25 November 2015
Semasa Islam menakluki wilayah Afrika utara, Farsi, Siria, sebahagian
daripada empayar Bezantin, dan Sepanyol, wilayah ini sudah mempunyai
tradisi intelektual yang tinggi. Mereka mewarisi tradisi ini daripada
sarjana Yunani. Falsafah (dan ilmu) Aristotle, Plato dan Socrates dibawa
masuk ke dalam bahasa Mesir kuno (Koptik), Siria, dan Farsi.
Sarjana-sarjana di Alexandria dan Siria beragama Kristian dan Yahudi,
manakala yang di Farsi adalah Kristian, Majusi dan pagan. Wilayah ini
mempunyai ramai sarjana falsafah, sains, kimia, perubatan, astronomi,
psikologi, metafizik, logik, dan arkitektur. Apabila Islam menjadi
pemerintah wilayah ini, orang-orang Arab Islam mula bertembung dengan
orang-orang yang mempunyai tamadun tinggi. Pertembungan ini membawa
banyak pengaruh kepada orang Arab Islam; dalam menstruktur masyarakat,
dalam memerintah, dalam seni dan dalam sains dan teknologi, dan dalam
kehidupan intelektual mereka.
Dalam perkembangan intelektual
inilah kita melihat bagaimana pemimpin Islam membina kepustakaan Islam
yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun Islam yang gemilang selama
400 tahun. Kita dapat memerhatikan ada pola yang jelas dilalui oleh
orang-orang Islam dalam membina tradisi intelektual mereka. Pada
peringkat awal, pemimpin dan sarjana Islam kelihatan menyerap ilmu dari
tradisi Yunani Kristian ini melalui terjamahan dan adaptasi. Kemudian,
selepas itu kita dapat melihat pembinaan ilmu secara kreatif dan
inovatif berlaku di kalangan sarjana Islam. Dari peniru mereka menjadi
pencipta. Kita dapat melihat laluan yang sama berlaku dalam budaya ilmu
di negara-negara yang lebih hampir dengan kita dalam sejarah. Inilah
yang diamali oleh Jerman, Inggeris, Itali, Jepun, Korea, Taiwan dan
akhir-akhir ini China. Ada pengajaran yang boleh kita dapati daripada
pengalaman ini. Kita dapat melihat peranan bahasa Arab sebagai bahasa
pembina ilmu yang kemudiannya membina tamadun.
Semasa Eropah Bergelap, Lorong Baghdad Cerah
Abad ke-8 hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam
dalam bahasa Arab. Kehidupan orang Islam merupakan suatu tamadun tinggi.
Dalam abad ke-12 dan ke-13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandaraya
yang mempunyai sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu
menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Malah, orang-orang Kristian
yang mengunjungi Kordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandara
yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan.
Jalan-jalannya dibuat daripada batu. Air dislurkan ke rumah-rumah. Lampu
mencerahi jalan pada waktu malam. Dan istana khalifahnya tersergam
indah.
Dalam suasana kehidupan yang secanggih itu, terdapat
aktiviti intelektual yang tinggi. Setiap bandaraya utama dalam
pemerintahan Islam, menjadi pusat pembelajaran, syurga bagi penggemar
buku dan ilmu, dan terdapat pasaran-pasaran besar buku-buku ilmu.
Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan tamadun tinggi ini?
Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab. Sistem
pemerintahan yang efisien, kekuatan tentera, kestabilan kuasa politik,
eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan banyak lagi faktor lain yang
menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi ini. Di samping
semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat
memuliakan ilmu. Mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab. Sarjana
Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada
ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka.
Islam Pertama Mencipta Konsep Pendidikan Universal
Kepustakaan dalam bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir
500 tahun, dari abad ke-8 hinga ke abad ke-13. Kita dapat melihat
bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan
pemimpin Islam. Budaya memuliakan ilmu ini dapat kita lihat dalam dua
bidang. Pertama, bagaimana masyarakat Islam, terutamanya pemimpin Islam
memperlakukan ilmu. Kedua, bagaimana mereka memperlakukan ilmuwan.
Orang-orang Islam adalah bangsa pertama yang mencipta konsep pendidikan
universal. Sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid.
Setiap sekolah disediakan dengan perpustakaannya sendiri. Seluruh
masyarakat Islam, kaya miskin, raja atau rakyat, sangat memuliakan
ilmuwan. Bahkan mereka lebih memuliakan hasil kesarjanaan mereka dalam
bentuk buku ilmu dan karya sastera. Pada zaman buku ditulis dengan
tangan, buku sangat bernilai. Para ilmuwan dimuliakan dan pendapat
mereka diminta dan dihormati.
Perpustakaan Sebagai Pusat Pendidikan Ilmu
Oleh sebab sikap mereka yang sangat memuliakan ilmu itulah maka,
perpustakaan-perpustakaan besar tumbuh dengan subur di pusat
pemerintahan Islam. Lazimnya perpustakaan itulah yang berkembang menjadi
pusat pengajian atau kolej dan universiti. Akademi Baitul Hikmah di
Baghdad itu berasal daripada sebuah perpustakaan bernama Khazanah
al-Hikmah. Begitu jugalah perpustakaan di Mosul dan Basrah, kemudiannya
digabungkan dengan institusi pengajian. Perpustakaan ini dibuka kepada
orang ramai.
Sarjana Eropah yang menyelidiki perpustakaan Arab
dalam zaman Abasiah, mengatakan pusat perpustakaan Islam dalam zaman itu
terdapat di Shiraz, Kordova dan Kaherah. Perpustakaan itu mengandungi
galeri besar yang dipenuhi dengan rak-rak buku, dan disediakan bilik
bacaan untuk pengunjung. Di dalamnya juga terdapat bengkel untuk
menyalin buku, dan dewan khas untuk perbincangan. Dalam beberapa
perpustakaan lain ada pula dewan untuk menikmati muzik. Bilik dan
dewannya dihias rapi, berpermaidani, tingkap dan pintunya diberi tirai
supaya udara sejuk tidak masuk. Pengunjung boleh duduk bersila untuk
membaca dan menulis. Di Shiraz pula buku-buku di simpan di bilik-bilik
sepanjang dinding perpustakaan itu dikatalogkan menurut bidangnya.
Bagaimana ahli saintis Islam ini boleh terbina dengan ramainya? Ada dua
jalur perkembangan ilmu yang agak jelas. Pertama ilmu diterjemahkan
daripada sumber Latin, Yunani, Parsi, India, Yahudi dll. Dengan ilmu
terjemahan itu terbinalah perpustakaan besar-besar dalam empayar Islam.
Ilmu dipelajari dan imuwan Islam diberi kedudukan istimewa. Pada tahap
kedua, ahli saintis yang menerima ilmu dalam bahasa Arab ini
membangunkan himpunan ilmu sendiri di perpustakaan, iaitu di
skriptorium.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan