Ahad, 25 Oktober 2015

Belajar Manhaj Haraki Dari Syeikh Muhammad al Ghazali



“Kemenangan itu lebih utama daripada keadilan?”
Khalil Jibril
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

Perjuangan Islam bukannya miliki kita atau jemaah kita sahaja. Perjuangan Islam milik semua orang yang beriman. Dan Islam sendiri adalah milik manusia bukannya terhad kepada yang beragama Islam sahaja.

Syeikh Muhammad al Ghazali yang terkenal dengan ketinggian ilmu merupakan mantan anggota Ikhwanul Muslimin yang dipecat. Pemecatan tersebut tidak menurunkan martabat beliau sebagai pejuang Islam yang diteruskan dalam bidang pendidikan. Pemecatan tersebut sekitar masalah disiplin.

Kita cuba mengenali perjuangan dan pengalaman Syeikh Muhammad al Ghazali.

Siapa Syeikh Muhammad al Ghazali?
Pada suatu petang Imam Hassan  Al-Banna menyampaikan nasihat ringkas mengenai penjelasan hadits 'Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada, ikutilah setiap perbuatan buruk dengan perbuatan baik, tentu yang baik akan menghapusnya, dan pergaulilah manusia
dengan akhlak yang baik’. Huraian hadith oleh al Banna menyebabkan hati Muhammad al Ghazali tersentuh dan terus tertambat dengan perjuangan Islam bawah pimpinan al Banna.

Menurut  Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali,[1] tema pemikiran Syeikh Muhammad al Ghazali seperti di bawah

i) Kembali Kepada Pemikiran al-Qur’an Yang Syumul
ii) Membebaskan Wanita Daripada Belenggu Taqlid
iii) Memperbetulkan Kefahaman Agama
iv) Konsep Ijtihad
v) Kefahaman Sunnatullah
v) Peranan Akal dan Penyeruan Kepada Kemajuan Umat

Syeikh Muhammad al Ghazali dan Ikhwanul Muslimin.
Dalam konteks perjuangan gerakan Islam, Syeikh Muhammad al Ghazali boleh dianggap ‘budak nakal’ dalam jemaah ekoran sikap kritis terhadap jemaah dan kepimpinan Ikhwanul Muslimin. Dalam konflik dalaman Ikhwanul Muslimin, beliau diletakkan dalam kelompok anti- Mursyidul Aam (Ustaz Hassan al Hudaybi) sehingga terlibat dalam cubaan merampas kuasa kepimpinan Ikhwanul Muslimin.

Syeikh Muhammad al Ghazali telah dipecat daripada Ikhwanul Muslimin. Setelah dipecat beliau bergerak sebagai ilmuwan Islam melalui Universiti al Azhar.

Seorang pemimpin Ikhwan pernah mengatakan ‘al Ghazali bukan saudara kita lagi’. Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi telah membantah kenyataan pemimpin tersebut dengan berkata ‘dia bukan saudara kita dalam jemaah tetapi dia tetap saudara kita dalam Islam’.

Yusuf al Qaradhawi menjelaskan bahawa kekurangan Ikhwan, ‘ apabila mereka mencintai seseorang, mereka mengangkatnya sehingga ke langit ketujuh, dan jika mereka membencinya maka dia akan dijatuhkan ke bumi yang paling bawah”[2].

Pemimpin dan anggota Jemaah Islam jangan mengkritik dan mencaci pemimpin yang dipecat atau keluar jemaah, doakan mereka terus bersama perjuangan Islam walaupun bukan bersama jemaah kita lagi.

Syeikh Muhammad al Ghazali dan  Penyertaan ‘Kerajaan Perpaduan’
Revolusi Mesir 1952 digerakkan oleh Pegawai Tentera dengan dokongan pelbagai pihak termauk Ikhwanul Muslimin. Ikhwanul Muslimin menghantar beberapa tokohnya seperti Syeikh Hassan al Baquri seorang Ulama Universiti al Azhar sebagai Menteri dalam kabinet Kerajaan Revolusi pimpinan Muhammad Naquib.

Sayyid Qutb ideolog Ikhwan sangat dihormati oleh pimpinan Pegawai Muda yang melakukan revolusi. Ada sesetengah pimpinan mereka pernah berbaiah dengan Ikhwanul Muslimin. Gamal Abdul Nasser sendiri didakwa berbaiah dengan Ikhwan pada tahun 1946. Kelompok Pegawai Muda menawarkan jawatan Menteri Pendidikan kepada Sayyid Qutb tetapi beliau menolak. Kemudian Sayyid Qutb dilantik sebagai Setiausaha Agung Majlis Revolusi. Bagaimanapun berlakunya masalah politik yang menyebabkan Sayyid Qutb mletakkan jawatan.

Perselisihan mula berlaku apabila pimpinan Ikhwan mengetahui bahawa Gamal Abdul Nasser menginginkan revolusi tersebut milik dirinya sahaja. Gesaan Sayyid Qutb agar Islam dilaksanakan telah ditolak oleh Majlis Revolusi.[3]

Fitnah politik dan mengadu domba telah dicanang oleh kelompok Pegawai Muda sehingga berlaku pertembungan Nizam Khas (pasukan rahsia Ikhwan) dengan para pimpinan Ikhwan. Gamal Abdul Naser berjaya membuang perasaan hormat kepada pemimpin dalam kalangan pimpinan Ikhwan yang lama dan muda. [4]

Krisis semakin memuncak. Ikhwan memutuskan hubungan dengan kerajaan Revolusi. Syeikh Hassan al Baquri diarahkan keluar  dan meletak jawatan dalam kabinet. Malangnya beliau mengingkari arahan pimpinan ikhwan.

Syeikh Muhammad al Ghazali dan sahabat-sahabatnya seperti  Ustaz Salih Ashmawi dan Muhammad Suhaimi masih bersangka baik dengan dengan Kerajaan Revolusi. Natijahnya, beliau dan rakan-rakan melawan Mursyidul Aam. Keadaan semakin tidak terkawal apabila sebahagian pengikut anti Mursyidul Aam merampas pejabat Ikhwan. Selepas krisis rampasan pejabat Ikhwan berjaya diselesaikan. Syeikh Muhammad al Ghazali dan beberapa sahabatnya dipecat  daripada Ikhwanul Muslimin ekoranmasalah disiplin dalam berjemaah.



Merebut Baju Amanah
Baju amanah adalah ‘pakaian kekuasaan’ yang dipakaikan Allah melalui bai’ah rakyat. Kisah yang berlaku pada zaman Khalifah Uthman al Affan perlu dijadikan pengajaran kepada pihak yang mahu berebut kekuasaan dengan berkonflik sesama sendiri. Pihak penentang Khalifah Utsan memberi tiga pilihan kepada beliau .

Pilihan tersebut ialah
1.      Menyerahkan kekuasaan kepada penentang
2.      Penentang boleh pilih pemimpin mengikut kehendak  mereka
3.      Dibunuh

Jawab Saidina Uthman “adapun keinginan mereka agar aku mengundur diri maka aku tidak akan melepaskan pakaian yang telah dipakaikan oleh Allah”.

Kenyataan Saidina Uthman bukanlah bermaksud beliau tamak dan gila kuasa. Kekuasaan politik adalah amanah dan tanggungjawab. Ia juga melihat kesan ekoran pemberian kekuasaan kepada pihak yang tidak amanah. Justeru tepat sekali tindakan dilakukan oleh Sadina Uthman dalam menangani pihak penentangnya mengkritik dan mahu menumbangnya. Fahaman Saidina Usman diteruskan politik PAS melalui kenyataan Tuan Guru Fadzil Noor, ‘tiada ruang meletak jawatan dalam Islam’

Mengkritik mudah sekali tetapi jika kita diberi tanggungjawab, barulah kita tahu peritnya. Penulis melihat ahli gerakan Islam bahkan pemimpin mereka yang gemar mengkritik perlu diberi peluang sebagai pentadbir dalam jemaah Islam yang disayanginya.  Moga mereka merasai keperitan menguruskan pelbagai masalah.

Syeikh Muhammad al Ghazali pernah menemui Muryidul Aam ketiga Ikhwan, Ustaz Umar Tilmisani dalam usaha bekerjasama dan menyumbang untuk Islam . Beliau ditanya oleh Ustaz Umar ‘kamu tahu pekerjaan ini(memimpin Ikhwan) merupakan beban berat yang terpaksa kupikul dan kuterima?. Muhammad al Ghazali menjawab ‘aku tahu hal itu. Kerana itu bermatlamat tampil di depan dan tidak inginkan jawatan. Orang seperti anda sangat berhak mendapat perlindungan dan bimbingan Allah’.

Sesiapa yang memegang baju amanah perlu menerjang badai yang datang dari luar dan dalam jemaah sendiri. Dalam jemaah Islam seperti PAS, baju amanah ini dibenar direbut melalui pertandingan berdasarkan perlembagaan. Pertandingan memberi bertanggungjawab untuk berbakti kepada agama dan negara. Jadi para pemimpin yang layak perlulah menonjolkan diri untuk mengapai baju amanah tersebut dan dicalonkan oleh perwakilan.

Jika tiada pilihan, ahli jemaah Islam perlu memilih seorang tokoh yang dilihat ‘penyatu atau penstabil jemaah’ walaupun karisma, idealisme dan kekuatan kepimpinan tiada.

Walaubagaimanapun, tokoh ini wajib mendapat suara majoriti ahli jemaah. Perkara pernah dialami oleh Mursyidul Aaam kedua ikhwan, ustaz Hasan Hudaybi.

Muhammad al Ghazali menyatakan ‘ Ustaz Hasan Hudaybi tidak pernah berupaya untuk memimpin Ikhwanul Muslimin, tetapi Ikhwanlah yang meminta beliau memimpinnya. Ketegasan dan keistiqomahannya berhak diketahui oleh setiap orang. Beliau tidak pernah berkeluh kesah atau mundur kerana musibah atau ujian. Sehingga usia yang sudah senja pun beliau tetap memiliki keimanan yang mendalam dan optimisme tinggi.’

Sambung Muhammad al Ghazali lagi ‘Tidaklah salah jika dikatakan bahawa kesabaran yang mengukuhkan imannya itu menjadikannya lebih mulia dalam pandangan saya. Musibah yang menimpa diri dan keluarganya secara bertubi-tubi tidak mengikis sifat jujurnya dalam menghukumi masalah. Bahkan, tidak membuatnya surut dari manhaj Jamaah Islamiyah, malah sebaliknya. Saya menemuinya setelah berbagai musibah berlalu untuk memperbaiki hubungan dengannya. Semoga Allah Ta'ala mengampuni kita semua’.

Ustaz Hassan al Hudaybi memang kelihatan lemah pengaruhnya tetapi dalam muktamar tidak pernah kalah. Beliau adalah tokoh penyatu dan penstabil Ikhwan . Tanpanya krisis kepimpinan Ikhwan semakin parah kerana dalam Ikhwan mempunyai ramai pemimpin berbakat dan berpotensi yang boleh menyebabkan berlakunya konflik kepimpinan.

Muhammad al Ghazali adalah ‘musuh politik’ Ustaz Hasan al Hudaybi dalam konteks politik dalaman Ikhwanul Muslimin. Permusuhan ini hanyalah dari segi idealisme dan pendekatan. Walaupun, pihak penentang Ustaz Hasan al Hudaybi termasuk Muhammad al Ghazali melakukan tindakan politik yang ekstrem dengan melakukan rampasan kuasa dalam Ikhwan. Krisis ini dilihat krisis peribadi dan antara kem pemikiran dalam Ikhwan.

Para penentang dalam jemaah Islam, gunakanlah peluang muktamar untuk bertanding melawan pimpinan yang sedia ada. Bertanding dan lawan secara sihat melalui jalan yang sudah ditentukan oleh jemaah Islam, bukannya terus menanam budaya munafik dengan fitnah dan kenyataan jahat tindakan yang tidak bermoral.

Kaum ‘Jiwa Pemberontak’ Dalam Jemaah
Kaum ‘jiwa pemberontak’ adalah kemuncup dalam sesebuah gerakan Islam. Mereka bukan musuh, mereka adalah sahabat yang kegatalan dan suka mencuit kepimpinan. Mereka banyak idea, terlampau bersemangat, tak sabar nak menang, tergesa-gesa dalam melangkah dan menjadi ‘bahasa perantaraan kedua’ bagi pihak yang tak berpuas hati keputusan mesyuarat atau pendapat pimpinan lain.

Tuan Guru Haji Fadzil Mohd Nor mengelarkan diri mereka sebagai ‘budak nakal’. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memanggil mereka bersemangat ‘pepsi cola’. Istilah Rashid Ghannousshi ‘gangguan’.

Mereka mudah dikesan dalam tulisan yang tidak puas hati dengan pemimpin, mengkritik parti dan mudah melabel pada seseorang pemimpin. Mereka cuba mengagaskan perubahan yang dirasakan perlu tetapi tidak dapat sokongan popular. Akhirnya, mereka mabuk dengan akal-budi sendiri sehingga hampir terbabas daripada landasan perjuangan.

Bagi penulis, mereka melakukan ijtihad tetapi tersalah dan menggunakan pendapat minoriti untuk ‘merampas kuasa’ pendapat kepimpinan. Mereka mahu majoriti memenuhi hasrat mereka dan mereka tidak berjaya. Sewajarnya, jika pendapat kita minoriti, kita harus akur kepada pendapat majoriti selagi pendapat majoriti tidak melanggari al Quran dan sunnah. Jika tidak, mereka harus keluar parti atau bertawaquf.

Perkara sebegini pernah berlaku dalam kehidupan Syeikh Muhammad al Ghazali. Beliau mahu perubahan dalam pendekatan Mursyidul Aam, Ustaz Hassan al Hudaybi. Darah muda ketika membuat beliau terlibat dalam usaha menurunkan ustaz Hassan al Hudaybi daripada kepimpinan. Natijahnya, beliau bersama-sama sahabt beliau telah dipecat.



Kehadiran Pemimpin Ekspres
Penghijrahan ramai manusia yang pelbagai latar belakang mengusarkan kerana tidak mengetahui akan niat mereka. Kita tahu orang terbaik pada zaman jahiliah adalah orang terbaik pada zaman Islam. Cuma bersikap berhati-hati sangat perlu dalam mengangkat seseorang pemimpin baru berbakat.

PAS merupakan organisasi yang baik, mudah berbaik sangka dan percaya kepada ahli baru. PAS mengamalkan keahlian terbuka berdasarkan keupayaan individu melalui prestasi, pengaruh dan komitmen yang dinilai oleh para perwakilan. Berbanding dengan jemaah Islam lain yang mempunyai pemeringkatan dalam sistem keahlian mereka. Sebagai contoh, ahli biasa, ahli aktif, ahli teras dan ahli kehormat.

Untuk rekod PAS pernah melantik ahli  baru sebagai Timbalan Ketua Penerangan, Setiausaha Agung, Naib Presiden bahkan Dr Burhanuddin al Helmy dilantik sebagai Yang Dipertua PAS setelah 11 hari menjadi ahli PAS!.[5]

Ada sesetengah pemimpin gerakan Islam berjuang di sebalik tabir akibat beberapa kekangan. Perkara ini berlaku pada Imam Hassan al Hudaybi, anak didik Imam Hassan al Banna yang berjuang di sebalik tabir. Kehadiran al Hudaybi sebagai seorang pemimpin tertinggi amat mengejutkan pemimpin senior Ikhwan.

Di Malaysia kita dikejutkan bahawa Prof Ahmad Ibrahim dan Aminuddin Baki adalah seorang yang pro PAS. Ustaz  Hassan al Hudaybi adalah ahli usrah khusus dan menyertai aktiviti khusus bersama al Banna. Beliau juga adalah penasihat dalaman al Banna. Pada malam kematian al banna, al Banna datang ke rumah Ustaz Hassan al Hudaybi. Ustaz Hassan Hudaybi sendiri membantah pertemuan itu diteruskan tetapi ia tidak dipersetujui oleh al banna.

Kehadiran pemimpin yang ekspres meningkat dalam jemaah Islam sudah tentu mengusarkan pemimpin senior. Ustaz Hassan al Hudaybi sebagai contoh, beliau adalah bekas Hakim yang lama berkhidmat dengan kerajaan, berada disebalik tabir dan lambat muncul diri sebagai pimpinan menyebabkan fitnah dan salah faham mula berlaku dalam Ikhwan. Tidak hairanlah anak muda yang bersemangat tinggi seperti Syeikh Muhammad al Ghazali menentang peningkatan mendadak dan pendekatan beliau.

Kelemahan Kepimpinan
Setiap pemimpin ada kelemahan yang tersendiri. Kita mudah mencari kelemahan berbanding memuji kekuatan dan kejayaan seseorang pemimpin.

Pemimpin mesti akur dengan keputusan mesyuarat. Mesyuarat dilakukan dalam perkara ijtihad bukannya dalam perkara yang sudah ada nas al Quran dan hadith. Bahaya yang besar jika mesyuarat dikuasai oleh pihak bernafsu politik kekuasaan  yang mengalahkan  politik dakwah.

Dalam membuat keputusan, ada keputusan pimpinan yang tersalah langkah atau tidak digemari oleh segelintir pimpinan yang lain. Kesilapan ini haruslah dimaafkan diatas kesalahan ijtihad seseorang pemimpin dan majlis syuranya. Pemimpin jemaah Islam bukanlah para nabi yang maksum daripada dosa. Kesilapan pimpinan seringkali berlaku ekoran kelemahan akal dan kekurangan maklumat seseorang.

Jangan noktahkan pemikiran kita dengan dendam kesumat bahawa pemimpin yang melakukan kesilapan mesti dinyahkan daripada jawatannya. Pemimpin itu harus dibenci.

 Iman Hasan al Banna pernah menasihati jiwa memberontak Sheikh Muhammad al Ghazali dengan menyatakan ‘jangan sekali-sekali ada unsur negatif [dendam] di hatimu terhadap seseorang tetapi jangan berhenti daripada mengharapkan petunjuk buatnya!’. Jangan kita  berdendam dengan seseorang tetapi berdoa untuk mereka dengan mengharapkan petunjuk Allah meluruskan keputusan yang akan dilakukan oleh mereka.

Semangat dan Jiwa Muda Mengelabui Jalan Perjuangan: Satu Penginsafan
Apabila melihat kezaliman dan permusuhan Gamal Abdul Nasser terhadap islam dan dakwah ikhwan, beliau terus mengubah sikap. Beliau memuji keberanian dan kesabaran Ustaz Hassan al Hudaybi dalam menghadapi dugaan tersebut. Selepas Ustaz Hassan dibebaskan, terus beliau menziarahi dan berjabat tangan dengan penuh penghormatan dan persaudaraan.[6]

Semangat anak muda melahirkan sikap gopoh dalam perjuangan, akal pendek dalam bertindak dan suka melawan pemimpin atau ketua.  Mereka juga mengharapkan perubahan berlaku dengan cepat. Mereka juga kagum dengan kekuatan fizikal dan akal mereka. Tetapi tiada penglaman. Pengalaman bagaikan roda kereta. Sehebat mana kereta dan jalan raya, tanpa roda ia tidak membawa ke mana-mana. Pengalaman memerlukan usia. Usia yang dimiliki oleh orang lama. Oleh itu orang muda perlu bimbingan orang lama dalam bertindak.

Orang muda adalah pelaksana
Bukan pemikir.
Orang Muda berkampung dengan lumpur
Bukan hanya menulis di kerusi empuk dengan starbuk!
Orang muda membaca, berwacana dan menulis
untuk menghasilkan tindakan.
Orang muda
hidupnya mesti berjasa.




[1] Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali adalah tokoh ABIM yang banyak mengkaji pemikiran tokoh gerakan Islam. Beliau banyak menulis buku, kertas kerja dan artikel. Antara blog yang boleh dirujuk adalah Minda Madani.
[2] Yusuf al Qaradhawi, Aku dan al Ikhwan al Muslimin, KL: Alam Raya, 2010.
[3] Fauzi Zakaria, Pengaruh Pemikiran Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia, KL: Jundi, 2007
[4] Mohd Rumaizuddin Ghazali, Pemikiran Muhammad al Ghazali,  Nilai: USIM, 2012.
[5] PAS pernah bercadang melantik Anwar Ibrahim sebagai YDP PAS pada awal 1980an tetapi harapan tersebut hancur berkecai apabila pemimpin harapan gerakan Islam di Malaysia itu masuk UMNO.
[6] Rujuk Mohd Rumaizuddin Ghazali, Pemikiran Muhammad al Ghazali.

PENSEJARAHAN GERAKAN MAHASISWA MALAYSIA




“Kita tidak kurang tukang angguk,kita tidak kurang tukang geleng, tapi kita kurang orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah apa yang sudah digeleng.”
Prof Zulkifli Muhammad (Timb. YDP PAS)

Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias


Pendahuluan

Gerakan mahasiswa adalah sub-gerakan politik mahasiswa. Gerakan mahasiswa berjuang dengan cara mereka. Mahu mara bangkit menentang kemungkaran dan kedurjanaan penguasa dalam menegakkan kebenaran. Gerakan mahasiswa bukan sahaja terkongkong dalam dunia kampus tetapi keluar menyemai bakti dalam masyarakat dan negara.

Ada sesetengah pendapat, gerakan mahasiswa hanya pentas lonjakan yang beragenda dan pentas lakonan mengumpan sang pengail kekuasaan yang beragenda. Kenapa sebegitu?. Pada mereka, pemimpin mahasiswa bohong diri mereka dan diri sendiri kerana ada yang berseberangan daripada perjuangan mereka semasa zaman mahasiswa.

Pada hemat Wong Cilik, gerakan mahasiswa adalah medan latihan politik, bermasyarakat, berekonomi, pengurusan, komunikasi, bina jaringan pengaruh, berkenalan dengan para tokoh dan lain-lain. Kehendak politik beragenda datang kemudian dengan kepentingan diri dan kehendak keluarga.

Sejarah gerakan mahasiswa bukannya perlu dikenang atau dikhayali tetapi ia perlu diambil ibrah  dalam membina semangat zaman. Gabungan falsafah, sejarah dan tindakan diharapkan menghasilkan sesuatu impak dalam perjuangan gerakan mahasiswa di Malaysia.

Romantisme Dalam Sejarah Gerakan Mahasiswa

Romantisme[1] dalam sejarah gerakan mahasiswa akan membawa kita mengimbau kenangan lama, mengimpikan ia kembali dan mengkhayali kekuatan silam. Sejarah perlu diambil ibrah bukannya membina semula angan-angan tanpa usaha dan tindakan.

Pengalaman romantisme adalah pengalaman yang hanya terjadi dalam angan-angan, seperti lamunan muda-mudi dengan kekasihnya. Ia bagaikan tidak berpijak pada bumi yang nyata dan penekanan emosi yang kuat dari segi estetika dan menyertakan emosi seperti takjub, bangga, dan ‘syok’ yang dialami. Ini antara faham ringkas romantisme.

Ada setengah pendapat, sejarah akan menghasilkan keromantisan. Perkara yang perlu diwacanakan dalam gerakan mahasiswa adalah falsafah. Falsafah dikatakan kerangka pemikiran yang bakal dilaksanakan oleh mahasiswa. Sesebuah falsafah berasal daripada sejarah. Pada hemat saya,gabungan sejarah dan falsafah bersama tindakan akan menjadi gabungan yang terulung. Ketiga-tiga elemen ini saling perlu memerlukan dalam perjalanan sesebuah gerakan mahasiswa.

Selain itu, romantisme ini boleh meningkat semangat perjuangan aktivis gerakan mahasiswa. Perjuangan Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais dan Che Guevara banyak menjadi aspiratif kepada anak muda dalam perjuangan mereka. Anak muda mahu berjuang seumpama tokoh idola yang menjadi panutan mereka.


Sejarah Gerakan Mahasiswa Antarabangsa: Bangkit Daripada Manifesto Cardoba

Menurut Ausaf Ali faktor-faktor penting penyebab kebangkitan rakyat dan reformasi ialah pertama, munculnya kritikkan  terhadap realiti dan kehidupan sosial yang ada telah dilakukan oleh golongan reformis. Kedua, adanya paradigma baru nilai-nilai, norma dan sistem yang menjelaskan perbezaan; dan ketiga, penyertaan sosial yang disertai mereka yang cenderung dengan golongan reformis  tersebut dalam mentransformasikan masyarakat.

Menurut penelitian Adi Usman Musa, gerakan mahasiswa yang pertama dikesan pada tahun 1918 dimana gerakan mahasiswa di Argentina telah mendeklarasikan Manifesto Cordoba.  Walaubagaimanapun Lipset menyatakan eleman aktivis mahasiswa sudah ada semasa revolusi Jerman dan Austria pada tahun 1848.

Mahasiswa Amerika Latin telah memulakan langkah mahasiswa turun ke lapangan demonstrasi. Kebangkitan ini berpunca daripada struktur politik masyarakat dan uiniversiti. Reformasi pendidikan universiti di Amerika Latin lahir dari Manifesto Cordoba, ketika mahasiswa Cordoba di Argentina mengeluarkan sebuah manifesto yang menuntut autonomi universiti dan keterlibatan mahasiswa dalam pentadbiran universiti. Istilah yang terkenal dalam kelibatan mahasiswa dalam pentadbiran university ialah  cogobierno (kawalan bersama).

Manifesto ini dimurnikan setelah pertemuan diantara pimpinan mahasiswa seluruh Argentina. Atas persetujuan bersama, para pimpinan mahasiswa mahu reformasikan university dengan tuntutan, iaitu pertama, pilihanraya; kedua, penghapusan rasis dalam pemilihan pensyarah; ketiga, biasiswa mahasiswa; keempat, orientasi social university di university sendiri; kelima, pendemokrasian system organisasi university.

Dalam tempo 20 tahun, tuntutan mahasiswa Argentina ini menyebar ke seluruh Amerika Latin. Di Peru tahun 1919; di Chili tahun 1920; Columbia tahun 1924; Paraguay tahun 1927; di Brazil dan Bolivia tahun 1928; Mexico tahun 1929; dan Costarika tahun 1930, dengan keberhasilan yang berbeza-beza. Dunia telah digemparkan apabila dictator Venezella telah digulingkan pada tahun 1966. Mahasiswa telah mempertahankan university sehingga pasukan kereta kebal merempuh dan menyerbu kampus. Pengulingan sesebuah kerajaan diktaktor bagi membolehkan perubahan social dilakukan.

Pada pertengahan tahun 1960an, kelompok mahasiswa pro Mao Tse Tung telah melakukan demonstrasi[2] dalam menentang Presiden China, Liu Shao Chi. Mereka juga mengkritik pensyarah Universiti Beijing.  Pasukan Liu Shao Chi telah bertempur dengan mahasiswa yang dipimpin oleh Kuai Da Fu. Kuai da Fu berjaya ditangkap. Semasa dalam penjara, Kuai Da Fu telah dibebaskan dengan perancangan sulit Mao Tse Tung. Kumpulan kecil Revolusi Kebudayaan telah mengarahkan Kuai Da Fu[3] memimpin Red Guards yang terdiri daripada 5000 orang mahasiswa  berarak keliling Beijing dengan slogan ‘hapuskan Liu Shao chi’. Atas muslihat desakan rakyat ini, Mao Tse Tung memecat Liu Shao Chi sebagai Presiden China.

Bantahan menentang pemerintahan komunis China tahun 1989 berlaku di Medan Tiananmen mengorbankan lebih 10000 orang.  Semenjak tahun 1978, Deng Xiaoping telah memperkenalkan pembaharuan ekonomi dan social sehingga berlaku ketidak-puasan hati dalam kalangan rakyat. Pada awal tahun 1989. Dua kelompok utama penentang kerajaan iaitu pertama,  mahasiswa dan cendikiawan kerana pembaharuan hanya dalam kalangan petani dan pekerjaan sahaja. Mereka mahu  liberalisasi politik glasnost yang dilakukan oleh Mikhail Gorbachev. Kedua, kelompok pekerja industry yang mengatakan hala tuju ekonomi Deng tersasar.

Demonstrasi bermula sejak 15 April dan berakhir pada 4 Jun 1989. Pada awalnya protes mahasiswa ini kerana ketidakstabilan ekonomi, rasuah dan situasi politik[4].  Setelah 7 minggu berhimpun, kereta tentera China mula mara dan merempuh para penunjuk perasaan, memukul dan menembak secara melulu. Akibanya, ramai yang mati ditembak.

Gerakan mahasiswa Sepanyol bekerjasama dengan gerakan sekerja. Kempen kebebasan berpersatuan telah menjadi isu politik. Isu juga diperjuangan oleh gerakan pekerja Pada bulan Februari 1967 di Madrid, mahasiswa berdemonstrasi secara khusus menuntut perwakilan gerakan sekerja berada dalam suruhanjaya membahas undang-undang pertubuhan sekerja. Selama tiga hari (1-3 Mei 1968) mereka berdemonstrasi. Penangkapan tokoh gerakan sekerja dan mahasiswa melemahkan kebangkitan tersebut.

Sejarah Gerakan Mahasiswa Malaysia

Gerakan mahasiswa(baca: pelajar) bermula seiring dengan perkembangan pendidikan di negara ini. Pada tahun 1816, sekolah pertama dibina oleh British iaitu Penang Free School. Pada tahun 1937, dunia pendidikan Tanah Melayu dikejutkan kelulusan pertama graduan Melayu dalam Senior Cambridge dan beliau adalah Abdul Wahab Mohd. Ariff. Beliau telah dianugerah Penang Free School Centenary Gold Medal pada tahun 1938 atas kecemerlangan pertama anak Melayu.

Kejayaan Abdul Wahab mendorong rakan-rakan mendesak beliau memberi nasihat agar mereka turut cemerlang. Hasilnya Abdul Wahab menubuhkan pertubuhan pertama pelajar Melayu iaitu Malay Boys League yang bertujuan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang tetapi terpaksa dibubar kerana larangan pengetua.

Semasa menuntut di Singapura, Abdul Wahab telah menjadi Presiden Mahasiswa Islam Kolej Raffles dan Perubatan Singapura iaitu sebuah pertubuhan Melayu Islam. Pertubuhan pelajar Melayu penting bagi menyatukan pelajar Melayu.  Jumlah pelajar yang kecil menyebabkan Abdul Wahab menyeru agar pelajar Melayu bersatu demi pelajaran.  Persatuan Mahasiswa Islam Kolej di Singapura juga mendesak agar kerajaan menubuhkan Majlis Pelajaran Tinggi yang diletakkan di bawah penyeliaan seorang pegawai Melayu sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.

