Pernahkah kita dengar cerita tentang Ahmad Dawjee Dadabhoy? Beliau
merupakan seorang jutawan Malaysia berketurunan India Muslim. Di akhir
hayatnya beliau mewakafkan hampir
keseluruhan hartanya berupa sebidang tanah yang luas sekitar 1.2 ekar di
Jalan Perak dan juga lot lot saham bernilai jutaan dolar di Bursa Saham
London dan beberapa bursa saham lain.
Tanah beliau di Jalan Perak, Kuala Lumpur dibangunkan sebuah menara
wakaf 34 tingkat yang hari ini dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam.
Bangunan yang dibina dengan modal dikeluarkan Tabung Haji itu pada
tahun 2007 dengan kos RM151 juta. Hari ini disewakan sebagai pejabat
Kelas A di kawasan segitiga emas yang kedudukannya tidak jauh dari KLCC.
Diberitakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai
pemegang amanah harta wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy ini akan menerima
RM56.6 juta hasil sewaan bangunan ini selama 25 tahun. Dihari kematian
beliau pada 24 Januari 1987, beliau meninggal di sebuah rumah flat kecil
di Jalan Masjid India di kelilingi oleh buku-buku bacaan beliau. Tidak
ada harta lain lagi bersama beliau melainkan sedikit itulah.
Selebihnya sudah diwakafkan keseluruhannya untuk ummah. Pernah
keluarganya datang dari Afrika Selatan ke Malaysia. Apabila dibawa
melawat tanah tanah wakaf beliau di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur,
mereka menitiskan air mata melihat bertapa tingginya nilai hartanah
tersebut dan tingginya ketaqwaan saudara mereka Ahmad Dawjee yang
mewakafkan hartanya itu kepada ummah.
Inilah tauladan kepada kita
di zaman ini sebagaimana yang kerap kita dengar kisah sahabat sahabat
Nabi SAW yang meninggal dunia tanpa harta kerana mewakafkan harta mereka
sebelum meninggal dunia walaupun ketika hidupnya kaya raya.
Ia
juga petunjuk kepada kita bahawa agama menggalakkan kita mencari harta
dan mengembangkan harta. Tetapi perlu diingat harta kekayaan itu
bukanlah milik mutlak kita. Perlu dikongsikan dengan ummah berupa zakat,
sedekah dan wakaf. Di hari kematian kita, tinggal di alam barzakh,
pahala sedekah itu akan terus menerus berjalan. Kemudian dibangkitkan di
akhirat kelak menjadi lebih kaya untuk tempoh yang tiada penghujungnya
disebabkan ketinggian taqwa kita kepada Allah atas harta yang kita
infakkan.
* Kisah Ahmad Dawjee Dadabhoy ini diceritakan oleh
Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias (Senior Vice President Maybank Islamic/
Ketua Jabatan Pengurusan Syariah Maybank Islamic Malaysia) dalam
pembentangannya di Konvensyen Pejuang Hartanah di Cyberjaya semalam.
InsyaAllah saya cuba catatkan isi isi penting pembentangan beliau
bertajuk 'Islam dan Harta Membentuk Kehidupan Taiyyibah' dan juga isi
isi pembentangan speaker yang lain berkait hartanah.
- Nasaie Ismail.
Al Fatihah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan