Memaparkan catatan dengan label radikal. pelampau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label radikal. pelampau. Papar semua catatan

Rabu, 6 Januari 2016

Grup I: Cerita Tak Sahih Bagai Menari Dalam Mimpi



                                                                                                                        Berjuang dalam cerah
tak perlu menjadi sesumpah
tak perlu naik perahu kertas berlayar di lautan
Kalau mahu kuih akok, ikut acuan kuih akok bukannya acuan biskut moden
Kalau asal daripada telur ayam, menetas keluar ayam jua bukannya anak itik.

Grup I atau Grup Islah boleh dianggap sebagai  Group Intelligence Leader’ , satu nama yang didakwa sebagai kelompok kiri atau progresif dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia. Kelompok kiri dalam sesebuah organisasi bermaksud satu kelompok progresif yang bersifat bertentangan dengan pemikiran arus perdana sesebuah organisasi. Dalam konteks Kesatuan Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), kelompok kiri/progresif mereka dikenali sebagai KAMMI Kultural.

Dalam menelusuri pengkisahan sejarah Grup I, apa yang menarik kita cari adalah siapakah mastermind yang sebenarnya berkaitan penubuhan Grup I dan apakah tujuan Grup I ditubuhkan?.

Grup I didakwa ditubuhkan pada zaman Ustaz Dzulkhairi semasa beliau menjadi pemimpin PMIUM dan GAMIS. Ada juga mendakwa, ia ditubuhkan sejak zaman Ustaz Ramadhan  (Presiden PMIUM-YDP PMUM) dan ada juga mendakwa lebih awal iaitu semasa zaman Ustaz Mohd Fuad  (PMUM)- Ustaz Faisal (PMIUM). Ada juga yang mendakwa grup ini aktif semasa zaman Ustaz Hisomuddin (PMUM)-Ustaz Izwan (PMIUM)  dan berkembang pesat zaman Ustaz Sheikh Omar  dan  Ustaz Syazni (Presiden PMIUM).

Ada yang mendakwa, selepas tahun 2001 dan paling ketara sejak tahun 2004 ke atas, JIK UM mengalami pola fenomena progresif yang luar biasa dimana berlaku kecelaruan fikrah sehingga ada pimpinan utama menyertai kelompok sekular-pragmatis. Kumpulan yang kekal seakan-akan membentuk blok tertentu dalam PAS. Kebanyakan daripada blok ini telah menyertai parti AMANAH. Pembaca boleh buat unjuran sendiri – siapa pemimpin mahasiswa dan ke mana mereka pada hari ini.

Dalam gerakan mahasiswa, barisan depan belum tentu pemimpin sebenar atau mastermind. Kebanyakan barisan depan gerakan mahasiswa adalah boneka yang berani, teruja dengan senior, bersemangat, mahu mengukir sejarah, populis dan mudah diarahkan oleh senior. Di sebalik tabir, ada mastermind penggerak atau pengatur utama perancangan sesuatu aktiviti dan organisasi.

Hipotesis awal hasil pendakwaan terhadap penubuhan Grup I dibahagi kepada tiga;

1.      Hanya satu dakwaan
2.      Memang wujud
3.      Ia hanya fenomena progresif

Pembaca boleh merumus dan membuat keputusan sendiri.

Kelompok mahasiswa sememang mempunyai kaitan dengan kecenderungan dan pengaulan mereka dengan tokoh tertentu, kumpulan tertentu, aliran pemikiran tertentu dan senior mereka. Kecenderungan dan pengaulan ini akhirnya membentuk sebuah kumpulan dan kesatuan pemikiran, seterusnya berlakunya persaingan pengaruh dan kuasa antara kem-kem dalam sesebuah organisasi.

Persaingan antara kumpulan/kem dalam sebuah organisasi bukanlah musuh yang sebenar kerana mereka hanya mahu perubahan dalam organisasi, berfikir di luar lingkungan kotak pemikiran arus perdana organisasi dan bersifat kritikal terhadap organisasi. Sesetengah orang, sifat progresif atau fenomena progresif ini  dilihat mengancam organisasi dan menentang kepimpinan semasa organisasi.

Seperti yang penulis jelaskan tadi, fenomena progresif adalah lumrah dalam sesebuah organisasi.

Pada tahun 1971, elemen radikal dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) cuba menjatuhkan kumpulan pimpinan Mahadzir Khir, Presiden PBMUM (kelompok nasionalis sederhana) tetapi gagal. Elemen radikal ini dipengaruhi oleh mantan Presiden PBMUM sebelumnya, Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Ekoran daripada itu, proksi Anwar Ibrahim memperkukuhkan pengaruh mereka dalam PMIUM.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982 menelurkan kecelaruan pemikiran di kalangan penggerak gerakan mahasiswa Islam. Selama ini, gerakan mahasiswa Islam bersifat proksi ABIM dan PAS tidak mencampuri urusan gerakan mahasiswa Islam.

Di Universiti Malaya, muktamar PMIUM sesi 1983/84 terpaksa ditangguh seketika. Berlaku perebutan kuasa dalam PMIUM dimana Mohamad Hussein dari proksi PAS telah mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang pro Anwar. Pada peringkat awal, usaha kompromi telah dilakukan oleh pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim yang mencadangkan Takiyuddin Hasan sebagai presiden dan Mohamad Hussein sebagai timbalan tetapi ahli exco PMIUM bersetuju melantik Mohamad Hussein sebagai presiden dan Takiyuddin sebagai timbalan.

Kekecohan berlaku apabila Takiyuddin menarik diri dalam muktamar dengan memberi laluan kepada Mohd Taib Ahmad menduduki jawatan timbalan. Kumpulan pro Pas yang menjatuhkan proksi ABIM terdiri daripada Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan, Syed Putra Syed Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi  dan Mohd Taib Ahmad berbincang di kampung Kerinchi bagi menaikkan kumpulan pro PAS. Mereka dilabelkan sebagai Kerinchi 6.

Azami Zaharim yang pro ABIM-PKPIM membantah tetapi gagal dalam pengundian apabila proksi ABIM hanya mendapat 35 undi. Kekalahan proksi pro Anwar Ibrahim menandakan kelunturan pengaruh ABIM-PKPIM di kampus Universiti Malaya dan kemunculan PAS sebagai wadah perjuangan mahasiswa Islam yang baru. Kelompok ABIM-PKPIM kembali ke proksi asal mereka, PBMUM.

Dalam politik Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), kelompok mahasiswa Islam yang menjatuhkan proksi ABIM di Universiti Malaya telah didakwa mewujudkan Kumpulan UM atau Kumpulan Republik Islam dalam persaingan dalaman DPPP.

Kumpulan mahasiswa Islam di UM juga adalah pengasas kepada penubuhan Jemaah Islam(Induk)  Kampus (JIK) ala IRC. JIK bertindak menguasai persatuan-persatuan pelajar, kolej-kolej dan fakulti-fakulti. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dijadikan sebagai markaz induk JIK.

Dalam PAS, dikatakan terdapat dua jalur pentarbiahan yang cukup berpengaruh iaitu jalur pentarbiahan Tuan Guru Yahya Othman (TGYO) satu pihak dan Tuan Guru Harun Taib dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada pihak yang lain. Kalau kita perasan, kelompok kiri/progresif dalam PAS sekarang (2015) terdiri daripada  kelompok progresif sebelum muktamar tahun 2015, pimpinan Grup I, pimpinan PASMA dan AMANAH kebanyakan berasal daripada jalur pentarbiahan TGYO. Entiti Grup I, MAYO, PASMA, AMANAH dan Kumpulan Dato Husam Musa dalam PAS seakan-akan saling berkaitan antara satu sama lain.

Kenapa nama TGYO terkait dengan fenomena progresif dalam PAS?.

Tentang Jalur Pentarbiahan TGYO, satu organisasi menghimpunkan anak-anak murid TGYO telah diwujudkan dan dikenali Madrasah Yahya Othman atau MAYO.

Pada pandangan penulis, kewujudan kelompok kiri/progresif dalam sesebuah organisasi bukanlah kesalahan besar. Ia satu persaingan yang sihat jika dilakukan dalam suasana ukhwah dan beradab. Kita tidak boleh membiarkan hanya satu pihak sahaja yang selesa mentadbir organisasi tanpa sebarang kritikan dan khayal dengan kemenangan semasa pemilihan.