Pada bulan April 1946, Aminuddin Baki seorang pelajar menengah atas Sekolah Anderson, Ipoh menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf(PERMI). Pada bulan Ogos 1947 PERMI cawangan Perak ditubuhkan. Perkembangan gerakan pelajar semakin pesat dengan penubuhan Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor(KPPMS) pada tahun 1946 dan Kesatuan Penuntut Melayu Pahang pada tahun 1947. Kesatuan Penuntut Melayu berkembang pesat pada tahun 1949 dengan penubuhan cawangan di negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Johor. Abdul Wahab telah mengetuai Jawatankuasa Persiapan Kongres Pelajar bagi menyatukan seluruh gerakan pelajar di Malaya.

Kongres Pelajar Melayu berlangsung di Maktab Teknik, Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1949. Pertubuhan yang hadir dalam kongres ini adalah Persatuan Penuntut-penuntut Muslim Maktab Teknik, PERMI(Perak), Persatuan Penuntut Melayu(Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kajang) dan Persatuan Penuntut-penuntut Melayu Maktab Tanam-tanaman. Mereka membincangkan permasalahan pelajar Melayu dan bagaimana untuk bekerjasama. Pada jam 12 tengah hari, 15 Ogos 1949, kongres bersetuju menubuhkan Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung(GPMS) yang diketuai oleh Abdul Wahab.  Apabila Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura, GPMS mendesak agar Dr. G.V. Allen sebagai Naib Canselor kerana beliau bersimpati dengan orang Melayu. Tampuk pimpinan GPMS dikuasai oleh mahasiswa Universiti Malaya seperti Lokman Musa, Musa Hitam dan Abdullah Ahmad Badawi.

Kewujudan kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur telah mengalakkan perkembangan gerakan mahasiswa. Sebenarnya banyak persatuan mahasiswa yang telah ditubuhkan tetapi penulis menumpukan kepada persatuan yang berpengaruh di Universiti Malaya iaitu PMUM, PBMUM dan PMIUM. Hampir semua mahasiswa di Universiti Malaya bernaung di bawah PMUM atau UMSU mula ditubuh pada 1 Januari 1962 seiring dengan hari penubuhan Universiti Malaya yang ditubuh di bawah Akta Universiti Malaya. Maka Persatuan Mahasiswa yang ditubuh pada 15 Januari 1959 telah berakhir pada penghujung 1961.

Tujuan PMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain. PMUM adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa. PMUM diakui sebagai suara rasmi mahasiswa oleh pihak Universiti Malaya. PMUM adalah pertubuhan yang lantang bersuara memperjuangkan isu kampus, antarabangsa dan nasional.

PMUM mempunyai kuasa menjalinkan hubungan rasmi dengan badan mahasiswa yang lain sama ada di dalam atau di luar negara. PMUM menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia(PKPM) yang merupakan wakil badan mahasiswa Malaysia dalam arena antarabangsa. PKPM telah ditubuhkan pada tahun 1958 dengan nama National Union of Federation Student(PKPPTM) dan ditukar nama kepada PKPM pada tahun 1962. PKPM yang didominasi oleh tokoh PMUM juga bergabung di bawah International Student Council yang berpusat di London dan menyambut 17 November setiap tahun sebagai Hari Pelajar Antarabangsa.

Pada tahun 1960an, angin perubahan telah berlaku di dunia apabila mahasiswa telah menunjukkan sikap pemberontakan mereka di jalanan. Ia telah menjadi fenomena seiring dengan fenomena The Beatles. Satu era yang penuh romantisme. Gerakan mahasiswa radikal bersama rakyat telah menjatuhkan rejim Peron di Argentina pada tahun 1958, Perez Jimenez di Venezuela pada tahun 1958 dan menurunkan Ayub Khan pada 1969. Pemberontakan ini  yang digerakkan oleh mahasiswa sosialis telah berjaya mempengaruhi jiwa radikal mahasiswa Malaysia.

Tahun 1967 menjadi titik perubahan besar bagi gerakan mahasiswa di Malaysia apabila Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar telah diadakan oleh PBMUM di Universiti Malaya. Ia titik perubahan penglibatan PBMUM daripada isu bahasa dan kebudayaan Melayu kepada isu-isu lain orang Melayu seperti ekonomi dan pendidikan. 

Pada September 1967 juga, Kelab Sosialis Universiti Malaya ditubuhkan. KSUM sangat berpengaruh apabila  2 orang ahli mereka berjaya menguasai tampuk kepimpinan PMUM melalui Syed Hamid Ali sebagai setiausaha agung PMUM dan Sanusi Osman sebagai Presiden PBMUM. Kedua-dua orang ahli KSUM telah memainkan peranan penting dalam mengerakkan mahasiswa bersama rakyat dalam demonstrasi membela hak rakyat tertindas dalam Peristiwa Teluk Gong. Antara tokoh mahasiswa KSUM ialah  Rustam A. Sani, Khong Kim Hoong, Justin Chang dan Koon Suan.

KSUM mempunyai hubungan rapat dengan Partai Rakyat ranting Pantai apabila Syed Hamid menjadi KetuaUmum di situ. Keunikkan KSUM ialah kelab ini mempunyai 2 pendaftaran iaitu dengan Majlis Kebajikan Pelajar dan Pendaftar Pertubuhan. Kelab ini juga antara 13 organisasi mahasiswa yang tidak bergabung dengan PMUM.

Sebelum berlaku peristiwa 13 Mei 1969, Syed Hamid Ali telah dituduh mengetuai perarakan mayat seorang anggota parti Buruh yang telah ditembak polis semasa demonstrasi pemulauan pilihanraya umum pada 10 Mei 1969. Selepas peristiwa hitam tersebut, Syed Hamid Ali memimpin PMUM menentang kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Pada 28 Ogos 1969, mahasiswa telah mengadakan demonstrasi sempena Persidangan Kebudayaan Antarabangsa di kampus UM. Ekoran itu, Syed Hamid Ali, Hanafiah Ishak, Yusuf Embong dan Aziz Deraman  ditangkap.

Selain sosialisme,  anasir komunis  pernah menyusup dalam PBCUM  sejak pertengahan tahun 1970an dimana jawatan setiausaha penerbitan dimenangi oleh seorang pro komunis. Pada bulan Jun 1971, kumpulan Sosialis Muda berjaya menguasai Jawatankuasa Kerja PBCUM dengan pemimpinnya berjaya memenangi jawatan presiden. Pada 14 Oktober 1974, pasukan keselamatan menjumpai dokumen pada seorang penganas komunis yang dibunuh di kampung Tanah Hitam, Perak. Dokumen itu menjelaskan pelantikan Tham Ah Mok sebagai agen komunis dalam PBCUM.

Kemuncak perjuangan kelompok sosialis ialah pada tahun 1974 dalam peristiwa Tasek Utara dan demonstrasi Baling. Ramai pimpinan mahasiswa sosialis seperti Kamarazaman Yaakob dan Adi Satira ditangkap manakala pimpinan seperti Hishamudin Rais dan Yunus Ali berjaya melarikan diri keluar negara.  Selepas kewujudan AUKU 1975, kelompok sosialis menjadi kurang berpengaruh dalam politik kampus.


PBMUM pula ditubuhkan pada 29 Januari 1955 di Singapura dengan ahli seramai 27 orang semasa tahap awal. Di Singapura, PBMUM dikenali Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan perkataan persekutuan diganti dengan persatuan pada tahun 1969.  Penubuhan PBMUM adalah hasil usaha pensyarah dan pelajar fakulti Sastera seperti Lokman Musa, Noh Abdullah, Tahir Abdul Rahman dan Fatimah Hasyim. Walau bagaimanapun, idea penubuhan PBMUM telah dicetuskan oleh Ungku Aziz dan Za’ba sejak tahun 1954 lagi. Pada tahun 1956, keahlian PBMUM seramai 202 meningkat kepada 721 orang pada tahun 1965. Pada sesi 1970/1971, keahlian PBMUM adalah 3123 orang  menjadi antara persatuan berpengaruh di Universiti Malaya.

PBMUM tidak bergabung dengan PMUM kerana hala tuju PMUM tidak selaras dengan perjuangan bahasa dan kebudayaan Melayu. Pengabungan akan membatasi peranan PBMUM. Teras perjuangan PBMUM berdasarkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1954 yang mendesak Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Hasrat ini bertambah kukuh apabila Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu yang bersidang pada 31 Mei 1955 bersetuju menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pada tahun 1969, PBMUM meminda perlembagaan dengan menambah isu perjuangan iaitu mengambil berat dan memperjuangkan pelajaran dalam Bahasa Melayu dan berusaha memperjuangkan keadaan bangsa dan negara. PBMUM mendakwa mereka adalah penyambung lidah rakyat bukanlah perjuangan perkauman tetapi perjuangan nasional.

Menurut Kochiko Mazilo, pendekatan PBMUM bukan emosional dan radikal tetapi bagi batu timbang setiap pergerakan yang menyeleweng daripada aspirasi nasional. Bahasa Melayu dan dasar pelajaran adalah cita-cita rakyat yang taat kerana bahasa bukan soal politik dan pelajaran bukan persoalan ekonomi.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang mahasiswa Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid ar-Rahman yang dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia.

Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.

Sejarah Gerakan Mahasiswa Islam[5]

Peningkatan kesedaran Islam pada tahun 1970an telah meletakkan PMIUM sebagai wadah penting dalam perjuangan Islam di kampus. Walau bagaimanapun, PMIUM bukanlah satu kuasa politik yang mendominasi politik kampus sebagaimana Kelab Sosialis. PMIUM pada ketika itu bersifat Nasionalis-Islamis yang berjuang untuk kepentingan Islam dan bangsa Melayu termasuk isu bahasa dan kemiskinan. Siddiq Fadil Presiden PMIUM sesi 1972/73 telah berjaya mengikis semangat nasinalisme sempit dan mengarahkan semangat tersebut mengikut perspektif Islam.  

Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis ini mestilah dibuktikan dengan komitmen yang tegas termasuk pelaksanaan Islam sepenuhnya serta langkah amali yang konkrit secara bersungguh-sungguh. Oleh sebab itu, PMIUM cuba menghalang upacara kemaksiatan di Universiti Malaya seperti majlis ball night dan unsur judi dalam pestaria.

Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi dengan aktiviti PMUM yang bercorak kebudayaan dan kemaksiatan sehingga berlaku ‘perang dingin’ antara PMIUM dengan PMUM.. Oleh sebab itu, PMIUM disingkir daripada AJK Orientasi sesi 1975/76 dan hanya diterima semula pada sesi 1977/78 tetapi pada sesi 1978/79 sekali lagi PMIUM disingkirkan. Keadaan ini mendorong PMIUM mengubah corak perjuangan dengan memasuki politik kampus agar mereka lebih progresif untuk mengambil alih tampuk pimpinan PMUM.

Cubaan pertama PMIUM untuk memenuhi cita-cita siasah dengan meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kampus. Pada tahun 1977, PMIUM meletakkan calon mereka iaitu Sidek Baba [pensyarah UIA, orang kuat ABIM], Syed Muhamad Dawilah al Idrus [pensyarah USM], Nasaruddin Abdul Jalil dan Naharuddin Abdullah. Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah berjaya memenangi kerusi.

Pada pilihan raya sesi 1979/80, PMIUM memenangi 10 kerusi tetapi gagal memperolehi majoriti 2/3. Antara calon PMIUM adalah Redzuan Othman di fakulti Sastera dan Yazid Othman bagi kerusi umum. Kumpulan Islam membentuk Barisan Mahasiswa bagi menentang Gabungan Mahasiswa. Pilihan raya sesi 1979 telah menelurkan budaya berparti dalam politik kampus. Barisan Mahasiswa yang ‘menang tipis’ telah memilih Anual Bakri [pernah menjadi S.U. MB Kelantan] sebagai Presiden PMUM dan Yazid Othman [pernah aktif dalam persatuan wartawan di KL] sebagai Naib Presiden.

Kerajaan mahasiswa Islam mula mencegah aktiviti mungkar seperti jamuan arak dan budaya makan malam tahunan yang dihiasi program mungkar. Aktiviti persatuan perlu terbatas kepada aktiviti tidak bercorak ‘yahudi’.  Penubuhan kerajaan pelajar Islam yang pertama ditentang hebat oleh proksi Nasionalis.  Barisan Mahasiswa tidak dapat membentuk kabinet PMUM yang mantap kerana Gabungan Mahasiswa mendapat 11 kerusi daripada 21 kerusi.  Kesilapan Barisan Mahasiswa adalah memperuntuk tiga kerusi untuk orang bukan Melayu tetapi tiada orang bukan Melayu mahu bertanding untuk Barisan menyebabkan Gabungan Mahasiswa menang mudah.

Pada 4 Ogos 1979, Barisan Mahasiswa cuba menubuhkan kabinet tetapi Ketua Gabungan Mahasiswa, Yusuf Abdul Rahman cuba melakukan undi tidak percaya. Kelompok Islamis mengambil tindakan bijaksana dengan keluar mesyuarat agar korum 2/3 tidak mencukupi untuk mengundi. Yusuf Abdul Rahman menyifatkan tindakan 10 anggota Barisan tidak demokrat. Barisan mencabar Gabungan agar meletak jawatan supaya pilihan raya dapat diadakan semula. Kekecohan ini menyebabkan pendaftar HEP Yunus Nawal dan Puan Chua campurtangan. Akhirnya, Gabungan bersetuju bekerjasama walaupun cuba dihalang oleh ketuanya. Barisan kabinet PMUM diketuai oleh Anual Bakri Haron(Presiden), Yazid Othman(Timbalan), Redzuan Othman (Setiausaha Agung), Zaidan Ali(Bendahari), Amir Hamzah Abdul, Anuar Yusof, Yahya Husin, Mohd Nor Anuar, Abdul Ghani Ghulam Din, Abdullah Rahman, Fong Seng Wah, Cheng Huck Joo, Rosli Ahmad dan Yusuf Abdul Rahman.

Menurut Yusuf Abdul Rahman, Barisan adalah golongan radikal dan perkauman. Gabungan berjuang berdasarkan untuk perpaduan dan kebajikan pelajar. Gabungan menawarkan dasar kompromi dimana jika pihak menjawat jawatan presiden tidak boleh memegang jawatan setiausaha agung tetapi Barisan membolot kesemua jawatan utama. PMUM tidak berfungsi dengan baik menyebabkan Anual Bakri mahu berbincang dengan Yusuf di Dataran Ekonomi. Pada mulanya Yusuf menolak pelawaan tersebut tetapi setelah diugut oleh Roselan Abdul Rahman untuk menarik balik sokongan terhadap Gabungan, beliau bersetuju berbincang.

Krisis PMUM selesai apabila Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung meletakkan jawatan  iaitu Anual Bakri [pernah menjadiS.U. Menteri Besar Kelantan], Yazid Othman dan Redzuan Othman [kini pensyarah Jabatan Sejarah UM, bekas Naib Presiden ABIM]. Kebuntuan kepimpinan PMUM sejak 23 Julai 1979 dapat diselesai dengan kompromi iaitu Yazid Othman sebagai Presiden, Yap Ching Kiat(Timbalan), Rosli Ahmad(Setiausaha Agung), Zaidin Ali(Bendahari) dan Redzuan Othman(Penolong Setiausaha Agung). Tekanan HEP dan masalah pemilihan personaliti menyebabkan golongan Islamis tewas dalam pilihan raya kampus 1980/81 pada 18 Julai 1980 kepada golongan Nasionalis.

