Rabu, 6 Januari 2016

Grup I: Cerita Tak Sahih Bagai Menari Dalam Mimpi



                                                                                                                        Berjuang dalam cerah
tak perlu menjadi sesumpah
tak perlu naik perahu kertas berlayar di lautan
Kalau mahu kuih akok, ikut acuan kuih akok bukannya acuan biskut moden
Kalau asal daripada telur ayam, menetas keluar ayam jua bukannya anak itik.

Grup I atau Grup Islah boleh dianggap sebagai  Group Intelligence Leader’ , satu nama yang didakwa sebagai kelompok kiri atau progresif dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia. Kelompok kiri dalam sesebuah organisasi bermaksud satu kelompok progresif yang bersifat bertentangan dengan pemikiran arus perdana sesebuah organisasi. Dalam konteks Kesatuan Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), kelompok kiri/progresif mereka dikenali sebagai KAMMI Kultural.

Dalam menelusuri pengkisahan sejarah Grup I, apa yang menarik kita cari adalah siapakah mastermind yang sebenarnya berkaitan penubuhan Grup I dan apakah tujuan Grup I ditubuhkan?.

Grup I didakwa ditubuhkan pada zaman Ustaz Dzulkhairi semasa beliau menjadi pemimpin PMIUM dan GAMIS. Ada juga mendakwa, ia ditubuhkan sejak zaman Ustaz Ramadhan  (Presiden PMIUM-YDP PMUM) dan ada juga mendakwa lebih awal iaitu semasa zaman Ustaz Mohd Fuad  (PMUM)- Ustaz Faisal (PMIUM). Ada juga yang mendakwa grup ini aktif semasa zaman Ustaz Hisomuddin (PMUM)-Ustaz Izwan (PMIUM)  dan berkembang pesat zaman Ustaz Sheikh Omar  dan  Ustaz Syazni (Presiden PMIUM).

Ada yang mendakwa, selepas tahun 2001 dan paling ketara sejak tahun 2004 ke atas, JIK UM mengalami pola fenomena progresif yang luar biasa dimana berlaku kecelaruan fikrah sehingga ada pimpinan utama menyertai kelompok sekular-pragmatis. Kumpulan yang kekal seakan-akan membentuk blok tertentu dalam PAS. Kebanyakan daripada blok ini telah menyertai parti AMANAH. Pembaca boleh buat unjuran sendiri – siapa pemimpin mahasiswa dan ke mana mereka pada hari ini.

Dalam gerakan mahasiswa, barisan depan belum tentu pemimpin sebenar atau mastermind. Kebanyakan barisan depan gerakan mahasiswa adalah boneka yang berani, teruja dengan senior, bersemangat, mahu mengukir sejarah, populis dan mudah diarahkan oleh senior. Di sebalik tabir, ada mastermind penggerak atau pengatur utama perancangan sesuatu aktiviti dan organisasi.

Hipotesis awal hasil pendakwaan terhadap penubuhan Grup I dibahagi kepada tiga;

1.      Hanya satu dakwaan
2.      Memang wujud
3.      Ia hanya fenomena progresif

Pembaca boleh merumus dan membuat keputusan sendiri.

Kelompok mahasiswa sememang mempunyai kaitan dengan kecenderungan dan pengaulan mereka dengan tokoh tertentu, kumpulan tertentu, aliran pemikiran tertentu dan senior mereka. Kecenderungan dan pengaulan ini akhirnya membentuk sebuah kumpulan dan kesatuan pemikiran, seterusnya berlakunya persaingan pengaruh dan kuasa antara kem-kem dalam sesebuah organisasi.

Persaingan antara kumpulan/kem dalam sebuah organisasi bukanlah musuh yang sebenar kerana mereka hanya mahu perubahan dalam organisasi, berfikir di luar lingkungan kotak pemikiran arus perdana organisasi dan bersifat kritikal terhadap organisasi. Sesetengah orang, sifat progresif atau fenomena progresif ini  dilihat mengancam organisasi dan menentang kepimpinan semasa organisasi.

Seperti yang penulis jelaskan tadi, fenomena progresif adalah lumrah dalam sesebuah organisasi.

Pada tahun 1971, elemen radikal dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) cuba menjatuhkan kumpulan pimpinan Mahadzir Khir, Presiden PBMUM (kelompok nasionalis sederhana) tetapi gagal. Elemen radikal ini dipengaruhi oleh mantan Presiden PBMUM sebelumnya, Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Ekoran daripada itu, proksi Anwar Ibrahim memperkukuhkan pengaruh mereka dalam PMIUM.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982 menelurkan kecelaruan pemikiran di kalangan penggerak gerakan mahasiswa Islam. Selama ini, gerakan mahasiswa Islam bersifat proksi ABIM dan PAS tidak mencampuri urusan gerakan mahasiswa Islam.

Di Universiti Malaya, muktamar PMIUM sesi 1983/84 terpaksa ditangguh seketika. Berlaku perebutan kuasa dalam PMIUM dimana Mohamad Hussein dari proksi PAS telah mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang pro Anwar. Pada peringkat awal, usaha kompromi telah dilakukan oleh pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim yang mencadangkan Takiyuddin Hasan sebagai presiden dan Mohamad Hussein sebagai timbalan tetapi ahli exco PMIUM bersetuju melantik Mohamad Hussein sebagai presiden dan Takiyuddin sebagai timbalan.

Kekecohan berlaku apabila Takiyuddin menarik diri dalam muktamar dengan memberi laluan kepada Mohd Taib Ahmad menduduki jawatan timbalan. Kumpulan pro Pas yang menjatuhkan proksi ABIM terdiri daripada Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan, Syed Putra Syed Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi  dan Mohd Taib Ahmad berbincang di kampung Kerinchi bagi menaikkan kumpulan pro PAS. Mereka dilabelkan sebagai Kerinchi 6.

Azami Zaharim yang pro ABIM-PKPIM membantah tetapi gagal dalam pengundian apabila proksi ABIM hanya mendapat 35 undi. Kekalahan proksi pro Anwar Ibrahim menandakan kelunturan pengaruh ABIM-PKPIM di kampus Universiti Malaya dan kemunculan PAS sebagai wadah perjuangan mahasiswa Islam yang baru. Kelompok ABIM-PKPIM kembali ke proksi asal mereka, PBMUM.

Dalam politik Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), kelompok mahasiswa Islam yang menjatuhkan proksi ABIM di Universiti Malaya telah didakwa mewujudkan Kumpulan UM atau Kumpulan Republik Islam dalam persaingan dalaman DPPP.

Kumpulan mahasiswa Islam di UM juga adalah pengasas kepada penubuhan Jemaah Islam(Induk)  Kampus (JIK) ala IRC. JIK bertindak menguasai persatuan-persatuan pelajar, kolej-kolej dan fakulti-fakulti. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dijadikan sebagai markaz induk JIK.

Dalam PAS, dikatakan terdapat dua jalur pentarbiahan yang cukup berpengaruh iaitu jalur pentarbiahan Tuan Guru Yahya Othman (TGYO) satu pihak dan Tuan Guru Harun Taib dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada pihak yang lain. Kalau kita perasan, kelompok kiri/progresif dalam PAS sekarang (2015) terdiri daripada  kelompok progresif sebelum muktamar tahun 2015, pimpinan Grup I, pimpinan PASMA dan AMANAH kebanyakan berasal daripada jalur pentarbiahan TGYO. Entiti Grup I, MAYO, PASMA, AMANAH dan Kumpulan Dato Husam Musa dalam PAS seakan-akan saling berkaitan antara satu sama lain.

Kenapa nama TGYO terkait dengan fenomena progresif dalam PAS?.

Tentang Jalur Pentarbiahan TGYO, satu organisasi menghimpunkan anak-anak murid TGYO telah diwujudkan dan dikenali Madrasah Yahya Othman atau MAYO.

Pada pandangan penulis, kewujudan kelompok kiri/progresif dalam sesebuah organisasi bukanlah kesalahan besar. Ia satu persaingan yang sihat jika dilakukan dalam suasana ukhwah dan beradab. Kita tidak boleh membiarkan hanya satu pihak sahaja yang selesa mentadbir organisasi tanpa sebarang kritikan dan khayal dengan kemenangan semasa pemilihan.

Pada awal tahun 2000 an, satu kumpulan rahsia telah ditubuhkan oleh sekelompok pemimpin mahasiswa. Pemimpin mahasiswa ini rapat dengan salah seorang ahli parlimen di Kelantan, salah seorang anggota Kumpulan Republik Islam. Kumpulan ini dinamakan Tora Bora, nama diambil sempena nama gua tempat persembunyian pejuang Taliban semasa serangan Amerika. Kumpulan Tora Bora dikatakan ditubuhkan tanpa pengetahuan Amir JIK dan Majlis Syura Kampus.

Kumpulan Tora Bora mempunyai pelapis, baton kepimpinan akan diberi kepada generasi adik-adik pelapis sebagaimana yang berlaku dalam JIK sendiri. Ia menyebabkan berlaku fenomena jemaah dalam jemaah. Jika Presiden PMI dalam kalangan pro PAS totok, kehadiran kumpulan ini dalam JIK/MSK/AU dirahsiakan tanpa pengetahuan Amir JIK dan ahli MSK yang totok PAS. Ada yang mendakwa kumpulan Tora Bora asas kewujudan Grup I.

Ada yang mendakwa kewujudan Grup I disedari semasa  zaman Ustaz Ahmad Syazwan  menjadi Presiden PMIUM dimana ramai anggota PMIUM ‘hilang’ semasa aktiviti PMIUM.

Menariknya, ada yang mendakwa  grup I ini mempunyai dua aliran mazhab iaitu tarbiah Ustaz Mohd Noor Umar dari Melaka dan tarbiah (tamrin) Kota Bharu  oleh Ustaz Muhammad Husein. Dan ada juga yang mendakwa kemungkinan Dr Zuhdi Marszuki juga terlibat dalam perancangan Grup I pada peringkat berdasarkan pengaulan rapatnya dengan pimpinan mahasiswa Grup I.

Grup I sudah melata hampir semua kampus. Anggota Grup I berada dalam posisi-posisi tertentu dalam kepimpinan PAS, ada menyertai AMANAH, Pakatan Harapan dan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Di Universiti Malaya, pewaris generasi Grup I masih menguasai JIK UM. Kader-kader pewaris Grup I terutama kader kampus UM telah menyertai AMANAH, PKR, PASMA dan DAP. Penyertaan parti lain atau keluar PAS ini memberi imej buruk kepada kelompok progresif dan pro perubahan dalam PAS. Sewajarnya mereka menunggu muktamar akan datang untuk mengarap usaha perubahan dalaman PAS.

Pada tahun 2015, kelompok progresif yang tidak keluar PAS, dibawah pengaruh YB Dato Husam Musa masih mengkritik kepimpinan utama PAS. Tindakan dan peranan Husam Musa sebagai pengkritik dan pendesak dalam PAS adalah satu usaha yang baik dalam mengislah PAS. Kesilapan besar kelompok progresif adalah keluar PAS. Mereka mesti lawan melalui kaedah yang disediakan oleh jemaah iaitu gelanggang pemilihan oleh sidang muktamar bukannya keluar jemaah. Paling tidak pun, bertawaquf.

Pengkisahan Grup I ditulis berdasarkan dakwaan dan khabar cerita sahaja. Penulisan ini hanya untuk rekod dan memberi gambaran awal terhadap pendakwaan ramai mantan pimpinan mahasiswa tentang kewujudan Grup I. Ia tidak dijamin kesahihannya. Sebaiknya pembaca menanyakan sendiri kisah sebenarnya daripada mantan pimpinan mahasiswa terbabit tentang kesahihannya.

Muda kuat dan bersemangat,
tetapi kurang pengalaman,
muda mudah tertipu dek retorika pidato, keberanian dan imej seseorang.

Ahad, 29 November 2015

Bahasa dan Ekonomi

30 November 2015

Prof Abdullah Hassan


Apabila pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan sendiri kita dapat mengekalkan kesalian minda kita. Kita dapat melihat bahawa negara-negara yang berbuat demikian mempunyai minda yang kreatif untuk mencipta alat-alat dan kaedah untuk memperbaiki kehidupan mereka. Kita dapat melihat Jepun. Jepun menerima pendidikan Barat. Jepun meniru Barat. Tetapi, Jepun masih Jepun. Dari segi budaya ia masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Inilah jatidiri Jepun. Ia timbul daripada keaslian mindanya.
Penyampaian pendidikan melalui bahasa kebangsaan sendiri telah mengekalkan minda asli yang kreatif dan jatidiri sesuatu bangsa.
Hingga 500 tahun dulu, bahasa Jepun tidak pun mempunyai sastera. Yang ada hanya lagu-lagu rakyat. Ilmu terkepung dalam bahasa Cina. Pendidikan disampaikan melalui bahasa Cina. Rakyatnya terasing daripada ilmu kerana tidak memahami bahasa Cina. Pada tahun 1856 Commodore Perry datang dan memaksa Jepun membuka pintunya kepada dunia. Jepun perlu membuat perubahan. Jepun mesti belajar dari Barat, menandingi Barat, dan mengalahkan Barat dalam permainannya sendiri. Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi Jepun moden? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaruan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa, berkata Jepun hendaklah belajar dari Barat untuk maju. Count Okuma dalam laporannya mengenai perkembangan pendidikan Jepun dalam Japan by Japanese (1924) mengatakan pemimpinnya maka Jepun kekal Jepun untuk Jepun. Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan. Mereka mementingkan kemandirian ilmu. Bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian minda mereka.
Bagi menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: bahasa bangsawan, bahasa perwira, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani untuk menyampaikan ilmu, sebab bahasa itulah yang paling luas penyebarannya.
Jepun juga menghadapi masalah guru, bahasa pengantar, dan istilah. Pengalaman Jepun sama saja dengan pengalaman Malaysia sekarang. Kita boleh belajar daripada Jepun. Selepas Jepun menerima dan melaksanakan pendidikan Barat, ramai pelajar dihantar ke Eropah dan Amerika untuk belajar dan membawa balik ilmu. Oleh sebab kekurangan tenaga pengajar, pada mulanya ramai pensyarah Amerika dan Eropah diambil bertugas di universiti-universiti Jepun. Tetapi, sedikit demi sedikit mereka digantikan oleh pensyarah Jepun yang pulang dari Eropah dan Amerika tadi. Pada mulanya 80% pensyarahnya terdiri daripada ekspatriat, tetapi pada tahun 1904 bilangannya menjadi hanya sekitar 30%. Sekarang hampir tiada.
Bahasa Jepun pada masa itu tidak mempunyai sistem ejaan sendiri, ia hanya menggunakan ejaan huruf kanji yang diambil dari sistem ejaan Cina. Oleh sebab itu Jepun membentuk sistem ejaannya sendiri, huruf hiragana untuk perkataan-perkatan Jepun dan katakana untuk perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa asing. Huruf kanji masih dikekalkan. Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.
Mereka juga pernah mencuba menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar. Mereka mengajarkan ilmu medan perang dalam bahasa Rusia, undang-undang dan falsafah dalam bahasa Perancis, kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai dengan sempurna.
Jepun telah mementingkan menguasai ilmu dengan bebas menurut kerangkanya sendiri. Jepun juga telah menggunakan bahasanya sendiri untuk menyampaikan ilmu supaya dikuasai oleh semua rakyat. Buku-buku teks dan rujukan diterjemahkan untuk kepentingan pelajar.
Pada hari ini kita dapat melihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian mindanya masih kekal. Kita melihat kreativitinya meningkat. Mereka menyerap ilmu barat, tetapi berhasil mencipta barangan Jepun, televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam kuartza Jepun, dll. Kita dapat melihat betapa mereka menjadi kreatif kerana tidak terkepung dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi dominan. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan. Mereka telah berjaya belajar ilmu dari Barat, kemudian mereka mengungkapkan semula ilmu itu menurut acuan Jepun bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri, menurut keperluan mereka sendiri. Mereka berhasil mengambil ciri-ciri moden dari Barat dan membawa masuk ciri-ciri itu dalam masyarakat Jepun supaya Jepun menjadi moden. Mereka tidak mengadaptasi segala-galanya, bahasa, budaya dan ciri-ciri barat untuk menjadi manusia moden.
Daripada Barat mereka belajar ilmu sains. Kemudian, mereka mengolah semula ilmu ini untuk keperluan hidup mereka. Contohnya, daripada sains haba dan logam, asas, Jepun mencipta periuk nasi automatik. Mereka menyesuaikan ilmu dari barat bagi memperbaiki kehidupan masyarakat Jepun. Bangsa Asia lain yang memakan nasi ramai, seperti India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka. Tetapi, oleh sebab mereka menerima pendidikan dalam bahasa asing, minda mereka tidak asli, dan kreativiti mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan. Minda Jepun masih asli. Dengan ilmu yang dipelajari dari Barat, mereka mengolah semuanya untuk menyelesaiakn masalah kehidupan mereka.
Jepun belajar teknologi Barat yang menggunakan traktor untuk membajak ladang, mereka ungkapkan semula teknologi itu menjadi traktor kubota untuk keperluan sawahnya. Mereka belajar tentang enjin penjana elektrik yang mampu mengeluarkan berjuta megawat tenaga, mereka ungkapkan semula teknologi itu menjadi penjana elektrik bimbit yang dapat dibawa ke mana-mana. Dan banyak lagi. Mereka mendapat kekayaan daripada ciptaan mereka. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu dan teknologi tinggi seperti pengetahuan sains untuk mencipta periuk nasi automatik. Tetapi, hasilnya mendatangkan kekayaan kepada negaranya. Mereka meminjam dan membeli teknologi Barat, kemudian diungkapkan semula menjadi teknologi Jepun.
Mereka belajar ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka minda bahasa asing. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kreativiti mindanya.
Thailand juga menyampaikan pendidikannya dalam bahasa kebangsaan, dan minda orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh rantau Asia-Pasifik mengalami perkembangan ekonomi pesat. Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa kebangsaan dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa asing untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan perkembangan ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli. Minda mereka lebih kreatif untuk menjana idea bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Korelasi antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata. Ia adalah hubungan sebab akibat. Pendidikan yang disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri telah dapat membina Rakyat yang berpendidikan. Rakyat yang berpendidikan ini mengembangkan ekonomi negara. Bukti ini sudah cukup. Inilah dasar bahasa yang akan dapat menentukan survival kita dalam abad ke-21.
Kita masih perlu mengimport ilmu ke dalam bahasa Melayu, sama seperti yang dilakukan oleh Jepun. Tugas ini perlu kita beri perhatian bersama. Gabungan tenaga dan usaha akan memperbanyak produktiviti dan mempercepat penyebaran ilmu.

Rabu, 25 November 2015

Bahasa Arab Membina Tamadun Islam

25 November 2015

Semasa Islam menakluki wilayah Afrika utara, Farsi, Siria, sebahagian daripada empayar Bezantin, dan Sepanyol, wilayah ini sudah mempunyai tradisi intelektual yang tinggi. Mereka mewarisi tradisi ini daripada sarjana Yunani. Falsafah (dan ilmu) Aristotle, Plato dan Socrates dibawa masuk ke dalam bahasa Mesir kuno (Koptik), Siria, dan Farsi. Sarjana-sarjana di Alexandria dan Siria beragama Kristian dan Yahudi, manakala yang di Farsi adalah Kristian, Majusi dan pagan. Wilayah ini mempunyai ramai sarjana falsafah, sains, kimia, perubatan, astronomi, psikologi, metafizik, logik, dan arkitektur. Apabila Islam menjadi pemerintah wilayah ini, orang-orang Arab Islam mula bertembung dengan orang-orang yang mempunyai tamadun tinggi. Pertembungan ini membawa banyak pengaruh kepada orang Arab Islam; dalam menstruktur masyarakat, dalam memerintah, dalam seni dan dalam sains dan teknologi, dan dalam kehidupan intelektual mereka.
Dalam perkembangan intelektual inilah kita melihat bagaimana pemimpin Islam membina kepustakaan Islam yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun Islam yang gemilang selama 400 tahun. Kita dapat memerhatikan ada pola yang jelas dilalui oleh orang-orang Islam dalam membina tradisi intelektual mereka. Pada peringkat awal, pemimpin dan sarjana Islam kelihatan menyerap ilmu dari tradisi Yunani Kristian ini melalui terjamahan dan adaptasi. Kemudian, selepas itu kita dapat melihat pembinaan ilmu secara kreatif dan inovatif berlaku di kalangan sarjana Islam. Dari peniru mereka menjadi pencipta. Kita dapat melihat laluan yang sama berlaku dalam budaya ilmu di negara-negara yang lebih hampir dengan kita dalam sejarah. Inilah yang diamali oleh Jerman, Inggeris, Itali, Jepun, Korea, Taiwan dan akhir-akhir ini China. Ada pengajaran yang boleh kita dapati daripada pengalaman ini. Kita dapat melihat peranan bahasa Arab sebagai bahasa pembina ilmu yang kemudiannya membina tamadun.
Semasa Eropah Bergelap, Lorong Baghdad Cerah
Abad ke-8 hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam dalam bahasa Arab. Kehidupan orang Islam merupakan suatu tamadun tinggi. Dalam abad ke-12 dan ke-13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandaraya yang mempunyai sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Malah, orang-orang Kristian yang mengunjungi Kordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandara yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan. Jalan-jalannya dibuat daripada batu. Air dislurkan ke rumah-rumah. Lampu mencerahi jalan pada waktu malam. Dan istana khalifahnya tersergam indah.
Dalam suasana kehidupan yang secanggih itu, terdapat aktiviti intelektual yang tinggi. Setiap bandaraya utama dalam pemerintahan Islam, menjadi pusat pembelajaran, syurga bagi penggemar buku dan ilmu, dan terdapat pasaran-pasaran besar buku-buku ilmu. Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan tamadun tinggi ini? Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab. Sistem pemerintahan yang efisien, kekuatan tentera, kestabilan kuasa politik, eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi ini. Di samping semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat memuliakan ilmu. Mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab. Sarjana Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka.
Islam Pertama Mencipta Konsep Pendidikan Universal
Kepustakaan dalam bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir 500 tahun, dari abad ke-8 hinga ke abad ke-13. Kita dapat melihat bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan pemimpin Islam. Budaya memuliakan ilmu ini dapat kita lihat dalam dua bidang. Pertama, bagaimana masyarakat Islam, terutamanya pemimpin Islam memperlakukan ilmu. Kedua, bagaimana mereka memperlakukan ilmuwan.
Orang-orang Islam adalah bangsa pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah disediakan dengan perpustakaannya sendiri. Seluruh masyarakat Islam, kaya miskin, raja atau rakyat, sangat memuliakan ilmuwan. Bahkan mereka lebih memuliakan hasil kesarjanaan mereka dalam bentuk buku ilmu dan karya sastera. Pada zaman buku ditulis dengan tangan, buku sangat bernilai. Para ilmuwan dimuliakan dan pendapat mereka diminta dan dihormati.
Perpustakaan Sebagai Pusat Pendidikan Ilmu
Oleh sebab sikap mereka yang sangat memuliakan ilmu itulah maka, perpustakaan-perpustakaan besar tumbuh dengan subur di pusat pemerintahan Islam. Lazimnya perpustakaan itulah yang berkembang menjadi pusat pengajian atau kolej dan universiti. Akademi Baitul Hikmah di Baghdad itu berasal daripada sebuah perpustakaan bernama Khazanah al-Hikmah. Begitu jugalah perpustakaan di Mosul dan Basrah, kemudiannya digabungkan dengan institusi pengajian. Perpustakaan ini dibuka kepada orang ramai.
Sarjana Eropah yang menyelidiki perpustakaan Arab dalam zaman Abasiah, mengatakan pusat perpustakaan Islam dalam zaman itu terdapat di Shiraz, Kordova dan Kaherah. Perpustakaan itu mengandungi galeri besar yang dipenuhi dengan rak-rak buku, dan disediakan bilik bacaan untuk pengunjung. Di dalamnya juga terdapat bengkel untuk menyalin buku, dan dewan khas untuk perbincangan. Dalam beberapa perpustakaan lain ada pula dewan untuk menikmati muzik. Bilik dan dewannya dihias rapi, berpermaidani, tingkap dan pintunya diberi tirai supaya udara sejuk tidak masuk. Pengunjung boleh duduk bersila untuk membaca dan menulis. Di Shiraz pula buku-buku di simpan di bilik-bilik sepanjang dinding perpustakaan itu dikatalogkan menurut bidangnya.
Bagaimana ahli saintis Islam ini boleh terbina dengan ramainya? Ada dua jalur perkembangan ilmu yang agak jelas. Pertama ilmu diterjemahkan daripada sumber Latin, Yunani, Parsi, India, Yahudi dll. Dengan ilmu terjemahan itu terbinalah perpustakaan besar-besar dalam empayar Islam. Ilmu dipelajari dan imuwan Islam diberi kedudukan istimewa. Pada tahap kedua, ahli saintis yang menerima ilmu dalam bahasa Arab ini membangunkan himpunan ilmu sendiri di perpustakaan, iaitu di skriptorium.

Ahmad Dawjee Dadabhoy

Pernahkah kita dengar cerita tentang Ahmad Dawjee Dadabhoy? Beliau merupakan seorang jutawan Malaysia berketurunan India Muslim. Di akhir hayatnya beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya berupa sebidang tanah yang luas sekitar 1.2 ekar di Jalan Perak dan juga lot lot saham bernilai jutaan dolar di Bursa Saham London dan beberapa bursa saham lain.
Tanah beliau di Jalan Perak, Kuala Lumpur dibangunkan sebuah menara wakaf 34 tingkat yang hari ini dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam. Bangunan yang dibina dengan modal dikeluarkan Tabung Haji itu pada tahun 2007 dengan kos RM151 juta. Hari ini disewakan sebagai pejabat Kelas A di kawasan segitiga emas yang kedudukannya tidak jauh dari KLCC.
Diberitakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemegang amanah harta wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy ini akan menerima RM56.6 juta hasil sewaan bangunan ini selama 25 tahun. Dihari kematian beliau pada 24 Januari 1987, beliau meninggal di sebuah rumah flat kecil di Jalan Masjid India di kelilingi oleh buku-buku bacaan beliau. Tidak ada harta lain lagi bersama beliau melainkan sedikit itulah.
Selebihnya sudah diwakafkan keseluruhannya untuk ummah. Pernah keluarganya datang dari Afrika Selatan ke Malaysia. Apabila dibawa melawat tanah tanah wakaf beliau di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur, mereka menitiskan air mata melihat bertapa tingginya nilai hartanah tersebut dan tingginya ketaqwaan saudara mereka Ahmad Dawjee yang mewakafkan hartanya itu kepada ummah.
Inilah tauladan kepada kita di zaman ini sebagaimana yang kerap kita dengar kisah sahabat sahabat Nabi SAW yang meninggal dunia tanpa harta kerana mewakafkan harta mereka sebelum meninggal dunia walaupun ketika hidupnya kaya raya.
Ia juga petunjuk kepada kita bahawa agama menggalakkan kita mencari harta dan mengembangkan harta. Tetapi perlu diingat harta kekayaan itu bukanlah milik mutlak kita. Perlu dikongsikan dengan ummah berupa zakat, sedekah dan wakaf. Di hari kematian kita, tinggal di alam barzakh, pahala sedekah itu akan terus menerus berjalan. Kemudian dibangkitkan di akhirat kelak menjadi lebih kaya untuk tempoh yang tiada penghujungnya disebabkan ketinggian taqwa kita kepada Allah atas harta yang kita infakkan.
* Kisah Ahmad Dawjee Dadabhoy ini diceritakan oleh Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias (Senior Vice President Maybank Islamic/ Ketua Jabatan Pengurusan Syariah Maybank Islamic Malaysia) dalam pembentangannya di Konvensyen Pejuang Hartanah di Cyberjaya semalam. InsyaAllah saya cuba catatkan isi isi penting pembentangan beliau bertajuk 'Islam dan Harta Membentuk Kehidupan Taiyyibah' dan juga isi isi pembentangan speaker yang lain berkait hartanah.
- Nasaie Ismail.
Al Fatihah

Sabtu, 21 November 2015

Ketatanegaraan Islam dan Negara Sekular: Dari Anwar Ibrahim ke Parti Amanah Nasional.



“‘Syariat’ memecahkan rakyat Tunisia, Islam menyatukan mereka”
Rashid Ghannoushi

Oleh Khalil Jibril


Ketatanegaraan ialah pemerintahan. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, tatanegara ialah susunan dan bentuk pemerintahan. Ketatanegaraan ialah hal yang berkaitan dengan pemerintahan. Ketatanegaraan Islam dimaknai sebagai bentuk pemerintahan Islam.

Gagasan Islam para pemimpin negara kita dikira lumayan. Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dato Seri Anwar Ibrahim dengan konsep masyarakat Madani dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan gagasan Islam Hadhari.  PAS dengan konsep Negara Islam manakala IKRAM mengemukakan Negara Rahmah. Semua pihak mahukan Islam. Ini menandakan Islam adalah penting dalam konteks politik di Malaysia.

Dalam khalayak Alam Melayu, istilah Masyarakat Sivil atau Masyarakat Madani dipopularkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dalam satu seminar di Indonesia pada tahun 1995.  Akar pemikiran masyarakat Sivil berasal daripada Barat  yang digerakkan oleh tokoh seperti Montesque, JJ. Rousseau, John Locke, dan Hubbes.

Di  Malaysia, pemikiran masyarakat Madani disokong oleh ramai sarjana yang pro Anwar Ibrahim seperti Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, Dr Osman Bakar, Dr Siddiq Fadzil, Dr Chandra Muzaffar dan ramai lagi. Konsep masyarakat Sivil yang telah dikenali sebagai masyarakat Madani telah diIslamisasikan sehingga konsep lebih sesuai dengan Islam.


Sejarah Masyarakat Sivil

Dalam tradisi Eropah sebelum abad ke-18, terdapat berbagai macam istilah yang berpadanan dengan  civil society. Antaranya istilah civil society  iaitu kata 'civics', yang berasal dari kata Latin 'civis', yang berarti warga negara.

Tradisi politik Yunani pula mengenal istilah ‘politike koinona” yang dipopularkan oleh Aristoteles (384 SM–322 SM).  Dalam bahasa Latin disebut ‘societas civilis,’ pertama kali dipakai oleh Cicero (106 SM-43 SM), seorang orator, politikus, dan filosof Rom. Tradisi Perancis mengistilahkannya dengan societe civile, dan burgerliche Gesellchaft dalam tradisi Jerman.

Menurut Britannica Online Encyclopedia mendefinisikan civil society dengan “suatu jaringan yang erat antara kelompok, komuniti, jaringan, dan hubungan yang berdiri antara individu dan negara moden.” 

Menurut Ernest Gellner, Masyarakat Sivil (Masyarakat Madani) merujuk pada mayarakat yang terdiri atas berbagai institusi non pemerintah yang autonomi dan cukup kuat untuk dapat mengimbangi Negara.

Menurut Cohen dan Arato, Masyarakat Sivil (masyarakat madani)adalah suatu wilayah interaksi sosial diantara wilayah ekonomi, politik dan Negara  yang didalamnya mencakup semua kelompok-kelompok sosial yang bekerjasama membangun ikatan-ikatan sosial diluar lembaga rasmi, menggalang solidariti kemanusiaan, dan mengejar kebaikan bersama (public good).

 Masyarakat Sivil dan Masyarakat Madani: Konsep dan Permasalahan.

Ada sesetengah pengkaji mengatakan masyarakat terbahagi kepada dua iaitu masyarakat politik dan masyarakat sivil. Ada juga pengkaji mengatakan kewarganegaraan dan masyarakat terbahagi kepada 4 ruang iaitu ruang negara, ruang peribadi, ruang pemodal (ekonomi dan pasaran) dan ruang awam. Umumnya, masyarakat sivil melibatkan interaksi atau hubungan antara kerajaan, masyarakat dan pemodal.

Pada hemat penulis, masyarakat sivil menepati ciri liberalisme iaitu kerajaan terhad, individu merdeka, pasaran bebas dan kedaulatan undang-undang. Masyarakat sivil akan menambahkan penglibatan warga dalam membuat keputusan. Ia dikatakan memantapkan lagi konsep demokrasi; dari rakyat, untuk rakyat, dan oleh rakyat. Oleh itu, pengupayaan rakyat dalam penglibatan membuat keputusan secara langsung ini penting kerana sistem parlimen yang ada pada hari tidak mewakili suara aspirasi rakyat. Ia hanya menyuarakan keuntungan peribadi dan parti politik yang diwakili mereka sahaja. Penglibatan warga boleh dilakukan secara mobilisasi massa melalui perhimpunan berdasarkan isu atau melalui organisasi (NGO) berdasarkan kaum, agama, kawasan dan pelbagai lagi.

Penglibatan warga dalam membuat keputusan membolehkan warga menjadi komponen penting dalam sistem demokrasi bukannya bergantung harap kepada parti politik sahaja. Warga atau rakyat akan merasakan negara ini milik mereka atas penglibatan mereka dalam menentukan dan mengawal tindakan kerajaan tanpa perlu menunggu pilihanraya yang akan datang.

Menurut Samuel Huntington, penglibatan warga merupakan satu kegiatan yang dilakukan oleh para warga negara dengan tujuan mempengaruhi pengambilan keputusan pemerintah. Partisipasi dapat secara spontan, secara kesinambungan, secara damai atau dengan kekerasan, mengikut perundangan atau tidak, efektif atau tidak efektif.  Warga yang terlibat perlu bebas daripada kongkongan parti yang disertai, orientasi politik termasuk daripada anggota dan perlu bersikap individu walaupun berada dalam  NGO yang mengerakkan isu dalam masyarakat sivil.

Permasalahan Barat ialah mereka mahu Islam mengikut kehendak akal dan nafsu mereka. Mereka mahu faham berlandaskan  kosmopolitan dan pluraliti tetapi pada masa yang sama mahu globalisasi. Dualisme dalam sistem kehidupan menyebabkan jurang pemisahan semakin luas tanpa kesatuan pemikiran (dalam Islam berlandaskan tauhid).




Menurut Anwar Ibrahim, masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.

Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, ‘madinah’ iaitu tempat dimana masyarakatnya telah mencapai taraf insaniyyah yang luhur, dimana tatasusila, hukum dan undang-undang, dimana ada penguasa atau pentadbirannya yang juga mempunyai hikmah yang mampu melaksanakan keadilan.

Menurut Nurcholis Madjid, masyarakat madani adalah masyarakat yang merujuk pada masyarakat Islam yang pernah dibangun Nabi Muhammad SAW di Madinah, sebagai masyarakat kota atau masyarakat berperadaban dengan ciri antara lain egaliteran (samarata), menghargai prestasi, keterbukaan, toleransi dan musyawarah.

Kita tidak perlu menjadi sekular untuk berjaya” ujar Anwar Ibrahim. Sekularisme memisahkan agama dan politik akan gagal. Kejayaan perlu dimulakan dengan hikmah dan ilmu.

Pendefinisian al Attas dan Anwar Ibrahim terhadap masyarakat sivil sebagai masyarakat madani melalui definisi yang tersendiri mengambarkan Islam menjadi kawalan tauhidik dalam masyarakat madani. Kawalan tauhidik ini bermula melalui proses ilmu dan hikmah. Politik ilmu dan hikmah.

Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, akar kata madani adalah Din atau agama. Ada pelbagai makna Din dan semuanya menyumbang ke arah kebenaran dan kehalusan makna madani tadi.

Civil bermaksud kota atau bandar yang sekular yang mempunyai sistem kenegaraan yang tidak mengait dengan budi pekerti. Dalam Islam, Madinah itu sebuah tempat yang ada undang-undang, ada hukum-hukum, ajaran-ajaran yang benar dan tempat yang ada akhlak. Masyarakat Madani bukan hanya masyarakat sivil yang merujuk kepada hal politik dan kenegaraan sahaja.  Masyarakat Madani lebih mendalam lagi, misalnya ‘to humanise’ iaitu meningkatkan darjah kemanusiaan.

Dalam Islam, kuasa kerajaan tidak terhad. Islam memerlukan kerajaan yang kuat tetapi bertuhan dengan aqidah yang benar, melaksanakan syariatNya, mengembang syiarNya, negara menjadi wadah dakwah dan penerapan nilai dan prinsip kemanusiaan bersumber al Quran dan al Sunnah. Mengikut interaksi negara-pemodal-kesukarelawan, hubungan ini akan memberi kelebihan dan pengaruh yang besar kepada siapa yang banyak duit atau dana iaitu pemodal. Di Barat, kaum pemodal menjadi pendana utama kepada parti-parti politik. Jika parti yang disokong menang, pemodal akan menjadi ‘bahu halimunan’ dalam menguasai dasar-dasar kerajaan. Begitu juga dalam NGO kesukarelawan, pendana mereka adalah kaum pemodal yang akan menyebabkan NGO berperanan berdasarkan hendak kaum pemodal sahaja.

Konsep masyarakat sivil sebahagian konsep yang dihasil daripada sekularisme. Konsep Masyarakat sivil merupakan satu lagi pemikiran yang memisahkan sehingga ruang-ruang seperti awam, ruang negara dan ruang peribadi bagaikan terpisah antara satu sama lain. Ini menyalahi dengan prinsip Islam bahawa Islam itu addin dan syumul, berkaitan antara satu sama lain.

Ada yang mengatakan bahawa masyarakat madani itu melalui proses Islamisasi. Pada hemat penulis, masyarakat madani datang daripada pemeringkatan tahap ketamadunan dalam Islam atau lebih dikenali dengan maratil amal yang bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara.  Islam tidak memisahkan antara individu dan keluarga atau masyarakat dan negara. Ia meliputi dan merangkumi secara keseluruhan berdasarkan kemampuan dan realiti. Jika tiada negara Islam, ia boleh pada peringkat masyarakat atau keluarga sahaja.

Rasulullah SAW boleh menerima tawaran daripada orang Quraish jikalau baginda mengimpikan duniawi. Baginda tidak mudah menerima umpan duniawi. Tawaran wanita, harta dan kekuasaan yang ditawarkan oleh orang Quraish kepada baginda ditolak. Ini bermakna Rasulullah SAW bukanlah mengikut nafsu syahwat baginda, baginda juga tidak mahu harta kekayaan dan kekuasaan politik, Rasulullah SAW hanya pesuruh Allah yang mahu menegak agama Allah. Baginda menawarkan kehidupan bersandarkan tauhid kepada Allah.

Ada ibrah yang kita boleh ambil. Pertama, baginda menolak dan tidak menerima tawaran keduniaan. Kedua Rasulullah SAW membina gerakan kemasyarakatan bertunjang Islam(gerakan Islam, dalam konteks ini gerakan masyarakat madani) semasa ketiadaan negara Islam bermula daripada kosong. Dua pengajaran ini mengambarkan Nabi Muhammad SAW hanya berbekalkan hujah aqidah  dan akhlak sahaja sebagai bekal dakwahnya. Nabi Muhammad SAW tidak menjanjikan pembangunan, urus tadbir yang baik, basmi kemiskinan atau apa jua janji. Janji itu adalah ujian tahap keimanan dalam mengimani urusan Allah mentakdirkan pemimpin dan gerakan Islam dalam mentadbir negara Islam.

Konsep Masyarakat Sivil dan Politik Warga memberi peluang dan ruang kepada pihak pemodal menguasai negara dan masyarakat awam sekaligus. Mereka menghantar proksi-proksi mereka untuk menentukan dasar-dasar kerajaan yang pro pemodal. Kemasukkan pengaruh pemodal dalam politik dan kerajaan menyebabkan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kronisme, korupsi dan nepotisme berleluasa. Pengaruh pemodal dalam politik, parti politik dan kerajaan memerintah telah banyak merosakkan negara. Ada satu pendapat, kemasukkan pemodal dalam UMNO menyebabkan kelompok guru yang pernah mendominasi UMNO telah dikesampingkan. Semuanya sekitar keuntungan dan komisen sahaja.

Masyarakat Sivil dan Politik Warga seringkali dikatakan sebagai penghidup kepada demokrasi kerana ia berpaksikan kedaulatan rakyat. Persoalan yang timbul, siapakah yang dimaksudkan dengan warga tersebut?. Adakah para petani, nelayan atau tukang sapu?. Warga yang dikatakan itu sebahagian kecil kelompok yang berpendidikan dan berpengaruh dalam masyarakat atau lebih dikenali sebagai kelompok elitis dalam sesebuah negara. Mereka berfikir berdasarkan latarbelakang pendidikan, keluarga ternama, penempatan elit, bahasa pertuturan seharian menggunakan bahasa Inggeris dan gaya hidup mereka serta pemikiran sekular mereka. Adakah mereka membawa aspirasi rakyat di Belawai, Mukah atau di Kampung Pauh, Kuala Berang?.

Kebangkitan wilayah autonomi boleh disebabkan oleh gerakan masyarakat madani. Gerakan masyarakat madani berasaskan kaum atau wilayah mempunyai risiko dalam perjuangan wilayah autonomi. Perkara ini berlaku sebagaimana di Scotland yang mempunyai kelompok pro kemerdekaan Scotland daripada Britain.

Gerakan masyarakat madani memberi peluang kepada kebangkitan daulah terpendam, negara dalam negara, kumpulan sulit dan kongsi gelap. Ia boleh disifatkan sebagai tangan-tangan ghaib yang dipimpin oleh kumpulan halimunan mengerakkan negara mengikut kehendak dan agenda rahsia mereka. Perkara ini pernah dialami oleh Kerajaan AKP di Turki apabila mereka cuba dijatuhkan oleh Gerakan Gulen atau Hizmet secara terancang.

Kebaikan konsep masyarakat madani (sivil) ialah memberi peluang kepada gerakan Islam bergerak sebagai NGO untuk menggerakkan dakwah Islam dalam masyarakat terutamanya di negara yang anti Islam dan umat Islam minoriti. Di Turki yang sekular anti agama, gerakan Islam bergerak melalui NGO-NGO seperti Hizmet dan Hayrat Vakfi.


Ciri-ciri Masyarakat Madani

1.                  Mengakui keesaan Allah bagi umat Islam dan menghormati  perbezaan agama dan budaya dalam kalangan bukan Islam.
2.                  Tanggungjawab kepada Tuhan, rakyat, negara, kerajaan, masyarakat, keluarga dan individu-diri sendiri.
3.                  Berdikari dan bebas, dibentuk oleh masyarakat sendiri tanpa campur tangan negara.
4.                  Berpegang kepada nilai dan prinsip aqidah dan moral
5.                  Keanggotaan bersifat sukarela, atas kesedaran masing-masing anggota.
6.                  Berusaha sendiri tidak bergantung bantuan pemerintah.
7.                  Tunduk pada peraturan yag disepakati bersama.
8.                  Ruang Awam yang bebas (rakyat bebas mendapat maklumat, berbincang, berwacana dan menyebar maklumat)
9.                  Musyawarah dan syura
10.              Keadilan sosial
11.              Memahami pluraliti dalam masyarakat  menuju ke arah negara yang berkat, harmonis, muhibbah dan muafakat.
12.              Perhargaan kepada prestasi.
13.              Mengutamakan syiar dan pengisian bukannya syariat dan bentuk.
14.              Mengutamakan pendidikan, kebudayaan, Islamisasi,  penerapan nilai dan prinsip Islam bukannya peraturan dan perundangan.



Malaysia Menuju Negara Rahmah


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)  dalam Perhimpunan Tahunan IKRAM tahun 2014 telah mengemukakan satu gagasan  Malaysia Menuju Negara Rahmah”. Ia dilihat sebuah gagasan ‘negara Islam’ versi IKRAM. Dibawah penulis lampirkan ciri-ciri yang dikemukakan dalam ucapan Dasar Presiden IKRAM:

Ciri-cirinya:

a) Fasa transisi

Malaysia, di dalamnya Islam mencorak perjalanan negara dan kehidupan rakyat, Ulama’ di hadapan, Kepimpinan baru sebagai contoh, Parlimen dan Istana yang pro-syariah, Kehakiman yang adil dan bebas, Media yang bebas dan bertanggungjawab, Perkhidmatan awam yang professional, berkecuali dan berakhlak, pasukan keselamatan profesional dan pro-syariah, ekonomi berlandaskan syariah, dan Pembangunan sains dan teknologi untuk manusia.

b) Fasa pengukuhan tahap Idealismenya, di peringkat nasional.

1)      Negara yang disebut di dalam al-Quran sebagai ‘Baldatun Tayyibatun   Warabbun Ghafur.’

2)      Negara yang berdiri atas asas Hakimiah Allah SWT

3)      Negara yang pemerintahnya terdiri daripada pimpinan yang adil, tidak melakukan pelanggaran-pelanggaran hukum yang besar, mungkin pernah melakukan maksiat yang kecil sahaja, mendaulatkan syariat sepanjang pemerintahannya.

4)      Negara yang menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya.

5)      Negara yang melaksanakan tuntutan syariah.

6)      Negara yang meletakkan maqasid syariah sebagai asas kepada pemerintahan dan pentadbiran.

7)      Negara yang menaungi semua rakyatnya atas prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaaan manusia sejagat.

8)      Negara yang memastikan hak-hak semua lapisan masyarakatnya tanpa mengira agama dan bangsa dipertahankan atas landasan syariat dan maqasid syariah.

9)      Negara yang mengamalkan pemerintahan yang didasarkan atas rundingan (syura) dan kesepakatan serta memberi  ruang kepada rakyat untuk bersuara dan memilih kerajaan mengikut lunas-lunas perlembagaan.

10)  Negara yang memastikan risalah dan dakwah Islam ditegakkan dan menjadikannya ciri utama kepada kelangsungan pentadbirannya.

11)  Negara yang memastikan urus tadbir yang baik serta meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat penting dalam kewujudannya.

Semua pernyataan ini bersesuaian dengan kehendak siyasah syar’iyyah yang  menuntut pengurusan kehidupan rakyat dan pentadbiran negara sejajar dengan tuntutan-tuntutan  syariah, unjuran-unjuran syariah bagi maksud menegakkan Islam dalam negara dan kehidupan manusia serta menertibkan perjalanan dunia berasaskan bimbingannya.

Pernyataan ini sejajar dengan peryataan-pernyataan ulama’-ulama’ ummah yang tersohor sewaktu berbicara tentang siyasah syar’iyyah atau maksud daripada penegakan  pemerintahan dan negara Islam:

  السياسة الشرعية هى تدبير الامام القوام لشئون الرعية المشتركة حسب مقاصد الشريعة

Maknanya:  “Siyasah syar’iyyah ialah pengurusan seorang pemimpin yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama oleh semua rakyat sejajar dengan kehendak-kehendak syariah.”

  اقامة الدين وسياسة الدنيا به 

Maknanya:  “Penegakan agama dan pengurusan (perjalanan) negara dengan (bimbingan) agama (Islam).”

Setelah penubuhan Parti Amanah Malaysia (AMANAH atau PAN) pada 16 September 2015, sebuah parti yang didokong sepenuhnya oleh IKRAM, kebanyakan elemen gagasan ini telah diserapkan ke dalam PAN.

Visi PAN  ialah menjadi parti Islam utama di Malaysia sehingga wujudnya sebuah negara yang adil, beramanah dan rahmah untuk semua.

Misi PAN ialah menawarkan kepimpinan dan tadbir urus yang amanah, progresif dan peduli,bagi mensejahterakan seluruh rakyat dan memakmurkan negara bersendikan tuntutan maqasid syariah. [Perihal  6 dalam Gagasan Negara Rahmah)

Matlamat  Parti Amanah Negara ialah sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan dalam menggalas amanah agama, rakyat dan negara dengan matlamat berikut:
1.         Memartabatkan Islam sebagai dasar perjuangan.(Perihal 4 Gagasan Negara Rahmah)
2.         Mendirikan sebuah masyarakat dan negara madani dengan Islam sebagai rahmat untuk  
             semua. (Perihal 1 dan 7 Gagasan Negara Rahmah)
3.         Melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik (good governance) 
             selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, kompetensi dan
             ketelusan. (Perihal 11, Gagasan Negara Rahmah)
4.         Mendukungi pendekatan kesederhanaan, keterbukaan, demokratik dan bergerak dalam
              kerangka demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.
5.         Menggembleng seluruh segmen warganegara dalam wadah perjuangan politik inklusif
             merentasi jurang kaum, budaya dan kepercayaan ke seluruh Persekutuan.                 
            (perihal 7 dan 9 Gagasan Negara Rahmah)

Menurut Ustaz Tuan Haji Hassanudin Mohd Yunus mantan Timbalan Presiden IKRAM yang berjawatan Naib Presiden PAN, kalau kita berjaya menguruskan kehidupan rakyat yakni menyelesaikan masalah rakyat, barulah mereka mengenali Islam.[i] Beliau berhujah dengan surah al Balad.

Menurut Hasanuddin Mohd Yunus lagi, kita jangan bersikap memberi hukuman kepada pesalah. Kita perlu mengurus kehidupan bukan menghukum.


Negara Islam Versi PAS

Negara Islam PAS seringkali dikaitkan dengan pelaksanaan perundangan Islam. Propaganda media menyebabkan elemen-elemen lain dalam konsep Negara Islam PAS tidak diutarakan.

PAS telah membuktikan pelaksanaan dasar Islam melalui pemerintahan Islam di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta melalui Kerajaan Campuran Selangor, Kerajaan Campuran Perikatan-PAS dan Kerajaan Barisan Nasional. Pengalaman ini membuktikan PAS sebuah parti yang memilih demokrasi pilihanraya bukannya pelaksanaan sebuah negara teokrasi dan diktator berasaskan agama seperti pemerintahan gereja di Eropah.

Secara umumnya, Negara Islam versi PAS mengandungi dan mengakui kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan yang baik dalam kalangan kerajaan-kerajaan sekular seperti adil, amanah, urus tadbir yang baik dan integriti. Tambahannya hanya persoalan aqidah dan Islamisasi pemerintahan serta model kepimpinan quranik.

Dalam menegakkan Negara Islam, terdapat ciri-ciri penting negara Islam[ii] iaitu

1.      Syariat Islam yang dipatuhi kepadanya
2.      Umat yang mendokongnya
3.      Pemerintahan Islam yang menaunginya.

Dalam Islam, sempurna dengan diperintah oleh agama sangat berkait dengan perkara di bawah;

1.      Menegakkan keadilan dalam kalangan manusia
2.      Membentuk pandangan mulia dan kebebasan pendapat yang bermaruah
3.      Menghormati taraf kemanusiaan
4.      Menegakkan keamanan dan kestabilan
5.      Menyediakan keperluan rakyat
6.      Menggalakkan perkembangan kemajuan negeri dan rakyat.

Enam perkara di atas menunjukkan pemerintahan Islam sangat mengambil kira hak rakyat termasuk hak bukan Islam sehingga belum sempurna jika enam perkara di atas tidak ditunaikan.

Semasa perasmian Dokumen Negara Islam, kita jarang menyentuh 10 jaminan yang dikemukakan oleh PAS dalam pelaksanaan Negara Islam. 10 jaminan ini bagaikan dikaburkan oleh media massa. Dokumen Negara Islam bersumber al Quran dan al Sunnah manakala 10 jaminan ini menandakan PAS masih dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. 10 jaminan itu seperti di bawah

1.      Pelaksanaan Negara Islam seperti yang terkandung dalam dokumen menerima pakai Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa pindaan mengikut keperluan.
2.      Bahawa hak semua rakyat Malaysia mengamal agama dan kepercayaan mereka adalah dijamin.
3.      Hak rakyat mempraktik, memaju dan memperkembangluas amalan kebudayaan dan ketatasusilaan rumpun budaya adalah dijamin.
4.      Tidak akan berlaku pemaksaan penganutan agama Islam ke atas bukan Islam.
5.      Sistem perundangan bersifat dualisme akan dikekalkan.
6.      Tidak berlaku dikriminasi mengikut kaum, keturunan dan jantina. Negara Islam utamakan amalan meritokrasi.
7.      Hak demokrasi setiap rakyat adalah terjamin seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
8.      Semua kaum tanpa mengira bangsa boleh dipilih, dilantik serta melibatkan diri dalam proses politik perundangan dan pentadbiran negara.
9.      Bahawa hak untuk mendapat pendidikan dan mengikuti pelajaran dalam bahasa ibunda terjamin.
10.  Keseluruhan hak-hak wanita termasuk hak untuk bekerja dan mencari sara hidup serta hak mempertahankan maruah dan harga diri terjamin.


Polemik Ketatanegaraan Islam dan Negara Sekular DAP

DAP memang jelas menolak hukum hudud dan Negara Islam versi PAS. DAP boleh menerima pendekatan PAN dan Anwar Ibrahim (PKR). DAP mesti sudah mengerti bahawa PAN banyak berkiblat gagasan pemikiran IKRAM.

Perjuangan pelaksanaan perundangan Islam sudah lama bahkan ia sudah lama daripada usia DAP. Ia sebagaimana dijelaskan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti dibawah

“Saya tetap dengan Islam kerana benda (perkara) ini wujud pada tahun 1950-an lagi dan bukannya benda baru. Berdialog beberapa kali berdialog dah[iii]

Ketika mengulas kenapa DAP keluar Barisan Alternatif pada tahun 2001, Nik Abdul Aziz menyatakan

``Ia berpunca daripada ketidakupayaan dan tekanan yang dihadapi oleh pucuk pimpinan DAP dalam menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh penyokongnya berhubung isu negara Islam[iv]

Politik Islam, pemerintahan Islam dan perundangan Islam perlu dinilai dari beberapa segi seperti

1.      Sumber hujah dan dalil daripada al Quran, al sunnah dan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Ia juga berkaitan sumber kuasa daripada rakyat melalui demokrasi pilihanraya dan sultan.
2.      Realiti masyarakat berdasarkan kaum, agama dan negeri.
3.      Faktor sejarah.
4.      Kemahuan dan kehendak rakyat.
5.      Melalui pendekatan damai dan profesional serta mengikut lunas-lunas demokrasi.

Akidah perjuangan PAS adalah Islam sebagai Addin. Pernyataan ini sangat ditegaskan oleh Tuan Guru Dato Fadzil Mohd Noor dalam kebanyakan ucapan beliau. Islam sebagai addin inilah bercanggah dengan parti-parti sekular seperti DAP.

Perlembagaan DAP sememangnya sangat menitik-beratkan DAP sebagai sebuah parti sekular. Menariknya, hampir keseluruhan Matlamat Perlembagaan DAP tidak bercanggah dengan perjuangan gerakan Islam kecuali pada beberapa tempat;

1.      ‘Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen sekular....’
2.      ‘Menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia...’
3.      ‘Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal..’

DAP mempunyai matlamat sekular yang jelas berbanding dengan PKR. Manakala  Parti Sosialis Malaysia lebih berani menyatakan matlamat Perlembagaan PSM ‘Mengamalkan prinsip sosialisme sebagai cara hidup’.

Tiga elemen yang ada dalam Perlembagaan DAP jelas bertentangan dengan matlamat Perlembagaan PAS iaitu kewujudan masyarakat Islam. Islam dengan sekularisme adalah satu pertembungan besar dimana sekularisme itu adalah pemisahan agama dan dunia manakala Islam itu adalah cara hidup mencakupi semua aspek kehidupan secara holistik.

Ketatanegaraan Islam mencakupi pemerintahan Islam dan perundangan Islam sudah tentu akan ditentang oleh DAP. Keluarnya DAP daripada Barisan Alternatif dan pengolakkan DAP-PAS dalam Pakatan Rakyat berpunca daripada hukum hudud dan negara Islam.

Teras Masyarakat di Malaysia.

Seperti yang dijelaskan pada artikel yang lain. Politik Malaysia terasnya adalah masyarakat atau kaumnya. Pembahagian kerusi umpamanya berdasarkan kaum. DAP dilihat cuba memecahkan dengan meletakkan calon Melayu di kerusi-kerusi masyarakat Melayu. Ia satu tindakan yang bijak dan betul. Cuma masyarakat Melayu mestilah mempelajari apa perjuangan DAP dan pendekatan DAP terutamanya Perlembagaan DAP.

Selama ini, pertandingan dalam pilihanraya dalam gelanggang masyarakat masing-masing umpamanya calon Melayu vs calon Melayu dalam kawasan Masyarakat Melayu banyak membantu kestabilan politik negara kita.

Menurut Malik Bennabi, masyarakat merujuk satu penyatuan antara anggota yang mempunyai tabiat dan adat yang sama, hidup di bawah kawalan sistem undang-undang yang sama dan berkongsi minat yang sama’. Pemahaman masyarakat berkaitan dengan kaum, agama, kelas masyarakat dan latar belakang seseorang berdasarkan minat, pendidikan dan persatuan. Punbegitu paling berpengaruh ialah kaum, agama dan pendidikan (bahasa).

Dalam suasana politik semasa, DAP sedang mengumpul kekuatan dalam kalangan anggota Melayu mereka untuk menjadi calon pilihanraya di kawasan Melayu. Semasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ditubuhkan, DAP kerugian besar apabila peluang pemimpin mereka untuk menjadi Menteri Besar Perak berkecai kerana ketiadaan pemimpin Melayu padahal mereka memiliki kerusi majoriti kalangan anggota Pakatan Rakyat Negeri Perak. Alternatifnya, DAP terpaksa menerima wakil PAS sebagai Menteri Besar Perak.

Pemecahan tradisi ini adalah satu pendekatan politik baru dalam menjayakan falsafah kemajmukkan di negara ini. DAP telah bereksperimen di beberapa tempat dengan meletakkan calon Melayu kalangan DAP di kerusi masyarakat Cina. Zairil Khir Johari menang di Parlimen Bukit Bendera, Tengku Zulpuri DUN Mentakab dan Dato Arif Sabri menang di Parlimen Raub. Sejauh mana rakyat dapat menerimanya?. Kita lihat keputusan pilihanraya pada masa akan datang.

Kesimpulan


Masyarakat bukan Islam wajib memahami bahawa Islam bukanlah satu konsep agama seperti mereka fahami. Islam bukan agama, Islam adalah addin iatu cara hidup. Islam juga syumul iaitu mencakupi keseluruhan kehidupan yang saling berkait antara satu sama lain secara holistik. Perkara paling besar dalam agama Islam berkaitan aqidah atau tauhidik. Semua perkara dalam kehidupan berkait rapat dengan aqidah termasuk politik, negara, pemerintahan dan perundangan. Justeru, sebagai umat Islam pelaksanaan pemerintahan Islam dan perundangan Islam adalah persoalan akidah yang perlu dan wajib umat Islam penuhi.

PAS cuba menanam kembali Islam yang syumul ke dalam Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Negeri tanpa mengenepikan kaum lain dan dibuat secara demokrasi dan profesional serta jalan kedamaian. Dalam Perlembagaan Terengganu dan Kelantan, perundangan Islam telah dikembali pada tempat yang asal. Amat wajar, perundangan Islam dilaksanakan di Kelantan kerana rakyat Kelantan memilih PAS sebagai pemerintah mereka dan sudah tentu mereka mahu apa yang PAS janjikan dalam manifesto pilihanraya dan matlamat perjuangan PAS.

Perjuangan tanpa meletakkan kepentingan aqidah sebagai tunjang utama, pasti akan menimbulkan permasalahan pada masa akan datang. Tidak jelas fikrah ini menghasilkan tauriah dan taqiyah politik bakal merosakkan Islam pada masa mendatang kerana keutamaannya hanya kemenangan politik dan keinginan berkuasa.











[i] Ceramah 8.11.2015, Taman Tasek Wakaf Dua. Ceramah ini dihadiri oleh penulis.
[ii] Lebih jelas, sila lihat Abdul Hadi Awang, Konsep Negara Islam dan Matlamatnya.
[iii] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-aziz-tetap-mahu-hudud-tak-peduli-pendirian-dap#sthash.OD5p4nSJ.64EfXfgo.dpuf.
[iv] Utusan Malaysia, 24.9.2001