 1967 di Madrid, mahasiswa berdemonstrasi
secara khusus menuntut perwakilan gerakan sekerja berada dalam suruhanjaya
membahas undang-undang pertubuhan sekerja. Selama tiga hari (1-3 Mei 1968) mereka
berdemonstrasi. Penangkapan tokoh gerakan sekerja dan mahasiswa melemahkan
kebangkitan tersebut.
Sejarah
Gerakan Mahasiswa Malaysia
Gerakan mahasiswa(baca: pelajar) bermula seiring dengan
perkembangan pendidikan di negara ini. Pada tahun 1816, sekolah pertama dibina
oleh British iaitu Penang Free School. Pada tahun 1937, dunia pendidikan Tanah
Melayu dikejutkan kelulusan pertama graduan Melayu dalam Senior Cambridge dan
beliau adalah Abdul Wahab Mohd. Ariff. Beliau telah dianugerah Penang Free School
Centenary Gold Medal pada tahun 1938 atas kecemerlangan pertama anak Melayu.
Kejayaan Abdul Wahab mendorong rakan-rakan mendesak beliau memberi
nasihat agar mereka turut cemerlang. Hasilnya Abdul Wahab menubuhkan pertubuhan
pertama pelajar Melayu iaitu Malay Boys League yang bertujuan melahirkan lebih
ramai pelajar cemerlang tetapi terpaksa dibubar kerana larangan pengetua.
Semasa menuntut di Singapura, Abdul Wahab telah menjadi Presiden
Mahasiswa Islam Kolej Raffles dan Perubatan Singapura iaitu sebuah pertubuhan
Melayu Islam. Pertubuhan pelajar Melayu penting bagi menyatukan pelajar Melayu.
Jumlah pelajar yang kecil menyebabkan
Abdul Wahab menyeru agar pelajar Melayu bersatu demi pelajaran. Persatuan Mahasiswa Islam Kolej di Singapura
juga mendesak agar kerajaan menubuhkan Majlis Pelajaran Tinggi yang diletakkan
di bawah penyeliaan seorang pegawai Melayu sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.
Pada bulan April 1946, Aminuddin Baki seorang pelajar menengah
atas Sekolah Anderson, Ipoh menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu
Insaf(PERMI). Pada bulan Ogos 1947 PERMI cawangan Perak ditubuhkan.
Perkembangan gerakan pelajar semakin pesat dengan penubuhan Kesatuan Persuratan
Penuntut Melayu Selangor(KPPMS) pada tahun 1946 dan Kesatuan Penuntut Melayu Pahang
pada tahun 1947. Kesatuan Penuntut Melayu berkembang pesat pada tahun 1949
dengan penubuhan cawangan di negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah,
Melaka dan Johor. Abdul Wahab telah mengetuai Jawatankuasa Persiapan Kongres
Pelajar bagi menyatukan seluruh gerakan pelajar di Malaya.
Kongres Pelajar Melayu berlangsung di Maktab Teknik, Kuala Lumpur
pada 14 dan 15 Ogos 1949. Pertubuhan yang hadir dalam kongres ini adalah
Persatuan Penuntut-penuntut Muslim Maktab Teknik, PERMI(Perak), Persatuan Penuntut
Melayu(Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kajang) dan Persatuan Penuntut-penuntut
Melayu Maktab Tanam-tanaman. Mereka membincangkan permasalahan pelajar Melayu
dan bagaimana untuk bekerjasama. Pada jam 12 tengah hari, 15 Ogos 1949, kongres
bersetuju menubuhkan Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung(GPMS) yang
diketuai oleh Abdul Wahab. Apabila
Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura, GPMS mendesak agar Dr. G.V. Allen
sebagai Naib Canselor kerana beliau bersimpati dengan orang Melayu. Tampuk pimpinan
GPMS dikuasai oleh mahasiswa Universiti Malaya seperti Lokman Musa, Musa Hitam
dan Abdullah Ahmad Badawi.
Kewujudan kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur telah mengalakkan
perkembangan gerakan mahasiswa. Sebenarnya banyak persatuan mahasiswa yang telah
ditubuhkan tetapi penulis menumpukan kepada persatuan yang berpengaruh di
Universiti Malaya iaitu PMUM, PBMUM dan PMIUM. Hampir semua mahasiswa di
Universiti Malaya bernaung di bawah PMUM atau UMSU mula ditubuh pada 1 Januari
1962 seiring dengan hari penubuhan Universiti Malaya yang ditubuh di bawah Akta
Universiti Malaya. Maka Persatuan Mahasiswa yang ditubuh pada 15 Januari 1959
telah berakhir pada penghujung 1961.