Selain itu, kemenangan Gabungan disebabkan kegagalan Barisan menangani kes kepincangan perasmian TIG(aktiviti sukan), kegagalan baktisiswa di Sabah dan kegagalan program ke Indonesia. Calon ternama golongan pelajar Islam yang tewas adalah Zaidan Ali, Yazid Othman, Abdul Ghani Golamadin dan Che Yazid Che Seman. Roselan Abdul Rahman dilantik sebagai Presiden PMUM manakala Rosley Ahmad dilantik sebagai Naib Presiden. Kekalahan kumpulan Islamis dalam pilihan raya kampus di Universiti Malaya wajar ditelusuri daripada aspek tekanan psikologi yang dicanang oleh akhbar tempatan terutamanya Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia memberi gambaran kotor dengan mewujudkan polemik ‘Regim KAMI’ di kampus-kampus universiti tempatan. Kekalahan kumpulan Islamis yang disifatkan sebagai pelampau agama di UKM disebar secara meluas di muka utama akhbar tersebut. Secara terancang, isu perjudian semasa Pestaria 1980 dihangatkan kembali dengan tuduhan sempitnya pemikiran pimpinan PMUM terutamanya Yazid Othman. Tekanan psikologi menyebabkan pelajar terpaksa menolak kumpulan pelajar Islamis.


Pada pilihan raya sesi 1981/82 yang diadakan pada 24 Julai 1981, Islamic Group yang dipimpin oleh Ahmad Shabery Cheek telah berjaya menguasai MPP. Kumpulan Islam digelar ‘Kepimpinan Dinamis Mahasiswa Progresif’ berjaya memenangi pilihan raya kampus dan Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Presiden PMUM.  Kemenangan ini meningkat imej kumpulan Islamis yang tercalar pada pilhan raya sesi yang lepas.

Penguasaan golongan Islamis atau PMIUM terhadap politik kampus tidak berterusan kerana PMIUM memboikot pilihan raya kampus sesi 1983/84 kerana masih terdapat unsur judi dalam Pesta Ria sesi tersebut.  Kemantapan PMIUM membolehkan calon-calon mereka menguasai pilihan raya kampus 1985/86. Kemenangan ini menelurkan aspirasi baru kepada pelajar Islam kerana kumpulan Islam mula memdominasi kampus-kampus di seluruh negara. PMUM mengorak langkah menubuhkan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara(BBMN) yang menyelaras aktiviti pelajar Islam di bawah pimpinan Zulkifli Yusof (Presiden PMUM).

Di UKM, pengaruh Islam bermula dengan bermulanya penubuhan UKM. Kampus awal UKM berhampiran UKM banyak mempengaruhi gerakan mahasiswa UKM. Pada awal 1970an, PKPIM mula meluaskan pengaruh mereka ke kampus UKM. PKPIM berjaya meletak Ramli Ibrahim sebagai Pengerusi Penaja Jawatankuasa Penaja PMUKM dan kemudianya dilatik sebagai YDP PMUKM sesi 1971/72.

Pada sesi 1973/74 dibawah pimpinan Abdul Halim Arsyad PMUKM berkrisis dalam peristiwa pelantikan Abdullah AYUB sebagai NC dan krisis dengan Dato Harun Idris Menteri Besar Selangor dalam isu pembalakan haram. Antara pemimpin mahasiswa yang memainkan isu ini ialah Idris Juzi dan Abdul Rahman Rukaini. PMUKM juga turut menyertai banyak demonstrasi termasuk demonstrasi rakyat Baling.

Selepas AUKU 1975, PMUKM masih dikuasai oleh kelompok PKPIM yang diketuai oleh  Fuad Hasan dan dibantu oleh Abu Bakar Chik. Pada tahun 1979, budaya politik kepartian menular di UKM. Kumpulan Islamis dikenali Angkatan Tindakan Mahasiswa(ATMA) manakala kumpulan nasionalis-HEP oleh Tindakan Siswa Bersatu(TSB). Perseteruan mereka dalam banyak isu antaranya konsert Aleyycats, pertunjukan tarian lilin, isu kebajikan dan lain-lain.

ATMA memperkuatkan pengaruh mereka dalam ISIUKM. Politik kampus era 1970an di UKM dikuasai oleh kelompok Islamis. Pada tahun 1980, ATMA tewas buat kali pertama. Semua kerusi umum, ATMA tewas kecuali Fadhullah Shuaib. TSB melantik Mohd Rais Zainudin sebagai DYP dan dibantu oleh Abdul Rahman Bakar.

ATMA telah mengalami krisis setelah Anwar Ibrahim masuk UMNO. Kekecohan berlaku apabila pilihanraya kampus sesi 1984/85 dimana pro PAS diketuai oleh Wan Ismail Wan Jusoh  yang sepatunya menerajui PMUKM menarik diri dan tampuk DYP PMUKM diambil-alih oleh Mustafa Kamil Ayub.

ATMA telah berpecah kepada ATMA dan Ikatan Penyelamat Islam(IPU). IPU telah menguasai banyak persatuan mahasiswa termasuk PMUKM. IPU berbasiskan ISIUKM. Pertarungan IPU-ATMA-TSB berterusan. Antara ketiga-tiga kumpulan, ATMA paling lemah. Pada era tahun 1990an, IPU membina imej baru dengan menubuhkan Angkatan Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU).


Kebangkitan Jemaah Islam Kampus (JIK) Dalam Gerakan Mahasiswa

Jemaah Islam Kampus (JIK)[6] dikatakan sayap politik mahasiswa PAS ataupun kelompok pro PAS. Pegangan asai JIK adalah PAS dan anti kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Sejarah penubuhan mereka agak kabur tetapi ramai berpendapat JIK ditubuhkan setelah PMIUM dikuasai oleh kelompok pro PAS. Kalau begitulah pendapatnya, para pengasas JIK berada dalam kelompok yang merampas PMIUM daripada kelompok PKPIM-ABIM ketika itu. Secara peribadi, konsep JIK mendekati konsep IRC dimana konsep pemayungan organisasi dibawah kawalan Jemaah atau dikenali HIS. Tidak menghairankan kerana ramai tokoh JIK ketika itu rapat dengan Ustaz Alias Othman dan kelompok IRClah yang menguasai lujnah Tarbiah PAS ketika itu.

JIK bermula setelah peristiwa kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO yang  menelurkan kecelaruan pemikiran di kalangan penggerak gerakan pelajar Islam. Di Universiti Malaya, muktamar PMIUM sesi 1983/84 terpaksa ditangguh.  Perebutan kuasa tertinggi dalam PMIUM dimenangi oleh Mohamad Hussein dari proksi PAS setelah mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang pro Anwar. Pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim mencadangkan Takiyuddin Hasan sebagai presiden dan Mohamad Hussein sebagai timbalan tetapi ahli exco PMIUM bersetuju melantik Mohamad Hussein  sebagai presiden dan Takiyuddin sebagai timbalan. Kekecohan berlaku apabila Takiyuddin menarik diri  dalam muktamar dengan memberi laluan kepada Mohd Taib Ahmad.

Kumpulan pro Pas yang menjatuhkan juak ABIM terdiri daripada Mohamad Hussein(antara pengasas PASMA), Takiyuddin Hasan [pernah menjadi exco Kerajaan Kelantan], Syed Putra Syed Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi (bekas Presiden PBMUM, sekarang Dr., orang kuat UMNO Johor) dan Mohd Taib Ahmad (antara pengasas PASMA) berbincang di kg. Kerinchi bagi menaikkan kumpulan pro PAS. Mereka dikenali Kerinchi 6. Azami Zaharim yang pro ABIM-PKPIM membantah tetapi gagal apabila proksi ABIM hanya mendapat 35 undi.

Kekalahan proksi pro Anwar Ibrahim menandakan kelunturan pengaruh ABIM-PKPIM di kampus Universiti Malaya dan kemunculan PAS sebagai wadah perjuangan pelajar Islam yang baru. Kelompok yang dikatakan pro PAS ini dikenali sebagai Jemaah Islam Kampus (JIK). JIK menguasai organisasi seperti PMI sehingga ke hari ini.


