Memaparkan catatan dengan label gerakan mahasiswa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gerakan mahasiswa. Papar semua catatan

Rabu, 6 Januari 2016

Grup I: Cerita Tak Sahih Bagai Menari Dalam Mimpi



                                                                                                                        Berjuang dalam cerah
tak perlu menjadi sesumpah
tak perlu naik perahu kertas berlayar di lautan
Kalau mahu kuih akok, ikut acuan kuih akok bukannya acuan biskut moden
Kalau asal daripada telur ayam, menetas keluar ayam jua bukannya anak itik.

Grup I atau Grup Islah boleh dianggap sebagai  Group Intelligence Leader’ , satu nama yang didakwa sebagai kelompok kiri atau progresif dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia. Kelompok kiri dalam sesebuah organisasi bermaksud satu kelompok progresif yang bersifat bertentangan dengan pemikiran arus perdana sesebuah organisasi. Dalam konteks Kesatuan Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), kelompok kiri/progresif mereka dikenali sebagai KAMMI Kultural.

Dalam menelusuri pengkisahan sejarah Grup I, apa yang menarik kita cari adalah siapakah mastermind yang sebenarnya berkaitan penubuhan Grup I dan apakah tujuan Grup I ditubuhkan?.

Grup I didakwa ditubuhkan pada zaman Ustaz Dzulkhairi semasa beliau menjadi pemimpin PMIUM dan GAMIS. Ada juga mendakwa, ia ditubuhkan sejak zaman Ustaz Ramadhan  (Presiden PMIUM-YDP PMUM) dan ada juga mendakwa lebih awal iaitu semasa zaman Ustaz Mohd Fuad  (PMUM)- Ustaz Faisal (PMIUM). Ada juga yang mendakwa grup ini aktif semasa zaman Ustaz Hisomuddin (PMUM)-Ustaz Izwan (PMIUM)  dan berkembang pesat zaman Ustaz Sheikh Omar  dan  Ustaz Syazni (Presiden PMIUM).

Ada yang mendakwa, selepas tahun 2001 dan paling ketara sejak tahun 2004 ke atas, JIK UM mengalami pola fenomena progresif yang luar biasa dimana berlaku kecelaruan fikrah sehingga ada pimpinan utama menyertai kelompok sekular-pragmatis. Kumpulan yang kekal seakan-akan membentuk blok tertentu dalam PAS. Kebanyakan daripada blok ini telah menyertai parti AMANAH. Pembaca boleh buat unjuran sendiri – siapa pemimpin mahasiswa dan ke mana mereka pada hari ini.

Dalam gerakan mahasiswa, barisan depan belum tentu pemimpin sebenar atau mastermind. Kebanyakan barisan depan gerakan mahasiswa adalah boneka yang berani, teruja dengan senior, bersemangat, mahu mengukir sejarah, populis dan mudah diarahkan oleh senior. Di sebalik tabir, ada mastermind penggerak atau pengatur utama perancangan sesuatu aktiviti dan organisasi.

Hipotesis awal hasil pendakwaan terhadap penubuhan Grup I dibahagi kepada tiga;

1.      Hanya satu dakwaan
2.      Memang wujud
3.      Ia hanya fenomena progresif

Pembaca boleh merumus dan membuat keputusan sendiri.

Kelompok mahasiswa sememang mempunyai kaitan dengan kecenderungan dan pengaulan mereka dengan tokoh tertentu, kumpulan tertentu, aliran pemikiran tertentu dan senior mereka. Kecenderungan dan pengaulan ini akhirnya membentuk sebuah kumpulan dan kesatuan pemikiran, seterusnya berlakunya persaingan pengaruh dan kuasa antara kem-kem dalam sesebuah organisasi.

Persaingan antara kumpulan/kem dalam sebuah organisasi bukanlah musuh yang sebenar kerana mereka hanya mahu perubahan dalam organisasi, berfikir di luar lingkungan kotak pemikiran arus perdana organisasi dan bersifat kritikal terhadap organisasi. Sesetengah orang, sifat progresif atau fenomena progresif ini  dilihat mengancam organisasi dan menentang kepimpinan semasa organisasi.

Seperti yang penulis jelaskan tadi, fenomena progresif adalah lumrah dalam sesebuah organisasi.

Pada tahun 1971, elemen radikal dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) cuba menjatuhkan kumpulan pimpinan Mahadzir Khir, Presiden PBMUM (kelompok nasionalis sederhana) tetapi gagal. Elemen radikal ini dipengaruhi oleh mantan Presiden PBMUM sebelumnya, Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Ekoran daripada itu, proksi Anwar Ibrahim memperkukuhkan pengaruh mereka dalam PMIUM.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982 menelurkan kecelaruan pemikiran di kalangan penggerak gerakan mahasiswa Islam. Selama ini, gerakan mahasiswa Islam bersifat proksi ABIM dan PAS tidak mencampuri urusan gerakan mahasiswa Islam.

Di Universiti Malaya, muktamar PMIUM sesi 1983/84 terpaksa ditangguh seketika. Berlaku perebutan kuasa dalam PMIUM dimana Mohamad Hussein dari proksi PAS telah mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang pro Anwar. Pada peringkat awal, usaha kompromi telah dilakukan oleh pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim yang mencadangkan Takiyuddin Hasan sebagai presiden dan Mohamad Hussein sebagai timbalan tetapi ahli exco PMIUM bersetuju melantik Mohamad Hussein sebagai presiden dan Takiyuddin sebagai timbalan.

Kekecohan berlaku apabila Takiyuddin menarik diri dalam muktamar dengan memberi laluan kepada Mohd Taib Ahmad menduduki jawatan timbalan. Kumpulan pro Pas yang menjatuhkan proksi ABIM terdiri daripada Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan, Syed Putra Syed Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi  dan Mohd Taib Ahmad berbincang di kampung Kerinchi bagi menaikkan kumpulan pro PAS. Mereka dilabelkan sebagai Kerinchi 6.

Azami Zaharim yang pro ABIM-PKPIM membantah tetapi gagal dalam pengundian apabila proksi ABIM hanya mendapat 35 undi. Kekalahan proksi pro Anwar Ibrahim menandakan kelunturan pengaruh ABIM-PKPIM di kampus Universiti Malaya dan kemunculan PAS sebagai wadah perjuangan mahasiswa Islam yang baru. Kelompok ABIM-PKPIM kembali ke proksi asal mereka, PBMUM.

Dalam politik Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), kelompok mahasiswa Islam yang menjatuhkan proksi ABIM di Universiti Malaya telah didakwa mewujudkan Kumpulan UM atau Kumpulan Republik Islam dalam persaingan dalaman DPPP.

Kumpulan mahasiswa Islam di UM juga adalah pengasas kepada penubuhan Jemaah Islam(Induk)  Kampus (JIK) ala IRC. JIK bertindak menguasai persatuan-persatuan pelajar, kolej-kolej dan fakulti-fakulti. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dijadikan sebagai markaz induk JIK.

Dalam PAS, dikatakan terdapat dua jalur pentarbiahan yang cukup berpengaruh iaitu jalur pentarbiahan Tuan Guru Yahya Othman (TGYO) satu pihak dan Tuan Guru Harun Taib dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada pihak yang lain. Kalau kita perasan, kelompok kiri/progresif dalam PAS sekarang (2015) terdiri daripada  kelompok progresif sebelum muktamar tahun 2015, pimpinan Grup I, pimpinan PASMA dan AMANAH kebanyakan berasal daripada jalur pentarbiahan TGYO. Entiti Grup I, MAYO, PASMA, AMANAH dan Kumpulan Dato Husam Musa dalam PAS seakan-akan saling berkaitan antara satu sama lain.

Kenapa nama TGYO terkait dengan fenomena progresif dalam PAS?.

Tentang Jalur Pentarbiahan TGYO, satu organisasi menghimpunkan anak-anak murid TGYO telah diwujudkan dan dikenali Madrasah Yahya Othman atau MAYO.

Pada pandangan penulis, kewujudan kelompok kiri/progresif dalam sesebuah organisasi bukanlah kesalahan besar. Ia satu persaingan yang sihat jika dilakukan dalam suasana ukhwah dan beradab. Kita tidak boleh membiarkan hanya satu pihak sahaja yang selesa mentadbir organisasi tanpa sebarang kritikan dan khayal dengan kemenangan semasa pemilihan.

Pada awal tahun 2000 an, satu kumpulan rahsia telah ditubuhkan oleh sekelompok pemimpin mahasiswa. Pemimpin mahasiswa ini rapat dengan salah seorang ahli parlimen di Kelantan, salah seorang anggota Kumpulan Republik Islam. Kumpulan ini dinamakan Tora Bora, nama diambil sempena nama gua tempat persembunyian pejuang Taliban semasa serangan Amerika. Kumpulan Tora Bora dikatakan ditubuhkan tanpa pengetahuan Amir JIK dan Majlis Syura Kampus.

Kumpulan Tora Bora mempunyai pelapis, baton kepimpinan akan diberi kepada generasi adik-adik pelapis sebagaimana yang berlaku dalam JIK sendiri. Ia menyebabkan berlaku fenomena jemaah dalam jemaah. Jika Presiden PMI dalam kalangan pro PAS totok, kehadiran kumpulan ini dalam JIK/MSK/AU dirahsiakan tanpa pengetahuan Amir JIK dan ahli MSK yang totok PAS. Ada yang mendakwa kumpulan Tora Bora asas kewujudan Grup I.

Ada yang mendakwa kewujudan Grup I disedari semasa  zaman Ustaz Ahmad Syazwan  menjadi Presiden PMIUM dimana ramai anggota PMIUM ‘hilang’ semasa aktiviti PMIUM.

Menariknya, ada yang mendakwa  grup I ini mempunyai dua aliran mazhab iaitu tarbiah Ustaz Mohd Noor Umar dari Melaka dan tarbiah (tamrin) Kota Bharu  oleh Ustaz Muhammad Husein. Dan ada juga yang mendakwa kemungkinan Dr Zuhdi Marszuki juga terlibat dalam perancangan Grup I pada peringkat berdasarkan pengaulan rapatnya dengan pimpinan mahasiswa Grup I.

Grup I sudah melata hampir semua kampus. Anggota Grup I berada dalam posisi-posisi tertentu dalam kepimpinan PAS, ada menyertai AMANAH, Pakatan Harapan dan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Di Universiti Malaya, pewaris generasi Grup I masih menguasai JIK UM. Kader-kader pewaris Grup I terutama kader kampus UM telah menyertai AMANAH, PKR, PASMA dan DAP. Penyertaan parti lain atau keluar PAS ini memberi imej buruk kepada kelompok progresif dan pro perubahan dalam PAS. Sewajarnya mereka menunggu muktamar akan datang untuk mengarap usaha perubahan dalaman PAS.

Pada tahun 2015, kelompok progresif yang tidak keluar PAS, dibawah pengaruh YB Dato Husam Musa masih mengkritik kepimpinan utama PAS. Tindakan dan peranan Husam Musa sebagai pengkritik dan pendesak dalam PAS adalah satu usaha yang baik dalam mengislah PAS. Kesilapan besar kelompok progresif adalah keluar PAS. Mereka mesti lawan melalui kaedah yang disediakan oleh jemaah iaitu gelanggang pemilihan oleh sidang muktamar bukannya keluar jemaah. Paling tidak pun, bertawaquf.

Pengkisahan Grup I ditulis berdasarkan dakwaan dan khabar cerita sahaja. Penulisan ini hanya untuk rekod dan memberi gambaran awal terhadap pendakwaan ramai mantan pimpinan mahasiswa tentang kewujudan Grup I. Ia tidak dijamin kesahihannya. Sebaiknya pembaca menanyakan sendiri kisah sebenarnya daripada mantan pimpinan mahasiswa terbabit tentang kesahihannya.

Muda kuat dan bersemangat,
tetapi kurang pengalaman,
muda mudah tertipu dek retorika pidato, keberanian dan imej seseorang.

Sabtu, 21 November 2015

Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik





“Tiada nikmat paling besar bagiku iaitu hidayahNya, cara hidup berdasarkan panduan daripada Allah dan RasulNya. Cukuplah Islam bagiku. Perangilah segala pemikiran bersandarkan humanisme dan sekularisme agar pemikiran dan cara hidup manusia kembali kepada Tuhan Yang Hak dengan dalil dan pendekatan berhikmah

Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

Perkara yang digariskan di bawah rumusan yang biasa dibuat oleh para ulama, sarjana-pemikir Islam dan tokoh-tokoh Islam. Ia bukanlah suatu yang baru melainkan dihimpunkannya sekali dalam satu ‘cawan’. Maka, 10 Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik kita ambil sebagai pegangan asasi kita dalam Kerangka Pemikiran, Pandangan Alam dan Pendekatan kita dalam berfikir dan bertindak. Pertahankan Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik agar kita tidak terbabas mengikut nafsu syahwat, naluri, persepsi, ramalan dan fitnah yang meliar dalam kalangan manusia pada hari ini.

“Manusia Baik ialah manusia yang beradab yakni orang yang insaf sepenuhnya bertanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi”[i]

Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik memberi satu garis yang bukannya taksub kepada aliran pemikiran, tokoh dan kelompok tertentu. Ketaatannya hanya kepada Allah SWT, Rasulullah SWT dan Islam itu sendiri.

Maka, teliti dan genggamnya dengan bara api, tanam dalam kerangka pemikiran, semat dihati dan tekad dalam tindakan kita semua.


1.      Islam adalah Addin (cara hidup) bukan sekadar agama.
2.      Islam adalah Syumul (Keseluruhan) mencakupi keseluruhan kehidupan manusia secara kebersamaan dan holistik sama ada melalui individu, dalam keluarga, masyarakat dan negara.
3.      Islam adalah kekuatan dalil , hujah dan sumber hujah. Dalil dan hujah Islam bersumber al Quran dan al Sunnah diikuti dengan ijtihad ulama yang muktabar.
4.      Islam adalah kesederhanaan (wasatiyyah) bukannya kezaliman dan penindasan
5.      Islam adalah mudah sesuai mengikut kemampuan seseorang manusia. Islam mensejahterakan rakyat dan negara tanpa mengira darjat, agama dan kaum.
6.      Islam adalah suri teladan daripada Rasulullah SAW (akhlak dan pendekatan berhikmah). Tiada taksub kepada para ulama, tokoh Islam atau sarjana Islam terutamanya yang masih hidup kerana hati manusia sentiasa berbolak balik.
7.      Islam adalah Islah. Membaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah lebih baik dan beraqidah.
8.      Islam adalah keadilan dan samarata serta sama taraf. Tiada kasta dalam Islam.
9.      Islam adalah relevan sepanjang zaman dan sepanjang masa serta dimana sahaja Islam berada.
10.  Islam bernegara dengan bersumberkan kemahuan rakyat. Kedaulatan Tuhan berdasarkan ketuanan Rakyat. Oleh itu, kehendak majoriti rakyat, sejarah dan situasi semasa (realiti) sangat penting dalam kewujudan sebuah Negara Islam.

Islam bergerak membawa iman dan taqwa bersumberkan al Quran dan al Sunnah dalam pemeringkatan hidup kita dari hati dan akal sebagai individu, keluarga Islam, masyarakat, daulah, khalifah, empayar dan ustaziatul alam dinamakan maratib amal.

Manusia Baik kembali kepada Tuhan Yang Hak. Dengan pengembalian kepada Tuhan Yang Hak, darjat kemanusiaan itu telah dimartabatkan.


[i] Rujuk tulisan Dr Syed Muhammad Naquib al Attas.

Rabu, 4 November 2015

Gerakan Mahasiswa Islam dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Ke mana Arah Pemimpin Mahasiswa Islam?





“ Istilah Moderat Islam (Islam Sederhana) adalah hodoh dan menyakitkan hati. Tidak ada Moderat Islam (Islam sederhana), Islam adalah Islam”
Rashid Tayyid Erdogan

Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

I
Gerakan mahasiswa adalah gerakan yang bebas tetapi berpihak. Berpihak kepada kebenaran bukannya bersifat populis.

Gerakan mahasiswa adalah medan latihan kader bukannya medan sebenar. Medan sebenar mempunyai hakikat politik. Politik yang memihak kepada siapa. Beramal, berjasa dan berkhidmat dalam kadarnya sebagai mahasiswa.

Gerakan mahasiswa adalah kecelaruan warna. Bersifat Islamik di kampus belum tentu Islamik selepas alam kampus. Zaman mahasiswa zaman mencari identiti dan pembinaan pemikiran seseorang.

Gerakan mahasiswa adalah perjuangan mahasiswa pada zamannya bukannya mengikut arahan para senior dan parti politik kecuali para mahasiswa yang bercenderungan atau menganuti ideologi dan pemikiran tertentu.

II

Pemimpin mahasiswa mempunyai pengaulan dan kecenderungan tertentu.  Pengaulan dan kecenderungan inilah yang banyak mempengaruhi pemikiran dan pendekatan para pemimpin mahasiswa dan kader dakwah kampus.

Pengaulan dan kecenderungan ini tiada masalah jika kefahaman yang kita jernih dan kita mempunyai dalil dan hujah yang kuat.

Para pemimpin mahasiswa perlulah ingat, hidup ini berdasarkan hujah dan dalil. Hujah dan dalil ini disebut orang sebagai  ilmu. Insan berilmu memerlukan rahsia dalam keilmuan iaitu faham. Faham ialah kesedaran yang menghasilkan amalan berpandukan ilmu yang benar dan sahih bersumberkan al Quran dan al Sunnah. Gandingan faham ialah hikmah dalam tindakan.  Inilah dinamakan kehidupan insan adabi.

Ikatan senior dengan junior sangat berpengaruh dalam gerakan mahasiswa, bahkan mereka membentuk kelompok yang boleh mewarisi legasi pemikiran para abang mereka dan mereka juga mampu mencaturkan junior-junior mereka demi kesinambungan pemikiran dan kehendak selera politik mereka dengan menidakkan pengaruh pihak penentang dalam gerakan mahasiswa Islam. Disinilah antara datangnya kecenderungan bermula dengan pengaulan.

Pemimpin mahasiswa perlu  mengutamakan hujah dan dalil daripada kecenderungan dan pengaulan mereka.


III

Jalan keluar adalah jalan ketewasan dalam gerakan Islam. Gerakan Islam yang mempunyai dasar Islam bertunjangkan al Quran dan al Sunnah tidak boleh sewenangnya untuk kita memilih jalan keluar. Jika kita sakit hati dan tidak sabar sekalipun, kita boleh pilih jalan tawaquf dan ‘tarik nafas sebentar-rehat’. Jalan keluar kita perlu berdalil nas al Quran dan al Sunnah.

Gerakan Islam mempunyai dua keahlian iaitu keahlian berdaftar berdasarkan pengisian borang dan keahlian kesatuan pemikiran tanpa mengisi borang (lebih dikenali sebagai simpatis).

Keahlian PAS pelbagai tidak sebagaimana gerakan Islam yang lain datang daripada pengkaderan dan berpendidikan. Ahli PAS ada yang nelayan, petani, cikgu bahkan ada yang main judi. Masuk PAS dengan pelbagai niat. Marah UMNO tak dapat bantuan BRIM, marah polis kerana ganggu judi dan pelbagai sebab.

Kepelbagaian niat dan ahli menghasilkan pelbagai perangai. Dalam menilai gerakan Islam, tidak adil jika hanya menilai kualiti dan prestasi ahli-ahlinya sahaja. Penilaian yang sebenar kepada dasar gerakan Islam yang bertunjang al Quran dan al Sunnah. Tanda aras ini juga kita gunakan dalam penilaian terhadap Islam, nak nilai Islam bukannya pada umat Islam tetapi kepada ajaran Islam.

Jika kita diberi cangkul untuk mengali lubang, kita galilah lubang. Ada yang gali dalam, ada yang gali tohor dan ada yang tak gali langsung. Bukan silap cangkul tetapi silap orang yang menyangkul tersebut. Sebab itulah, gerakan Islam adalah gerakan dakwah dan tarbiah yang mendidik agar berlaku perubahan pemikiran dan sikap serta kemantapan aqidah dan amal dalam kalangan anggotanya. Walaupun keadaan akhlak dalam gerakan Islam bersifat huru-hara dan hodoh, kita wajar meneruskan agenda dakwah tanpa menoleh ke arah situ. Paling penting Islam ditegakkan dan kita tidak menghuru-harakan gerakan Islam.

IV

Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah atau PAN) merancak lagi suasana demokrasi negara kita. Kemasukkan mantan pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang mempunyai ikatan dengan Jemaah Islam Kampus (JIK) ke dalam PAN boleh membawa kepada perpecahan di kampus. Ke mana kami nak pergi? PAN atau PKR atau PAS? Atau yang lebih berani memasuki DAP.