Tujuan PMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan
kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain. PMUM
adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua
perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa. PMUM diakui sebagai suara rasmi
mahasiswa oleh pihak Universiti Malaya. PMUM adalah pertubuhan yang lantang
bersuara memperjuangkan isu kampus, antarabangsa dan nasional.
PMUM mempunyai kuasa menjalinkan hubungan rasmi dengan badan
mahasiswa yang lain sama ada di dalam atau di luar negara. PMUM menyertai
Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia(PKPM) yang merupakan wakil badan
mahasiswa Malaysia dalam arena antarabangsa. PKPM telah ditubuhkan pada tahun
1958 dengan nama National Union of
Federation Student(PKPPTM) dan ditukar nama kepada PKPM pada tahun 1962. PKPM
yang didominasi oleh tokoh PMUM juga bergabung di bawah International Student Council yang berpusat di London dan menyambut
17 November setiap tahun sebagai Hari Pelajar Antarabangsa.
Pada tahun 1960an, angin perubahan telah berlaku di dunia apabila
mahasiswa telah menunjukkan sikap pemberontakan mereka di jalanan. Ia telah
menjadi fenomena seiring dengan fenomena The
Beatles. Satu era yang penuh romantisme. Gerakan mahasiswa radikal bersama
rakyat telah menjatuhkan rejim Peron di Argentina pada tahun 1958, Perez Jimenez
di Venezuela pada tahun 1958 dan menurunkan Ayub Khan pada 1969. Pemberontakan
ini yang digerakkan oleh mahasiswa
sosialis telah berjaya mempengaruhi jiwa radikal mahasiswa Malaysia.
Tahun 1967 menjadi titik perubahan besar bagi gerakan mahasiswa di
Malaysia apabila Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar telah diadakan oleh
PBMUM di Universiti Malaya. Ia titik perubahan penglibatan PBMUM daripada isu
bahasa dan kebudayaan Melayu kepada isu-isu lain orang Melayu seperti ekonomi
dan pendidikan.
Pada September 1967 juga, Kelab Sosialis Universiti Malaya
ditubuhkan. KSUM sangat berpengaruh apabila
2 orang ahli mereka berjaya menguasai tampuk kepimpinan PMUM melalui
Syed Hamid Ali sebagai setiausaha agung PMUM dan Sanusi Osman sebagai Presiden
PBMUM. Kedua-dua orang ahli KSUM telah memainkan peranan penting dalam
mengerakkan mahasiswa bersama rakyat dalam demonstrasi membela hak rakyat
tertindas dalam Peristiwa Teluk Gong. Antara tokoh mahasiswa KSUM ialah Rustam A. Sani, Khong Kim Hoong, Justin Chang
dan Koon Suan.
KSUM mempunyai hubungan rapat dengan Partai Rakyat ranting Pantai
apabila Syed Hamid menjadi KetuaUmum di situ. Keunikkan KSUM ialah kelab ini
mempunyai 2 pendaftaran iaitu dengan Majlis Kebajikan Pelajar dan Pendaftar
Pertubuhan. Kelab ini juga antara 13 organisasi mahasiswa yang tidak bergabung
dengan PMUM.
Sebelum berlaku peristiwa 13 Mei 1969, Syed Hamid Ali telah
dituduh mengetuai perarakan mayat seorang anggota parti Buruh yang telah
ditembak polis semasa demonstrasi pemulauan pilihanraya umum pada 10 Mei 1969.
Selepas peristiwa hitam tersebut, Syed Hamid Ali memimpin PMUM menentang
kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Pada 28 Ogos 1969, mahasiswa telah mengadakan
demonstrasi sempena Persidangan Kebudayaan Antarabangsa di kampus UM. Ekoran itu,
Syed Hamid Ali, Hanafiah Ishak, Yusuf Embong dan Aziz Deraman ditangkap.
Selain sosialisme, anasir
komunis pernah menyusup dalam PBCUM sejak pertengahan tahun 1970an dimana jawatan
setiausaha penerbitan dimenangi oleh seorang pro komunis. Pada bulan Jun 1971,
kumpulan Sosialis Muda berjaya menguasai Jawatankuasa Kerja PBCUM dengan
pemimpinnya berjaya memenangi jawatan presiden. Pada 14 Oktober 1974, pasukan
keselamatan menjumpai dokumen pada seorang penganas komunis yang dibunuh di
kampung Tanah Hitam, Perak. Dokumen itu menjelaskan pelantikan Tham Ah Mok
sebagai agen komunis dalam PBCUM.
Kemuncak perjuangan kelompok sosialis ialah pada tahun 1974 dalam
peristiwa Tasek Utara dan demonstrasi Baling. Ramai pimpinan mahasiswa sosialis
seperti Kamarazaman Yaakob dan Adi Satira ditangkap manakala pimpinan seperti
Hishamudin Rais dan Yunus Ali berjaya melarikan diri keluar negara. Selepas kewujudan AUKU 1975, kelompok
sosialis menjadi kurang berpengaruh dalam politik kampus.
PBMUM pula ditubuhkan pada 29 Januari 1955 di Singapura dengan
ahli seramai 27 orang semasa tahap awal. Di Singapura, PBMUM dikenali
Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan perkataan persekutuan diganti
dengan persatuan pada tahun 1969. Penubuhan PBMUM adalah hasil usaha pensyarah
dan pelajar fakulti Sastera seperti Lokman Musa, Noh Abdullah, Tahir Abdul
Rahman dan Fatimah Hasyim. Walau bagaimanapun, idea penubuhan PBMUM telah
dicetuskan oleh Ungku Aziz dan Za’ba sejak tahun 1954 lagi. Pada tahun 1956,
keahlian PBMUM seramai 202 meningkat kepada 721 orang pada tahun 1965. Pada
sesi 1970/1971, keahlian PBMUM adalah 3123 orang menjadi antara persatuan berpengaruh di
Universiti Malaya.
PBMUM tidak bergabung dengan PMUM kerana hala tuju PMUM tidak
selaras dengan perjuangan bahasa dan kebudayaan Melayu. Pengabungan akan
membatasi peranan PBMUM. Teras perjuangan PBMUM berdasarkan Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu pada tahun 1954 yang mendesak Bahasa Melayu menjadi bahasa
kebangsaan. Hasrat ini bertambah kukuh apabila Majlis Undangan Persekutuan
Tanah Melayu yang bersidang pada 31 Mei 1955 bersetuju menjadi Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan.
Pada tahun 1969, PBMUM meminda perlembagaan dengan menambah isu
perjuangan iaitu mengambil berat dan memperjuangkan pelajaran dalam Bahasa
Melayu dan berusaha memperjuangkan keadaan bangsa dan negara. PBMUM mendakwa
mereka adalah penyambung lidah rakyat bukanlah perjuangan perkauman tetapi
perjuangan nasional.
Menurut Kochiko Mazilo, pendekatan PBMUM bukan emosional dan
radikal tetapi bagi batu timbang setiap pergerakan yang menyeleweng daripada
aspirasi nasional. Bahasa Melayu dan dasar pelajaran adalah cita-cita rakyat
yang taat kerana bahasa bukan soal politik dan pelajaran bukan persoalan
ekonomi.
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM) diwujudkan pada
pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang
mahasiswa Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan
PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari
Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein
Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid ar-Rahman yang dibina pada tahun
1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan
al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia.
Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi
pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi
kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya
menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis. PMIUM
cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan
prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar
melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.
Sejarah
Gerakan Mahasiswa Islam[5]
Peningkatan kesedaran Islam pada tahun 1970an telah meletakkan
PMIUM sebagai wadah penting dalam perjuangan Islam di kampus. Walau
bagaimanapun, PMIUM bukanlah satu kuasa politik yang mendominasi politik kampus
sebagaimana Kelab Sosialis. PMIUM pada ketika itu bersifat Nasionalis-Islamis
yang berjuang untuk kepentingan Islam dan bangsa Melayu termasuk isu bahasa dan
kemiskinan. Siddiq Fadil Presiden PMIUM sesi 1972/73 telah berjaya mengikis
semangat nasinalisme sempit dan mengarahkan semangat tersebut mengikut
perspektif Islam.
Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis ini mestilah dibuktikan
dengan komitmen yang tegas termasuk pelaksanaan Islam sepenuhnya serta langkah
amali yang konkrit secara bersungguh-sungguh. Oleh sebab itu, PMIUM cuba
menghalang upacara kemaksiatan di Universiti Malaya seperti majlis ball night
dan unsur judi dalam pestaria.
Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi dengan aktiviti PMUM yang
bercorak kebudayaan dan kemaksiatan sehingga berlaku ‘perang dingin’ antara
PMIUM dengan PMUM.. Oleh sebab itu, PMIUM disingkir daripada AJK Orientasi sesi
1975/76 dan hanya diterima semula pada sesi 1977/78 tetapi pada sesi 1978/79
sekali lagi PMIUM disingkirkan. Keadaan ini mendorong PMIUM mengubah corak
perjuangan dengan memasuki politik kampus agar mereka lebih progresif untuk
mengambil alih tampuk pimpinan PMUM.
Cubaan pertama PMIUM untuk memenuhi cita-cita siasah dengan
meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kampus. Pada tahun 1977, PMIUM
meletakkan calon mereka iaitu Sidek Baba [pensyarah UIA, orang kuat ABIM], Syed
Muhamad Dawilah al Idrus [pensyarah USM], Nasaruddin Abdul Jalil dan Naharuddin
Abdullah. Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah berjaya memenangi kerusi.
Pada pilihan raya sesi 1979/80, PMIUM memenangi 10 kerusi tetapi
gagal memperolehi majoriti 2/3. Antara calon PMIUM adalah Redzuan Othman di
fakulti Sastera dan Yazid Othman bagi kerusi umum. Kumpulan Islam membentuk
Barisan Mahasiswa bagi menentang Gabungan Mahasiswa. Pilihan raya sesi 1979
telah menelurkan budaya berparti dalam politik kampus. Barisan Mahasiswa yang
‘menang tipis’ telah memilih Anual Bakri [pernah menjadi S.U. MB Kelantan]
sebagai Presiden PMUM dan Yazid Othman [pernah aktif dalam persatuan wartawan
di KL] sebagai Naib Presiden.
Kerajaan mahasiswa Islam mula mencegah aktiviti mungkar seperti
jamuan arak dan budaya makan malam tahunan yang dihiasi program mungkar.
Aktiviti persatuan perlu terbatas kepada aktiviti tidak bercorak ‘yahudi’. Penubuhan kerajaan pelajar Islam yang pertama
ditentang hebat oleh proksi Nasionalis. Barisan Mahasiswa tidak dapat membentuk
kabinet PMUM yang mantap kerana Gabungan Mahasiswa mendapat 11 kerusi daripada
21 kerusi. Kesilapan Barisan Mahasiswa
adalah memperuntuk tiga kerusi untuk orang bukan Melayu tetapi tiada orang
bukan Melayu mahu bertanding untuk Barisan menyebabkan Gabungan Mahasiswa
menang mudah.
Pada 4 Ogos 1979, Barisan Mahasiswa cuba menubuhkan kabinet tetapi
Ketua Gabungan Mahasiswa, Yusuf Abdul Rahman cuba melakukan undi tidak percaya.
Kelompok Islamis mengambil tindakan bijaksana dengan keluar mesyuarat agar
korum 2/3 tidak mencukupi untuk mengundi. Yusuf Abdul Rahman menyifatkan
tindakan 10 anggota Barisan tidak demokrat. Barisan mencabar Gabungan agar
meletak jawatan supaya pilihan raya dapat diadakan semula. Kekecohan ini
menyebabkan pendaftar HEP Yunus Nawal dan Puan Chua campurtangan. Akhirnya,
Gabungan bersetuju bekerjasama walaupun cuba dihalang oleh ketuanya. Barisan
kabinet PMUM diketuai oleh Anual Bakri Haron(Presiden), Yazid Othman(Timbalan),
Redzuan Othman (Setiausaha Agung), Zaidan Ali(Bendahari), Amir Hamzah Abdul,
Anuar Yusof, Yahya Husin, Mohd Nor Anuar, Abdul Ghani Ghulam Din, Abdullah
Rahman, Fong Seng Wah, Cheng Huck Joo, Rosli Ahmad dan Yusuf Abdul Rahman.
Menurut Yusuf Abdul Rahman, Barisan adalah golongan radikal dan
perkauman. Gabungan berjuang berdasarkan untuk perpaduan dan kebajikan pelajar.
Gabungan menawarkan dasar kompromi dimana jika pihak menjawat jawatan presiden
tidak boleh memegang jawatan setiausaha agung tetapi Barisan membolot kesemua
jawatan utama. PMUM tidak berfungsi dengan baik menyebabkan Anual Bakri mahu
berbincang dengan Yusuf di Dataran Ekonomi. Pada mulanya Yusuf menolak pelawaan
tersebut tetapi setelah diugut oleh Roselan Abdul Rahman untuk menarik balik
sokongan terhadap Gabungan, beliau bersetuju berbincang.