Pada awal tahun 2000 an, satu kumpulan rahsia telah ditubuhkan oleh sekelompok pemimpin mahasiswa. Pemimpin mahasiswa ini rapat dengan salah seorang ahli parlimen di Kelantan, salah seorang anggota Kumpulan Republik Islam. Kumpulan ini dinamakan Tora Bora, nama diambil sempena nama gua tempat persembunyian pejuang Taliban semasa serangan Amerika. Kumpulan Tora Bora dikatakan ditubuhkan tanpa pengetahuan Amir JIK dan Majlis Syura Kampus.

Kumpulan Tora Bora mempunyai pelapis, baton kepimpinan akan diberi kepada generasi adik-adik pelapis sebagaimana yang berlaku dalam JIK sendiri. Ia menyebabkan berlaku fenomena jemaah dalam jemaah. Jika Presiden PMI dalam kalangan pro PAS totok, kehadiran kumpulan ini dalam JIK/MSK/AU dirahsiakan tanpa pengetahuan Amir JIK dan ahli MSK yang totok PAS. Ada yang mendakwa kumpulan Tora Bora asas kewujudan Grup I.

Ada yang mendakwa kewujudan Grup I disedari semasa  zaman Ustaz Ahmad Syazwan  menjadi Presiden PMIUM dimana ramai anggota PMIUM ‘hilang’ semasa aktiviti PMIUM.

Menariknya, ada yang mendakwa  grup I ini mempunyai dua aliran mazhab iaitu tarbiah Ustaz Mohd Noor Umar dari Melaka dan tarbiah (tamrin) Kota Bharu  oleh Ustaz Muhammad Husein. Dan ada juga yang mendakwa kemungkinan Dr Zuhdi Marszuki juga terlibat dalam perancangan Grup I pada peringkat berdasarkan pengaulan rapatnya dengan pimpinan mahasiswa Grup I.

Grup I sudah melata hampir semua kampus. Anggota Grup I berada dalam posisi-posisi tertentu dalam kepimpinan PAS, ada menyertai AMANAH, Pakatan Harapan dan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Di Universiti Malaya, pewaris generasi Grup I masih menguasai JIK UM. Kader-kader pewaris Grup I terutama kader kampus UM telah menyertai AMANAH, PKR, PASMA dan DAP. Penyertaan parti lain atau keluar PAS ini memberi imej buruk kepada kelompok progresif dan pro perubahan dalam PAS. Sewajarnya mereka menunggu muktamar akan datang untuk mengarap usaha perubahan dalaman PAS.

Pada tahun 2015, kelompok progresif yang tidak keluar PAS, dibawah pengaruh YB Dato Husam Musa masih mengkritik kepimpinan utama PAS. Tindakan dan peranan Husam Musa sebagai pengkritik dan pendesak dalam PAS adalah satu usaha yang baik dalam mengislah PAS. Kesilapan besar kelompok progresif adalah keluar PAS. Mereka mesti lawan melalui kaedah yang disediakan oleh jemaah iaitu gelanggang pemilihan oleh sidang muktamar bukannya keluar jemaah. Paling tidak pun, bertawaquf.

Pengkisahan Grup I ditulis berdasarkan dakwaan dan khabar cerita sahaja. Penulisan ini hanya untuk rekod dan memberi gambaran awal terhadap pendakwaan ramai mantan pimpinan mahasiswa tentang kewujudan Grup I. Ia tidak dijamin kesahihannya. Sebaiknya pembaca menanyakan sendiri kisah sebenarnya daripada mantan pimpinan mahasiswa terbabit tentang kesahihannya.

Muda kuat dan bersemangat,
tetapi kurang pengalaman,
muda mudah tertipu dek retorika pidato, keberanian dan imej seseorang.

Selasa, 27 Oktober 2015

BAB RADIKALISME, NARCISISME DAN PELAMPAU




 "Fenomena Radikal dan Terorisme adalah reaksi daripada kezaliman, kejahilan dan kepelampauan dalam tindakan"
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

Dalam bab ini, kita akan menelusuri beberapa perkara dibawah

1.      Kefahaman terhadap konsep Jihad
2.      Sayyid Qutb dan Radikalisme
3.      Fenomena Kafir mengkafir

Radikalisme Keagamaan

Radikalisme dan anak muda tidak dapat dipisahkan. Semangat yang membara menyemarakkan lagi radikalisme dalam kalangan mereka. Dalam perjuangan gerakan mahasiswa Islam, radikalisme mereka bernuasakan keagamaan. Adakah agama Islam menjadikan mereka radikal?.