PKPIM-ABIM mula melakukan pewarnaan semula bagi mengarahkan matlamat perjuangan di kampus. Proksi ini mula kembali semula mengakari PBMUM yang semakin kelesuan. Pengaruh PKPIM-ABIM terkelihatan dalam PBMUM dengan kehadiran Saifudin Abdullah sebagai Presiden PBMUM.[ mantan EXCO PMIUM sesi 1981/82 yang pro ABIM-PKPIM, kini ketua Akademi Belia Malaysia] Pertembungan golongan Islamis pro PAS dengan golongan Islamis pro ABIM-PKPIM yang telah bergabung dengan golongan Nasionalis(pro kerajaan dan universiti) telah merancak kembali suasana politik kampus.

 Golongan PKPIM-ABIM dan IRC bergabung tenaga membentuk BMB mula bertempur dengan NADI-Kelab PENA-PMIUM.


Pada 10 hb September, 1989, PMIUM menganjurkan demontrasi membantah konsert Sheila Majid di hadapan Dewan Tunku Canselor  yang dihadiri seramai 1500 orang. Demonstrasi ini menyebabkan dua orang pemimpin PMIUM iaitu Jamali Adnan (Setiausaha Agung) dan Jamaluddin Ramli (Bendahari) ditahan di bawah ISA. Perkara ini telah mencatat sejarah buat pertama kali pemimpin mahasiswa ditahan di bawah ISA selepas AUKU 1975 dikuatkuasakan. 

Pada hujung tahun 1980an, Prof Syed Hussein Alatas sebagai Naib Canselor telah mengadakan pilihanraya kampus  secara berparti  diwujudakan kembali dan sudut pidato. PMIUM telah menubuhkan sayap politik yang dikenali sebagai NADI.

Krisis bermula apabila, Shamsudin Moner telah dikatakan memilih memasuki Parti Semangat 46, pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.  Mahasiswa Melayu dalam BMB yang pro-UMNO  tidak bersetuju dengan tindakan Shamsuddin Moner.

Che Mohammad Che Dollah (Setiausaha Agung PMUM) dan beberapa exco telah membentuk 'Jawatankuasa Bertindak Mahasiswa Universiti Malaya (JBMUM) untuk menyingkirkan Naib Canselor Universiti Malaya, Syed Hussein Al-Attas kerana Naib Canselor telah melantik sahabat bukan Melayu menjawat jawatan penting di Universiti Malaya.

Tindakan JBMUM dibantah oleh mahasiswa Cina yang dipimpin oleh Tan Ah Kaw (Penolong Setiausaha Agung PMUM). Krisis ini semakin parah apabila Che Mohammad gagal meneruskan pengajian. Jawatan Setiausaha Agung PMUM dikosongkan dipangku oleh  Tan Ah Kaw. Presiden PMUM, Nazman gagal mengawal krisis ini.

Mahasiswa Cina dalam BMB menuntut jawatan Setiausaha Agong dan dibantah oleh mahasiswa Melayu  pro UMNO.  Mahasiswa Melayu pro UMNO berjaya melantik wakil mereka sebagai Setiausaha Agung PMUM yang baru selepas beberapa kali tertangguh.

Ekoran krisis ini, mahasiswa Cina telah menarik diri dalam BMB dan membentuk Angkatan Mahasiswa Adil (AMA) sebagai wakil mereka dalam pilihanraya kampus. Perpecahan ini memberi keuntungan kepada NADI yang berjaya mengalahkan BMB dalam pilihanraya kampus sesi 1990/91.

Menurut Dr Zuhdi Marzuki, persaingan tahun 1990an bukanlah antara nasionalis tulen dengan Islamis tetapi antara Islamis. IRC  dan nasionalis Islamis telah bersatu menubuhkan  Barisan Mahasiswa Bersatu(BMB). Antara pemimpin terkemuka BMB ialah Samsudin Moner. Tahun 1990an juga menyaksikan persaingan sengit untuk menang dalam piliharaya kampus. Kemenangan sering bertukar tangan antara NADI dan BMB.

Bermula sesi 1996/97, sistem berparti tidak dibenarkan lagi. PMIUM memunculkan calon mereka sebagai Pendokong Aspirasi manakala BMB dikenali sebagai Mahaiswa Bersatu. Pendokong Asprasi berjaya memenangi pilihanraya ini. Pada sesi 1998/99, PMIUM bersama UMANY  dan wakil mahasiswa lain  mengadakan tahaluf siasi dan menamakan pakatan mereka sebagai Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya(GMUM).

Pemecatan Anwar Ibrahim menyebabkan BMB lemah , maka muncullah Barisan Kepimpinan Mahasiswa(BKM). BKM gagal mencabar GMUM. BKM menjadi asas kepada Majlis Gerakan Mahasiswa Universiti Malaya(MGMUM). Pada awal tahun 2000an, pihak kerajaan telah menaja kumpulan yang dikenali sebagai ASPIRASI di kampus-kampus seluruh negara. Hampir 7 tahun kampus Universiti Malaya dikuasai oleh PMIUM. Pada tahun 2004, GMUM boikot pilihanraya dan tahun berikutnya GMUM tumbang kepada ASPIRASI.

Bacaan
Adie Usman Musa, Gerakan Mahasiswa, Dari Cordoba Hingga Tiananmen, Blog Proletar.

Rahim Noor, Berakhirnya Kisah Liu Shao Chi, Mingguan Malaysia 28/12/2014.

Mohamad Ridhwan Alias, Gerakan Pelajar Di Universiti Malaya Pada Tahun 1970-1986: Isu dan Pendekatan, Latihan Ilmiah Universiti Malaya, 2004.

Wikipedia

Mohamad Ridhwan Alias,  Sorotan Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya, dlm., Hasbie Muda(edt.), Mahasiswa Bangkit, Dungun: MCL, 2014.

Muhammad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat, KL: Pustaka Antara, 1973.

Kamal Azman, Arkib Politik Mahasiswa, ebook.

Suhaimi al Maniri, Di Sebalik Tabir Politik Kampus, KL: Pustaka Generasi Baru, 1995

Akhbar Api Mahasiswa

Laman Web Idealismahasiswa.



[1] Aliran romantisme ini bermula pada akhir abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-19. Akar ini telah mempengaruhi karakteristik budaya dan banyak karya seni dalam peradaban Barat. Antara tokoh romantisme ialah Victor Marie Hugo dan  Friedrich Von Schlegel.
[2]  Antara peristiwa demonstrasi besar ialah Pergerakan Empat Mei dalam tahun 1919 semasa penjajahan Jepundan Pergerakan Lima April pada tahun 1976 semasa menjatuhkan Kumpulan 4. Selain itu, lingkungan tahun 1986-1987 ada juga perhimpunan pro demokrasi.

[3] Kuai Da Fu berasal dari wilayah Hebei, berusia 20 tahun ketika itu. Beliau minat politik daripada usia 13 tahun lagi apabila melihat kebuluran dan penyalahgunaan kuasa pegawai kerajaan menindas rakyat. Beliau bertindak menghantar surat bantahan ke Ibupejabat Parti Komunis China di Beijing.
[4] Situasi politik yang dimaksudkan ialah kematian Hu Yaobang, Setiausaha Agungl PKC yang telah meletak jawatan. Hu dipandang sebagai seorang yang berpemikiran liberal dan dipaksa meletak jawatan dari posisinya oleh Deng.
Kebanyakkan rakyat terutamanya kelompok intelektual,menganggap ini sebagai sebuah perlakuan yang tidak adil.
[5] Di beberapa kampus terpilih.
[6] JIK adalah entity rahsia yang menguasai hamper semua persatuan yang ada di university. JIK dikatakan dikuasai oleh mahasiswa pro PAS. Basis utama mereka ialah Persatuan Mahasiswa Islam. Selain itu, PKPIM kampus(PKPIM_ABIM), PEMBINA(ISMA), KARISMA-GEMA (IKRAM-JIM) dan HALUAN Siswa(HALUAN Malaysia) juga mempunyai entity rahsia dan cuba menguasai persatuan-persatuan di kampus.