V

Sedikit panduan dalam menghadapi krisis dan perpecahan;

1)       Jangan memulakan api fitnah. Fitnah terbesar bagi umat Islam ialah perpecahan perpaduan sesama umat Islam.
2)      Ikut dalil dan hujah yang bersumber paling benar dan sahih iaitu al Quran dan al Sunnah. Jangan sesekali terikut dengan kecenderungan diri dan pengaulan dengan para sahabat.
3)      Perpecahan yang dibolehkan hanya dari sudut aqidah
4)      Jangan memulakan permusuhan sebelum musuh memulakan permusuhan.
5)      Setiap perselisihan dan perbalahan perlu diselesai dan dihadapi secara dalaman. Memang pedih, melakukan perubahan dalaman dengan sabar dan tawakal. Pilih cara damai bukannya cara ke arah perpecahan dan fitnah yang tidak berakhlak. Kesabaran dalam gerakan Islam lebih baik daripada perpecahan yang membuka pintu fitnah menfitnah, caci mencaci dan kata mengata.

Akhir Kalam

Kembalilah kepada hujah dan dalil sebelum kalian memilih jalan perjuangan bukan hanya mengikuti kecenderungan dan pengaulan kalian.

“Politik adalah permainan masa. Jika terlewat kamu kelihatan luput dan basi, jika terawal kamu memasang angan-angan palsu. Jika berada pada saatnya,  ada sesetengah kamu terkhayal bagai tercandu dengan kehebatan pidato-retorik, idea dan keperibadian tokoh,  dan ada yang bernasib ia menjadi.”

Selasa, 27 Oktober 2015

KEPIMPINAN INTELEKTUAL MAHASISWA: SATU GAGASAN






Oleh MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS
tokawang_sufi@yahoo

Kepimpinan dan komuniti mahasiswa merupakan satu ikatan yang tidak dapat dirungkai. Dalam sejarah mahasiswa sendiri, kemunculan pemimpin mahasiswa tertentu begitu kuat mencorak perjuangan para mahasiswa di kampus. Menurut Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan dan Komuniti Mahasiswa, pemimpin adalah individu yang berprinsip, berinisiatif dan berfikiran tentang keperluan hidup berorganisasi sama ada dalam keadaan mencabar atau tidak mencabar. Sebenarnya, kekuatan gerakan mahasiswa bergantung kepada kekuatan pimpinan yang berkarisma dalam mengembleng tenaga-idea mahasiswa untuk memperjuangkan sesuatu isu. Perjuangan seseorang pemimpin dilatari dengan pengalaman dan pendidikan yang diperolehi oleh pemimpin tersebut. Universiti sendiri adalah gudang untuk melahirkan pemimpin-pemimpin pada masa depan. Di universiti, bakat dan potensi diri diasuh agar diri mahasiswa tersebut lebih berprestatif dalam kepimpinan organisasi.

            Kepimpinan mahasiswa dikatakan lesu sejak kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971. Sebenarnya, kita tidak boleh menafikan AUKU telah memberikan impak negatif ke atas gerakan mahasiswa termasuk ke atas proses kepimpinan mahasiswa. AUKU telah menumpulkan sifat keberanian pimpinan mahasiswa dan menelurkan kesan psikologi yang negatif seperti pengantungan kepada pihak atasan dan bermentaliti subsidi. Keadaan bertambah teruk apabila pemimpin mahasiswa yang aktif selalu dilabelkan sebagai anti establishment. Oleh sebab itu, kebanyakan mahasiswa lebih selesa menjadi ulat buku atau menceburi aktiviti berfoya-foya di luar kampus.

            Kepimpinan mahasiswa sewajarnya tidak melihat AUKU sebagai alasan kelesuan gerakan mahasiswa pada masa kini. AUKU sendiri memberi ruang untuk mahasiswa aktif dalam aktiviti berpersatuan dan bermasyarakat. Mahasiswa perlu rasional bahawa suasana pada hari berbeda dengan suasana pada tahun 1970an dimana pada masa itu isu kemiskinan, kedaulatan Bahasa Melayu dan isu antarabangsa berada pada suhu yang hangat. Kini, interprestasi gerakan mahasiswa memerlukan satu anjakan paradigma. Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan dan Komuniti Mahasiswa memberi contoh yang amat menarik dimana para pemimpin mahasiswa Universiti Oxford melakukan satu demonstrasi bersifat intelektual dan rekreasi dengan mengadakan debat dan perlumbaan perahu secara tradisi dengan pemimpin mahasiswa Universiti Cambridge. Disinilah para pemimpin mahasiswa diuji dengan kemahiran berhujah, ketahanan mental, fizikal dan ketinggian ilmu pengetahuan.

            Dalam konteks Malaysia, penganjuran seminar atau program lawatan sambil belajar boleh dikatakan menguji potensi diri pimpinan mahasiswa. Para pimpinan mahasiswa perlu mengetahui kos kewangan, pemilihan tempat, publisiti dan sebagainya. Tanpa persediaan yang cukup dari segi mental, emosi dan fizikal, perjalanan program mungkin akan gagal. Dalam program seumpama ini, pembahagian tugas, kemahiran berkomunikasi dan kerjasama berkumpulan merupakan nadi kejayaan program. Untuk menguruskannya, para pemimpin mahasiswa perlu mempunyai ilmu-ilmu bantu yang bukan subjek pelajarannya di universiti dan pemimpin mahasiswa perlu merancang dengan teliti untuk menambahkan keberkesanan program.

            Dalam konteks masyarakat kampus pada hari, isu politik menjadi dominan padahal isu politik ada pasang surutnya bergantung pada sesuatu isu. Kita harus sedar, budaya intelektual lebih kekal dan serasi dengan suasana di kampus yang dianggap lembah keilmuan bahkan budaya intelektual boleh mempengaruhi suasana politik kampus dan nasional. Para pimpinan mahasiswa seharusnya mengambil peluang membangun dan memupuk sebuah aliran pemikiran atau School of Thought yang tersendiri. Menurut Mohamad Abu Bakar, para pemimpin mahasiswa boleh menjalankan aktiviti keilmuan yang membabitkan sebahagian mahasiswa dalam rancangan berfikir, berdiskusi, berdialog dan berseminar secara berkumpulan, kemudian mereka membentang dan menyebarkan fahaman mereka.

            Aliran pemikiran mahasiswa ini membolehkan mahasiswa berinteraksi dalam kerangka tersendiri walaupun membahaskan isu-isu luar kampus. Kekuatan aliran pemikiran yang tersendiri begitu terserlah semasa kewujudan Kelab Sosialis Universiti Malaya [KSUM]. KSUM mempunyai ideologi yang tersendiri begitu aktif memdiskusikan persoalan masyarakat, kampus, nasional dan internasional dalam ruang pemikiran sosialisme. Keberkesanan aliran pemikiran KSUM cukup mengkagumkan apabila kader-kadernya berjaya menguasai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dengan penerapan idea sosialisme bahkan KSUM merupakan pembekal utama pimpinan untuk Parti Rakyat Sosialis Malaya (PRSM) dengan kehadiran Syed Hamid Ali dan Dr. Sanusi Osman.

            Sebenarnya, secara sedar atau tidak golongan mahasiswa Islamis juga mempunyai kumpulan pemikir tertentu semasa awal tahun 1980an. Kumpulan Islamis tersebut dikenali Kumpulan Republik Islam [RI] yang berpengaruh di Universiti Malaya. Pada peringkat awal, kumpulan ini dikenali kumpulan Enam Kerinchi yang terdiri daripada Mohamad Hussein, Mohd Taib Ahmad, Syed Putra Syed Ahmad, Mohd Fuad Zakarshi, Takiyuddin Hasan dan Azmi Ali telah mengagaskan idea kepimpinan ulama. Kumpulan RI berjaya menumpaskan proksi ABIM-PKPIM untuk memenangi kerusi kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya [PMIUM] pada tahun 1983. Kumpulan RI atau Kumpulan Universiti Malaya merupakan pembekal pemimpin-pemikir kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menguasai kepimpinan PAS dengan kehadiran Husam Musa, Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan dan Mohd Taib Ahmad.

            Kekuatan pemikiran kumpulan Republik Islam begitu mantap dilakarkan dalam artikel Aliran Modenisme Dalam Islam oleh Azmi Ali, mahasiswa Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Kumpulan Republik Islam mengagaskan aliran pemikiran Islam yang syumul dan murni yang mengkritik keras pemikiran modernisme yang begitu berbahaya dan mengancam akidah Islam. Azmi Ali mengarahkan aliran pemikiran Islam Kumpulan RI iaitu ‘kembali kepada prinsip-prinsip asali Islam’ yang murni.
           