Radikalisme keagamaan berpunca daripada pemahaman segelintir umat Islam terhadap ayat-ayat al Quran secara literal, sepotong-potong dan semangat yang penuh sentimen. Pemahaman sebegini boleh menjerumuskan umat Islam ke lembah melampau dalam beragama dan kehidupan. Daripada pemahaman sebeginilah lahirnya kelompok khawarij pada Zaman Saidina Ali Bin Abi Talib.

Radikalisme keagamaan juga berpunca daripada kefahaman yang salah dan penyalahgunaan konsep jihad dalam Islam. Menurut istilah syarak, jihad ialah mengerahkan segala usaha dan tenaga menghadapi orang yang menentang agama Allah dan dimasukkan juga menentang hawa nafsu, syaitan dan juga orang yang fasik. Menurut Syeikh Said Ramadan al Buti, jihad ialah usaha yang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kalimah Allah, mendirikan masyarakat Islam dan mendirikan negara Islam yang sah.

Radikalisme keagamaan  berpunca daripada kepentingan politik sama ada politik berasaskan perkauman, kepartian dan individu yang memimpin. Hadirnya sesetengah ulama dalam politik kepartian juga menyebabkan radikalisme keagamaan. Mereka memperalatkan agama untuk kepentingan nafsu politik mereka. Hujah-hujah  dan fatwa keagamaan mereka untuk kemenangan bukannya kebenaran.

Kemuncaknya keradikalisme dalam keagamaan ini ialah muncul fenomena kafir-mengkafir yang boleh membawa pembunuhan sesama umat Islam. Ia juga menelurkan pelampau agama dalam masyarakat.

Pelampau Agama

Dalam al Quran, pelampau disebut dengan perkataan thoghut bererti melampaui batas agama terutamanya bab aqidah. Melampau dalam agama inilah yang melahirkan sekularisme dan keberhalaan sama ada kepada tuhan selain Allah termasuk kepada manusia.

Pelampau muncul disebabkan radikalisme dan fanatisme. Radikalisme muncul disebabkan faktor dalaman dan luaran melalui proses radikalisasi dan tekanan luar manakala fanatisme disebabkan oleh faktor dalaman yang menghasilkan keyakinan.

Untuk mengadili pelampau agama terutamanya pelampau Islam seeloknya kita melihat faktor dalaman dan luaran diri dan kelompok mereka.

Antara faktor melampau[1] ialah
1.      Diri sendiri yang jahil
2.      Gagal memahami nas
3.      Tidak berhikmah dan rasional dalam bertindak
4.      Tekanan pemerintah yang fasik
5.      Angkara musuh Islam sama ada melalui propanganda atau serangan
6.      Gagal memahami sejarah dan realiti
7.      Taksub kelompok dan pemimpin

Kalangan kita juga mengadili fenomena melampau daripada kaca mata Barat dan keenakkan nafsu sendiri. Kita semestinya menilai fenomena melampau berdasarkan kajian wahyu dan hadith. Antara wahyu dalam menilai fenomena melampau ialah

“Adakah engkau tidak hairan melihat orang-orang yang mendakwa bahawa mereka beriman kepada al Quran yang telah diturunkan kepadamu, dan kepada kitab-kitab yang telah diturunkan dulu daripadamu, mereka suka hendak berhakim thogut, padahal mereka telah diperintah supaya engkar kepada toghut itu. Dan syaitan pula sentiasahendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya” an Nisa:60

Hakikat melampau dalam agama Islam ialah melampau kepada Allah S.W.T dengan melakukan perkara yang boleh membatalkan iman dan Islam.[2] Justeru, Islam mempunyai batas membezakan antara pelampau sebenar atau pelampau yang dituduh.

Sayyid Qutb, Radikalisme dan Kelompok Pelampau
Asy Syahid Sayyid Qutb adalah ideolog[3] Ikhwanul Muslimin Mesir yang cukup berpengaruh dalam kalangan anak muda dan mahasiswa Islam tahun 1950an sehingga tahun 1980an. Faham Islam yang dipelopori oleh Sayyid Qutb adalah faham Islam yang melawan sekularisme dan kezaliman pemerintah melalui hujah-hujah berlandaskan aqidah Islam. Konteks ketika zaman Sayyid Qutb dimana anggota dan pimpinan Ikhwanul Muslimin ditindas, dizalimi dan tindakan melampau rejim Mesir yang memperlekehkan ajaran Islam menyebabkan batas iman dan kufur dilanggari oleh rejim dan sesetengah pengikut Sayyid Qutb.

Sayyid Qutb menulis kitab Tafsir al Quran Fi Zilal al Quran yang sangat bersinergi dan menjadi sumber intelektualisme yang dinamik. Kitab Ma’alim fi al Tariq merupakan kitab paling berpengaruh dalam gerakan Islam terutamanya oleh anak muda yang bersemangat. Kitab ini menjadi pedoman bagi anak muda dalam menghakimi batas iman dan kufur seseorang. Kekuatan tulisan Sayyid Qutb dalam memperteguhkan aqidah dan menyemarak semangat menentang kezaliman. Negatifnya pula menelurkan radikalisme dalam kalangan anak muda sehingga bermudah-mudahan dalam mengkafirkan pihak lawan.
Marilah kita meneliti antara bab-bab yang ada dalam kitab Ma’alim Fi al Tariq;
1.      Generasi al Quran yang unik
2.      Islam ialah Tamadun
3.      Aqidah: Rupa bangsa Islam
4.      Masyarakat Islam
5.      Jihad di jalan Allah
Tajuk-tajuk seperti di atas bukan sahaja mengelojak jiwa anak muda Islam bahkan ia mengerunkan musuh-musuh Islam dan pemerintah sekular.

Jihad Politik
Demokrasi bukanlah sistem yang sempurna bahkan ia mudah diseleweng oleh para pelobi yang berdana, politikus berbaju awam bertubuh tentera dan politikus diktaktor-dinasti melalui perwarisan kuasa secara perundangan atau ‘Tirani Majoriti’. Dengan sabar, banyak gerakan Islam mengambil peluang dan membuka ruang untuk mengubah politik kenegaraan melalui penyertaan dalam demokrasi. Untuk mendapat kekuasaan, gerakan Islam mengunakan kaedah  muwajahah silmiyyah.

Penyertaan dalam demokrasi memerlukan gerakan Islam berpegang kepada jihad politik. Kejatuhan Daulah Uthamaniyyah dan penjajahan menyebabkan dunia Islam berada dalam suasana paling menghinakan.Mereka terjajah di bumi sendiri. Sistem politik Islam dirosakkan dengan mewujudkan birokrat baru, bangsawan dan elit politik berwajah sekular dan sistem-sistem termasuk perundangan dan pendidikan bercirikan sekular.

Dalam konteks politik hari ini, gerakan Islam kekal berjuang dalam demokrasi. Dalam mengeluti demokrasi, jihad politik perlu disuburkan selaras dengan iltizam mewujudkan pemerintahan dan perundangan Islam.

Gerakan Islam yang berjuang melalui demokrasi memerlukan parti politik berasaskan Islam atau beraspirasikan Islam. Jika di negara sekular totok, parti beraspirasikan Islam manakala di negara Islam yang boleh ditubuhkan parti Islam. Sesebuah parti Islam perlu bertunjangkan perkara di bawah;
1.      Perlembagaan ditanam dasar Islam
2.      Merujuk kepada al Quran, hadith, ijmak ulama dan qiyas
3.      Mewujudkan perundangan Islam
4.      Mewujudkan negara yang mempunyai masyarakat dan pemerintahan Islam berlandaskan syariat Allah dan nilai hidup Islam.

Parti Islam ini perlu mengerakkan jihad politik dalam demokrasi.
Jihad politik berinteraksi dengan konsep negara yang diamalkan oleh sesebuah negara Syeikh Said Hawwa membahagikan jihad politik mengikut pembahagian negara seperti berikut;

1.      Negara Islam yang adil
2.      Negara Islam yang menyeleweng
3.      Negara yang kafir

Di negara Islam yang adil, penglibatan gerakan Islam atau parti Islam sebagai rakan pembangunan iaitu membantu usaha-usaha kerajaan Islam dengan kaedah konsensus politik, kerajaan campuran, gabungan satu parti dan kerajaan perpaduan.