Krisis PMUM selesai apabila Presiden, Timbalan Presiden dan
Setiausaha Agung meletakkan jawatan iaitu Anual Bakri [pernah menjadiS.U. Menteri
Besar Kelantan], Yazid Othman dan Redzuan Othman [kini pensyarah Jabatan
Sejarah UM, bekas Naib Presiden ABIM]. Kebuntuan kepimpinan PMUM sejak 23 Julai
1979 dapat diselesai dengan kompromi iaitu Yazid Othman sebagai Presiden, Yap
Ching Kiat(Timbalan), Rosli Ahmad(Setiausaha Agung), Zaidin Ali(Bendahari) dan
Redzuan Othman(Penolong Setiausaha Agung). Tekanan HEP dan masalah pemilihan
personaliti menyebabkan golongan Islamis tewas dalam pilihan raya kampus
1980/81 pada 18 Julai 1980 kepada golongan Nasionalis.
Selain itu, kemenangan Gabungan disebabkan kegagalan Barisan
menangani kes kepincangan perasmian TIG(aktiviti sukan), kegagalan baktisiswa
di Sabah dan kegagalan program ke Indonesia. Calon ternama golongan pelajar
Islam yang tewas adalah Zaidan Ali, Yazid Othman, Abdul Ghani Golamadin dan Che
Yazid Che Seman. Roselan Abdul Rahman dilantik sebagai Presiden PMUM manakala
Rosley Ahmad dilantik sebagai Naib Presiden. Kekalahan kumpulan Islamis dalam
pilihan raya kampus di Universiti Malaya wajar ditelusuri daripada aspek
tekanan psikologi yang dicanang oleh akhbar tempatan terutamanya Utusan
Malaysia.
Utusan Malaysia memberi gambaran kotor dengan mewujudkan polemik
‘Regim KAMI’ di kampus-kampus universiti tempatan. Kekalahan kumpulan Islamis
yang disifatkan sebagai pelampau agama di UKM disebar secara meluas di muka
utama akhbar tersebut. Secara terancang, isu perjudian semasa Pestaria 1980
dihangatkan kembali dengan tuduhan sempitnya pemikiran pimpinan PMUM terutamanya
Yazid Othman. Tekanan psikologi menyebabkan pelajar terpaksa menolak kumpulan
pelajar Islamis.
Pada pilihan raya sesi 1981/82 yang diadakan pada 24 Julai 1981, Islamic
Group yang dipimpin oleh Ahmad Shabery Cheek telah berjaya menguasai MPP. Kumpulan
Islam digelar ‘Kepimpinan Dinamis Mahasiswa Progresif’ berjaya memenangi
pilihan raya kampus dan Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Presiden PMUM. Kemenangan ini meningkat imej kumpulan Islamis
yang tercalar pada pilhan raya sesi yang lepas.
Penguasaan golongan Islamis atau PMIUM terhadap politik kampus
tidak berterusan kerana PMIUM memboikot pilihan raya kampus sesi 1983/84 kerana
masih terdapat unsur judi dalam Pesta Ria sesi tersebut. Kemantapan PMIUM membolehkan calon-calon
mereka menguasai pilihan raya kampus 1985/86. Kemenangan ini menelurkan
aspirasi baru kepada pelajar Islam kerana kumpulan Islam mula memdominasi
kampus-kampus di seluruh negara. PMUM mengorak langkah menubuhkan Barisan Bertindak
Mahasiswa Negara(BBMN) yang menyelaras aktiviti pelajar Islam di bawah pimpinan
Zulkifli Yusof (Presiden PMUM).
Di UKM, pengaruh Islam bermula dengan bermulanya penubuhan UKM.
Kampus awal UKM berhampiran UKM banyak mempengaruhi gerakan mahasiswa UKM. Pada
awal 1970an, PKPIM mula meluaskan pengaruh mereka ke kampus UKM. PKPIM berjaya
meletak Ramli Ibrahim sebagai Pengerusi Penaja Jawatankuasa Penaja PMUKM dan
kemudianya dilatik sebagai YDP PMUKM sesi 1971/72.
Pada sesi 1973/74 dibawah pimpinan Abdul Halim Arsyad PMUKM
berkrisis dalam peristiwa pelantikan Abdullah AYUB sebagai NC dan krisis dengan
Dato Harun Idris Menteri Besar Selangor dalam isu pembalakan haram. Antara
pemimpin mahasiswa yang memainkan isu ini ialah Idris Juzi dan Abdul Rahman
Rukaini. PMUKM juga turut menyertai banyak demonstrasi termasuk demonstrasi
rakyat Baling.
Selepas AUKU 1975, PMUKM masih dikuasai oleh kelompok PKPIM yang
diketuai oleh Fuad Hasan dan dibantu
oleh Abu Bakar Chik. Pada tahun 1979, budaya politik kepartian menular di UKM.
Kumpulan Islamis dikenali Angkatan Tindakan Mahasiswa(ATMA) manakala kumpulan
nasionalis-HEP oleh Tindakan Siswa Bersatu(TSB). Perseteruan mereka dalam
banyak isu antaranya konsert Aleyycats, pertunjukan tarian lilin, isu kebajikan
dan lain-lain.
ATMA memperkuatkan pengaruh mereka dalam ISIUKM. Politik kampus
era 1970an di UKM dikuasai oleh kelompok Islamis. Pada tahun 1980, ATMA tewas
buat kali pertama. Semua kerusi umum, ATMA tewas kecuali Fadhullah Shuaib. TSB
melantik Mohd Rais Zainudin sebagai DYP dan dibantu oleh Abdul Rahman Bakar.
ATMA telah mengalami krisis setelah Anwar Ibrahim masuk UMNO.
Kekecohan berlaku apabila pilihanraya kampus sesi 1984/85 dimana pro PAS
diketuai oleh Wan Ismail Wan Jusoh yang
sepatunya menerajui PMUKM menarik diri dan tampuk DYP PMUKM diambil-alih oleh
Mustafa Kamil Ayub.
ATMA telah berpecah kepada ATMA dan Ikatan Penyelamat Islam(IPU). IPU
telah menguasai banyak persatuan mahasiswa termasuk PMUKM. IPU berbasiskan
ISIUKM. Pertarungan IPU-ATMA-TSB berterusan. Antara ketiga-tiga kumpulan, ATMA
paling lemah. Pada era tahun 1990an, IPU membina imej baru dengan menubuhkan
Angkatan Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU).
Kebangkitan
Jemaah Islam Kampus (JIK) Dalam Gerakan Mahasiswa
Jemaah Islam Kampus (JIK)[6]
dikatakan sayap politik mahasiswa PAS ataupun kelompok pro PAS. Pegangan asai
JIK adalah PAS dan anti kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Sejarah penubuhan mereka
agak kabur tetapi ramai berpendapat JIK ditubuhkan setelah PMIUM dikuasai oleh
kelompok pro PAS. Kalau begitulah pendapatnya, para pengasas JIK berada dalam
kelompok yang merampas PMIUM daripada kelompok PKPIM-ABIM ketika itu. Secara
peribadi, konsep JIK mendekati konsep IRC dimana konsep pemayungan organisasi
dibawah kawalan Jemaah atau dikenali HIS. Tidak menghairankan kerana ramai
tokoh JIK ketika itu rapat dengan Ustaz Alias Othman dan kelompok IRClah yang
menguasai lujnah Tarbiah PAS ketika itu.
JIK bermula setelah peristiwa kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam
UMNO yang menelurkan kecelaruan pemikiran
di kalangan penggerak gerakan pelajar Islam. Di Universiti Malaya, muktamar
PMIUM sesi 1983/84 terpaksa ditangguh. Perebutan kuasa tertinggi dalam PMIUM
dimenangi oleh Mohamad Hussein dari proksi PAS setelah mengalahkan proksi
ABIM-PKPIM yang pro Anwar. Pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim mencadangkan
Takiyuddin Hasan sebagai presiden dan Mohamad Hussein sebagai timbalan tetapi
ahli exco PMIUM bersetuju melantik Mohamad Hussein sebagai presiden dan Takiyuddin sebagai
timbalan. Kekecohan berlaku apabila Takiyuddin menarik diri dalam muktamar dengan memberi laluan kepada
Mohd Taib Ahmad.
Kumpulan pro Pas yang menjatuhkan juak ABIM terdiri daripada
Mohamad Hussein(antara pengasas PASMA), Takiyuddin Hasan [pernah menjadi exco
Kerajaan Kelantan], Syed Putra Syed Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi (bekas
Presiden PBMUM, sekarang Dr., orang kuat UMNO Johor) dan Mohd Taib Ahmad (antara
pengasas PASMA) berbincang di kg. Kerinchi bagi menaikkan kumpulan pro PAS.
Mereka dikenali Kerinchi 6. Azami Zaharim yang pro ABIM-PKPIM membantah tetapi
gagal apabila proksi ABIM hanya mendapat 35 undi.