Kini, trend pemikiran Islam menjadi dominan di kampus-kampus nasional selaras proses kebangkitan semula Islam pada awal tahun 1970an. Jika dulu, trend pemikiran di kampus dihayati oleh organisasi luar tetapi sekarang idealis organisasi luar menjadi ikutan para pemimpin mahasiswa. Oleh sebab itu, masyarakat, media massa dan kerajaan seringkali melabel pemimpin mahasiswa sebagai agen parti oposisi. Dari trend pemikiran berubah kepada ikutan  penghayatan ideal politik parti oposisi menyebabkan para pemimpin mahasiswa diikat dan dibelenggu dengan isu-isu perjuangan parti oposisi. Kondisi ini menyebabkan gerakan mahasiswa sukar menjalankan aktiviti-aktiviti keilmuan di kampus.

            Para pemimpin mahasiswa kini seharusnya menghayati gagasan kepimpinan intelektual dan mempraktikkan dalam kehidupan amali di kampus dan luar kampus. Gagasan kepimpinan intelektual adalah gagasan berterusan dalam kehidupan kampus bukannya protes politik.  Walau bagaimanapun, tuntutan-tuntutan sosial dan politik yang lain perlu juga diambil perhatian dan diterjemahkan gagasan kepimpinan intelektual dalam persoalan tersebut. Contoh, dalam isu kemiskinan, para pemimpin mahasiswa bergayakan gagasan kepimpinan intelektual menyediakan penyelesaian melalui kertas cadangan, debat, khidmat masyarakat dan memorandum kepada pihak berkenaan. Penyelesaian perlu dicari dengan suasana kondusif dimana kaedah demonstrasi jalanan dilihat kurang berkesan kerana mahasiswa dan masyarakat Malaysia sekarang berada dalam keadaan selesa sehingga sukar untuk kebanyakan mahasiswa dan rakyat turun ke jalanan untuk memprotes pihak berkenaan. 

            Kepimpinan intelektual mahasiswa perlu mengarap fahaman dan ideologi, mengolahnya dan kemudiannya berusaha melaksanakan objektif yang terkandung dalam ideologi tersebut. Peringkat pencambahan minda ini boleh dimulakan dengan pendiskusian buku Risalah Untuk Kaum Muslimin, karangan Syed Naquib al Attas yang cukup bernas membicarakan persoalan aliran pemikiran moden pada hari ini. Sebagai cadangan, buku ini perlu dijadikan bahan bacaan wajib bagi pemimpin mahasiswa. Asahan minda cukup bermaya jika disuntik dengan perdebatan ilmiah yang mencetuskan idea baru atau menyelesaikan polemik yang sedia ada.
           
            Gagasan kepimpinan intelektual mahasiswa yang dihangatkan oleh Mohamad Abu Bakar ini perlu diambil cakna oleh para pemimpin mahasiswa pada hari ini. Mandat besar yang diperolehi oleh parti pemerintah membuktikan rakyat Malaysia belum berkeyakinan melakukan perubahan dan masih berkeinginan berada dalam zon selesa. Oleh sebab itu, kaedah demonstrasi bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu-isu kampus, nasional atau internasional. Para pemimpin mahasiswa perlu menterjemahkan suara intelektual dalam seminar, forum atau penulisan dalam akhbar dan majalah. Penulisan dalam media massa sendiri merupakan kaedah alternatif yang paling murah dan berkesan untuk mengerakkan pemikiran mahasiswa dan masyarakat massa. Keberkesanan ini terbukti apabila kaum muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh al Hadi berjaya menyebar-luaskan idea Islah kaum muda melalui akhbar al Iman.
            Sebagai konklusi, penulis memetik pendapat Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Falsafah Perjuangan Mahasiswa menyatakan pergerakan mahasiswa seumpama air dari gunung yang mengalir, kadangkala mengalir deras kadangkala perlahan. Air yang mengalir diserap masuk ke dalam tanah dan pada satu masa nanti ia akan keluar dari tanah. Perumpamaan ini mengambarkan perjuangan gerakan mahasiswa terutamanya dalam isu politik ada pasang-surutnya. Suasana dan isu semasa banyak mempengaruhi hala tuju gerakan mahasiswa tetapi pembudayaan intelektual merupakan hala tuju hakiki dan berterusan bagi gerakan mahasiswa di kampus selaras dengan peranan universiti sebagai taman keilmuan.

Disiapkan pada 16 Ogos 2004, 10.36 P.M.