Di negara Islam yang menyeleweng, gerakan Islam, parti Islam dan parti beraspirasi Islam boleh mengamalkan pendekatan Islamisasi, mengalahkan parti sekular dalam gelanggang pilihanraya atau penyertaan dalam kerajaan untuk ‘dakwah daripada dalam’. Pentarbiyahan dalam siasah diharapkan membuahkan hasil agar parti-parti politik sekular menerima Islam sebagai cara hidup. Dan pada masa depan dapat mereka menerima pelaksanaan syariah Islam.

Konsep Hakimiyyatu ‘Llah
Kebanyakan gerakan Islam dan parti Islam bernafaskan hakimiyyah (kedaulatan Allah dan syariatnya). Konsep ini dipopularkan oleh Maulana Abul Ala’ al Maududi dan Sayyid Qutb. Menurut Sayyid Qutb, pemerintah tidak mempunyai hak yang lebih utama dari rakyat kecuali hak mendapat ketaatan rakyat untuk menguatkuasakan syariat Allah. Menariknya, Maulana Maududi mengemukakan konsep Theo-demokrasi yang kedaulatan tertinggi ditangan Allah.

Islam menolak konsep teokrasi. Negara teokrasi hanya memberi peluang kepada kelompok agamawan sahaja dalam pemerintahan. Ia membuka ruang ahli agama memperalatkan agama secara menipu rakyat atas nama Tuhan.[4] Para agamawan menjadikan rakyat sebagai hamba mereka.

Islam tidak menolak kedaulatan rakyat. Penubuhan Negara Islam Madinah membuktikan kewujudan kedaulatan rakyat, dimana berlakukan persetiaan antara pemimpin dan pengikut melalui Baiah Aqabah 1 dan Aqabah 2.  Justeru, Islam dengan demokrasi kelihatan serasi. Negara Islam bersumberkan kedaulatan Allah dan kedaulatan Rakyat. Kedaulatan Rakyat tidak mengatasi kedaulatan Allah kerana kemahuan rakyat adalah terbatas kehendak al Quran dan hadith.[5]

Kedaulatan rakyat dalam konteks pemerintahan umat Islam tersalur terutamanya dalam institusi shura yang biasanya  dianggotai oleh wakil-wakil umat.[6] Syura yang dibatasi oleh kedaulatan Allah.

Dan tidak haruslah bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara,(tidaklah harus bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka seseungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” (Surah al Azhab:36)

Dalam pemerintahan Islam, semua orang layak memerintah. Ulama dalam Islam bukan milik sesuatu kelompok. Semua orang layak menjadi ulama atas kadar ilmu, nilai taqwa, akhlak terpuji dan memenuhi ciri pemimpin Islam. Menurut Abdul Hadi Awang[7], syarat menjadi Ketua Negara Islam(penulis:pemimpin) ialah
1.       Menganut Islam
2.      Berilmu dalam perkara hukum syarak dan memahami masalah semasa
3.      Adil yang cukup syarat
4.      Kemampuan maknawi dan jasmani
5.      Berpengaruh

Jika dilihat kepada lima syarat tersebut semua orang boleh berusaha menjadi pemimpin tanpa mengira bidang kelimuan mereka. Asasnya ialah taqwa dan ilmu.

Fenomena Kafir Mengkafir
Seperti dijelaskan pada tulisan di atas, fenomena takfir atau kafir mengkafir menjadi kemuncak kepada radikalisme keagamaan. Ia boleh menyebabkan umat Islam berbunuhan sesama sendiri.

Fenomena takfir adalah fenomena mendunia bukannya di Malaysia sahaja. Dalam konteks Malaysia, ia sudah bermula agak lama termasuk zaman konflik Kaum Tua dengan Kaum Muda. Menurut Syeikh Yusuf al Qaradhawi,[8] antara sebab timbulnya fenomena takfir ialah
1.      kekufuran dan murtad secara terang terangan dalam masyarakat
2.      Terdapat sebahagian ulama mengabaikan tugas mereka terhadap kelompok yang benar-benar kufur
3.      kelompok Islam yang mahu mengamalkan al Quran dan hadith ditindas
4.      Pemuda Islam yang cetek ilmu agama.

Manakala Abdul Hadi Awang merumuskan kepada dua sebab fenomena takfir berlaku iaitu kebiadapan pemimpin terhadap Islam dan pendokongnya. Keduanya, kejahilan mereka yang cintakan Islam yang tidak dapat mengawal perasaan marah dan bersemangat begitu tinggi sehingga melenting dalam mempertahankan Islam.[9]

Pada tahun 1970an, pemuda Islam dan mahasiswa Islam terpengaruh dengan pemikiran Sayyid Qutb. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) antara pertubuhan belia yang dipengaruhi oleh pemikiran Sayyid Qutb. Mereka menonjolkan gagasan radikalisme dengan penggunaan toghut dan jahiliah terhadap gejala modernisme dan sekularisme di Malaysia.[10] Presiden ABIM, Anwar Ibrahim pernah menegaskan hanya dua golongan masyarakat sahaja yang ada iaitu Islam dan bukan Islam.[11]

Tokoh ABIM yang menjadi pengarang majalah Risalah milik ABIM iaitu Siddiq Fadzil seringkali mengunakan perkataan toghut dalam penulisannya.[12] Siddiq Fadzil juga pendamba tegar pemikiran Sayyid Qutb dalam penulisan dan ucapan beliau.  ABIM mengurangkan pengungkapan pemikiran Sayyid Qutb apabila radikalisme merebak sehingga berlaku kafir mengkafir. Pemikiran Sayyid Qutb ditinggalkan oleh ABIM setelah Anwar Ibrahim masuk UMNO.

Kemuncak kepada fenomena takfir adalah Peristiwa Memali[13] dan tersebarnya Amanah Haji Hadi[14]. Amanat Haji Hadi mengemparkan negara apabila Abdul Hadi Awang didakwa mendakwa UMNO kafir. Fenomena sebegini berlaku apabila PAS diasak secara keras dan pemimpin pemerintah  berucap yang boleh membawa kepada kekufuran.

Narcisisme
Narcisisme ialah satu penyakit mengagumi diri sendiri dan kurang memiliki kesediaan mengakui hutang budi kepada orang atau kelompok lain.
Dalam gerakan Islam di Malaysia, kedengaran slogan ‘siapa lebih Ikhwan?’, ‘Kami wakil Ikhwan Malaysia’, ‘kami jemaah paling lama di Malaysia’, ‘kami jemaah paling tulen’, ‘jemaah kami paling berjasa’, ‘jemaah kami paling intelek’ dan pelbagai istilah yang mengagumi diri sendiri. Walaupun apa yang dikatakan itu benar tetapi kebenaran itu boleh membuka ruang perselisihan faham antara satu sama lain.

Gerakan mahasiswa Islam membawa bagasi sejarah yang mengagumkan. GMI mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dan tokoh yang hebat. Kita tidak memerlukan perkara sebegitu sebagai bahan kebanggaan tetapi anggaplah ia sebagai ibrah yang boleh menyuluh perjalanan masa depan yang lebih cerah dan gemilang.

Antara persoalan narcisisme yang seringkali diungkapkan ialah siapa lebih Ikhwan? , Siapa wakil Ikhwan di Malaysia?, Jemaah mana paling hebat?, jemaah mana paling lama?, jemaah mana paling popular?, jemaah mana paling berjasa?. Tidak timbul persoalan narcisisme jika mereka ihtiram (menghormati) orang (pemimpin) atau organisasi yang lebih khibrah (berpengalaman) dalam memahami waqie' (realiti).[15]

Dalam konsep berjemaah, kita tidak boleh membina jemaah baru jika sudah ada jemaah. Menurut Said Hawwa, jika sudah ada jemaah, anggota ikhwan perlu menjadi tentera kepada jemaah tersebut. Kekuasaan dan kepimpinan bukanlah keutamaan bagi Ikhwan jika sudah ada negara dan jemaah Islam.