Kekalahan proksi pro Anwar Ibrahim menandakan kelunturan pengaruh
ABIM-PKPIM di kampus Universiti Malaya dan kemunculan PAS sebagai wadah
perjuangan pelajar Islam yang baru. Kelompok yang dikatakan pro PAS ini
dikenali sebagai Jemaah Islam Kampus (JIK). JIK menguasai organisasi seperti
PMI sehingga ke hari ini.
PKPIM-ABIM mula melakukan pewarnaan semula bagi mengarahkan
matlamat perjuangan di kampus. Proksi ini mula kembali semula mengakari PBMUM
yang semakin kelesuan. Pengaruh PKPIM-ABIM terkelihatan dalam PBMUM dengan
kehadiran Saifudin Abdullah sebagai Presiden PBMUM.[ mantan EXCO PMIUM sesi
1981/82 yang pro ABIM-PKPIM, kini ketua Akademi Belia Malaysia] Pertembungan golongan
Islamis pro PAS dengan golongan Islamis pro ABIM-PKPIM yang telah bergabung
dengan golongan Nasionalis(pro kerajaan dan universiti) telah merancak kembali
suasana politik kampus.
Golongan PKPIM-ABIM dan IRC
bergabung tenaga membentuk BMB mula bertempur dengan NADI-Kelab PENA-PMIUM.
Pada 10 hb September, 1989, PMIUM menganjurkan demontrasi
membantah konsert Sheila Majid di hadapan Dewan Tunku Canselor yang dihadiri seramai 1500 orang. Demonstrasi
ini menyebabkan dua orang pemimpin PMIUM iaitu Jamali Adnan (Setiausaha Agung)
dan Jamaluddin Ramli (Bendahari) ditahan di bawah ISA. Perkara ini telah
mencatat sejarah buat pertama kali pemimpin mahasiswa ditahan di bawah ISA
selepas AUKU 1975 dikuatkuasakan.
Pada hujung tahun 1980an, Prof Syed Hussein Alatas sebagai Naib
Canselor telah mengadakan pilihanraya kampus
secara berparti diwujudakan
kembali dan sudut pidato. PMIUM telah menubuhkan sayap politik yang dikenali sebagai
NADI.
Krisis bermula apabila, Shamsudin Moner telah dikatakan memilih memasuki
Parti Semangat 46, pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Mahasiswa Melayu dalam BMB yang pro-UMNO tidak bersetuju dengan tindakan Shamsuddin
Moner.
Che Mohammad Che Dollah (Setiausaha Agung PMUM) dan beberapa exco
telah membentuk 'Jawatankuasa Bertindak Mahasiswa Universiti Malaya (JBMUM)
untuk menyingkirkan Naib Canselor Universiti Malaya, Syed Hussein Al-Attas
kerana Naib Canselor telah melantik sahabat bukan Melayu menjawat jawatan
penting di Universiti Malaya.
Tindakan JBMUM dibantah oleh mahasiswa Cina yang dipimpin oleh Tan
Ah Kaw (Penolong Setiausaha Agung PMUM). Krisis ini semakin parah apabila Che
Mohammad gagal meneruskan pengajian. Jawatan Setiausaha Agung PMUM dikosongkan
dipangku oleh Tan Ah Kaw. Presiden PMUM,
Nazman gagal mengawal krisis ini.
Mahasiswa Cina dalam BMB menuntut jawatan Setiausaha Agong dan
dibantah oleh mahasiswa Melayu pro
UMNO. Mahasiswa Melayu pro UMNO berjaya
melantik wakil mereka sebagai Setiausaha Agung PMUM yang baru selepas beberapa
kali tertangguh.
Ekoran krisis ini, mahasiswa Cina telah menarik diri dalam BMB dan
membentuk Angkatan Mahasiswa Adil (AMA) sebagai wakil mereka dalam pilihanraya
kampus. Perpecahan ini memberi keuntungan kepada NADI yang berjaya mengalahkan
BMB dalam pilihanraya kampus sesi 1990/91.
Menurut Dr Zuhdi Marzuki, persaingan tahun 1990an bukanlah antara
nasionalis tulen dengan Islamis tetapi antara Islamis. IRC dan nasionalis Islamis telah bersatu
menubuhkan Barisan Mahasiswa
Bersatu(BMB). Antara pemimpin terkemuka BMB ialah Samsudin Moner. Tahun 1990an
juga menyaksikan persaingan sengit untuk menang dalam piliharaya kampus.
Kemenangan sering bertukar tangan antara NADI dan BMB.
Bermula sesi 1996/97, sistem berparti tidak dibenarkan lagi. PMIUM
memunculkan calon mereka sebagai Pendokong Aspirasi manakala BMB dikenali
sebagai Mahaiswa Bersatu. Pendokong Asprasi berjaya memenangi pilihanraya ini.
Pada sesi 1998/99, PMIUM bersama UMANY
dan wakil mahasiswa lain
mengadakan tahaluf siasi dan menamakan pakatan mereka sebagai Gagasan
Mahasiswa Universiti Malaya(GMUM).
Pemecatan Anwar Ibrahim menyebabkan BMB lemah , maka muncullah
Barisan Kepimpinan Mahasiswa(BKM). BKM gagal mencabar GMUM. BKM menjadi asas
kepada Majlis Gerakan Mahasiswa Universiti Malaya(MGMUM). Pada awal tahun 2000an,
pihak kerajaan telah menaja kumpulan yang dikenali sebagai ASPIRASI di
kampus-kampus seluruh negara. Hampir 7 tahun kampus Universiti Malaya dikuasai
oleh PMIUM. Pada tahun 2004, GMUM boikot pilihanraya dan tahun berikutnya GMUM
tumbang kepada ASPIRASI.
Bacaan
Adie Usman Musa, Gerakan Mahasiswa, Dari Cordoba Hingga Tiananmen,
Blog Proletar.
Rahim Noor, Berakhirnya Kisah Liu Shao Chi, Mingguan Malaysia 28/12/2014.
Mohamad Ridhwan Alias, Gerakan
Pelajar Di Universiti Malaya Pada Tahun 1970-1986: Isu dan Pendekatan,
Latihan Ilmiah Universiti Malaya, 2004.
Wikipedia
Mohamad Ridhwan Alias,
Sorotan Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya, dlm., Hasbie Muda(edt.),
Mahasiswa Bangkit, Dungun: MCL, 2014.
Muhammad Abu Bakar, Mahasiswa
Menggugat, KL: Pustaka Antara, 1973.
Kamal Azman, Arkib Politik
Mahasiswa, ebook.
Suhaimi al Maniri, Di
Sebalik Tabir Politik Kampus, KL: Pustaka Generasi Baru, 1995
Akhbar Api Mahasiswa
Laman Web Idealismahasiswa.
[1] Aliran
romantisme ini bermula pada akhir abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-19.
Akar ini telah mempengaruhi karakteristik budaya dan banyak karya seni dalam
peradaban Barat. Antara tokoh romantisme ialah Victor Marie Hugo dan Friedrich Von Schlegel.
[2] Antara peristiwa demonstrasi besar ialah Pergerakan
Empat Mei dalam tahun 1919 semasa penjajahan Jepundan Pergerakan Lima April
pada tahun 1976 semasa menjatuhkan Kumpulan 4. Selain itu, lingkungan tahun
1986-1987 ada juga perhimpunan pro demokrasi.
[3]
Kuai Da Fu berasal dari wilayah Hebei, berusia 20 tahun ketika itu. Beliau
minat politik daripada usia 13 tahun lagi apabila melihat kebuluran dan
penyalahgunaan kuasa pegawai kerajaan menindas rakyat. Beliau bertindak
menghantar surat bantahan ke Ibupejabat Parti Komunis China di Beijing.
[4]
Situasi politik yang dimaksudkan ialah kematian Hu Yaobang, Setiausaha Agungl
PKC yang telah meletak jawatan. Hu dipandang sebagai seorang yang berpemikiran
liberal dan dipaksa meletak jawatan dari posisinya oleh Deng.
Kebanyakkan rakyat terutamanya kelompok
intelektual,menganggap ini sebagai sebuah perlakuan yang tidak adil.
[5] Di
beberapa kampus terpilih.
[6]
JIK adalah entity rahsia yang menguasai hamper semua persatuan yang ada di
university. JIK dikatakan dikuasai oleh mahasiswa pro PAS. Basis utama mereka
ialah Persatuan Mahasiswa Islam. Selain itu, PKPIM kampus(PKPIM_ABIM),
PEMBINA(ISMA), KARISMA-GEMA (IKRAM-JIM) dan HALUAN Siswa(HALUAN Malaysia) juga
mempunyai entity rahsia dan cuba menguasai persatuan-persatuan di kampus.
boleh saya dapatkan email atau no. telefon tuan?
BalasPadam