Dalam memilih jemaah Islam[16], kita perlu melihat kepada beberapa perkara:
1.      kekurangan bersangkutan ushul atau sekadar berkaitan perkara furu’. Utamakan jemaah yang mempunyai kekuatan ushul berbanding perkara furu’.
2.      Kekurangan pemimpin dan ahli merupakan kelemahan diri seseorang bukannya kelemahan jemaah.
3.      Pilih yang  mendekati kebenaran terhadap prinsip dab fikrah Islam.

Perjuangan pada hari ini memerlukan perkongsian kuasa dan pendekatan berhikmah. Pemimpin GMI perlu ‘mencemar duli’ mendekati, belajar, berkongsi dan berwacana dengan GMI daripada front lain atau front berideologi bertentangan.

Pembuangan narcisisme membolehkan GMI bergerak lancar melalui kebersamaan dalam suatu isu dan bergerak dalam satu pasukan.
Mengubati Radikalisme dan Fenomena Takfir
1.      ABIM melembutkan pendekatan dan pemikiran Sayyid Qutb yang menyelimuti mereka dengan pengkajian terhadap buku Fiqhud Dakwah karangan Muhammad Natsir. Buku ini memberi impak kepada pembinaan peribadi seseorang kader dakwah agar lebih berhikmah dan sederhana dalam bertindak dan berfikir.[17]
2.      Menambah ilmu dengan memperluaskan dan mempelbagaikan bahan bacaan serta berguru dengan pakar.
3.      Mengkaji pemikiran dan pendekatan Imam Hassan al Banna
4.      Pengkajian terhadap sirah Rasulullah S.A.W.
5.      Islam sebagai cara hidup
6.      Kritis terhadap pemikiran Barat dan Orientalisme bukannya mengimani mereka.
7.      Kerja dakwah melalui pendidikan, kebajikan dan khidmat masyarakat bukannya bersenjata.
8.      Menangani radikalisme, ektremis, pelampau memerlukan kesabaran dan ketabahan melalui pendekatan hikmah; lembut, nasihat dan teguran. Kita tidak boleh menghalau para pelampau kerana ia menyebabkan mereka menjadi lebih radikal dan ekstrem. Dan kita sendiri tidak boleh melarikan diri atau keluar jemaah kerana ia menjadikan jemaah tersebut radikal. Kebiasaanya, para pelampau keluar jemaah ekoran pendekatan hikmah para pemimpin jemaah.


[1] Bacaan lanjut, Basri Ibrahim, Melampau: Punca-punca, Ciri-ciri dan Cara Mengatasinya, KL: al Hidayah, 2007.
[2] Rujukan lanjut Haji Said Haji Ibrahim, Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah, Kuala Lumpur: Darul Ma’rifah, 1996. Dan, Haji Abdul Hadi Awang, Muqaddimah Aqidah Muslimin, Gombak: Penerbit Ahmaf,1985.
[3] Pemikiran Sayyid Qutb dapat dirujuk dalam, Fauzi Zakaria, Pengaruh Pemikiran Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia, KL: Jundi, 2007.
[4] Abdul Hadi Awang, Islam dan Demokrasi, KL:PTS, 2007.
[5] Harun Taib, Kuasa Perundangan Islam, KL: DUPP, 2014.
[6] Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu, Kajang: AKK, 2012.
[7] Abdul Hadi Awang, Bagaimana Islam Memerintah Negara, KL: PTS, 2009.
[8] Yusuf al Qaradhawi, Gejala Kafir Mengkafir, KL: DPF, 1988.
[9] Abdul Hadi Awang, Amanat Haji Hadi, KL: PAS, 2002.
[10] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam di Malaysia, KL:DBP, 1998.
[11] Anwar Ibrahim, “Jelaskan Wadah Perbaru Tekad” Ucapan Dasar ABIM, 1975. Pernyataan ini menepati pemikiran Sayyid Qutb dalam bab Islam ialah Tamadun, buku Petunjuk Sepanjang Jalan.
[12] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam di Malaysia.
[13] 19 November 1985, Ustaz Ibrahim Libya dan bersama penyokongnya telah dibunuh oleh polis semasa kampong Memali digempur.
[14] Ucapan pada  7 April 1983.
[15] Catatan Hazmi Dibok.
[16] Mukslas al Syarkuni, Bara Islam Melalui Pembentukan Jemaah Akhir Zaman, KL: al Hidayah, 2004.
[17] Sidang Pengarang, Natsir, Jakarta: Tempo.